Ahad, 11 Mac 2012

Kertas Konsep 1Care tidak bertapak atas realiti sosioekonomi masyarakat Malaysia

KPRU


Penjagaan kesihatan merupakan hak asasi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, etnik atau status sosial. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, hak rakyat mengakses perkhidmatan kesihatan yang bersistem lengkap haruslah sentiasa terjamin. Sekali pandang, konsep 1Care yang bertujuan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan awam demi kebajikan dan manfaat rakyat memang menggalakkan memandangkan sistem perkhidmatan kesihatan awam memainkan peranan yang amat mustahak dalam kehidupan semua lapisan masyarakat.

Namun, suara bantahan terhadap retorik skim 1Care yang kian mengombak di kalangan masyarakat bukannya tanpa alasan yang munasabah. Malahan, isu yang dibangkitkan berkenaan dengan cadangan skim 1Care turut mendedahkan kelemahan dan ketidaksempurnaan sistem penyampaian dan pembiayaian perkhidmatan kesihatan sedia ada di Malaysia. Sebagai langkah pertama, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyokong cadangan pelbagai pihak bahawa meningkatkan peruntukan dana kerajaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan merupakan penyelesaian yang lebih praktikal.

Peruntukan Terhad, Tadbir Urus Kerajaan Lemah


Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO – World Health Organization), kadar peruntukan dana kerajaan Malaysia untuk sektor penjagaan kesihatan masih rendah berbanding dengan negara-negara lain. Hanya 2.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diperuntukkan untuk sektor penjagaan kesihatan dan jumlah peratusan ini hanya mencakupi 7.1% daripada jumlah perbelanjaan kerajaan. Peratusan ini adalah jauh lebih rendah daripada cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan purata sedunia<1>. (Sila lihat Jadual1)

Jadual 1: Perbandingan Perbelanjaan Kesihatan antara Negara Tahun 2009

Negara
Jumlah perbelanjaan untuk kesihatan
(Peratusan daripada KDNK)
Perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan
(Peratusan daripada KDNK)
Perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan
(Peratusan daripada jumlah perbelanjaan kerajaan)
Canada
10.9%
7.5%
17.0%
UK
9.4%
7.6%
15.1%
Australia
8.5%
6.0%
18.3%
Singapore
3.9%
1.6%
9.8%
Malaysia
4.8%
2.2%
7.1%
Thailand
4.3%
3.3%
14.0%

Sumber: World Health Statistic, WHO<2>

Sesungguhnya, skim 1Care yang dikatakan diilhamkan daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS – National Healthcare System) yang diamalkan di British telah mengabaikan secara dasarnya model peruntukan dan pembiayaan pihak kerajaan British bagi mengekalkan operasi sistem perkhidmatan kesihatan. Meniru konsep tanpa mempertimbang dan menyelidik sistem operasi keseluruhan, khususnya dari segi dasar negara dan keadaan sosioekonomi masyarakat secara keseluruhan adalah kurang bijak dan bakal menimbulkan lebih banyak masalah daripada memberikan penyelesaian.

Sememangnya, menelitikan mana-mana sistem pelaksanaan dan pengendalian di Malaysia, biarlah dalam sektor awam atau sektor swasta, penyelewengan yang berleluasa semakin menampakkan kehilangan integriti dan kredibiliti yang ada pada pihak kerajaan. Laporan mengenai Pembiayaan Sistem Kesihatan yang disediakan oleh Pertubuhan Kesihatan Seduniajelas menyebut antara 20 hingga 40% perbelanjaan kesihatan dibazirkan berikutan kekurangan kecekapandan ketelusan sistem<3>. Dalam konteks ini, biarpun berapa banyak wang yang disumbangkan kepada sektor penjagaan kesihatan berkemungkinan akan tersia-sia sahaja. Oleh demikian, hujah bahawa jumlah perbelanjaan negara tidak boleh dijadikan satu-satunya tanda ukur kualiti perkhidmatan kesihatan adalah munasabah dan bertapak atas realiti kelemahan tadbir urus kerajaan hari ini.

Walau bagaimanapun, hujah ini tidak harus dijadikan alasan bagi menghambat usaha mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan. Atas premis peruntukan dan sumber yang mencukupi, pihak perkhidmatan kesihatan berpeluang mendapat ruang yang secukupnya untuk mengembang potensi mereka dalam membekalkan servis yang berkualiti tinggi. Hal demikian telah pun terbukti dengan sistem perkhidmatan kesihatan yang cemerlang di negara seperti Kanada dan British.

"Transformasi" Beban Kerajaan kepada Rakyat Terbanyak

Seperti yang dipaparkan dalamkertas konsep 1Care untuk 1Malaysia, Kementerian Kesihatan telah mendedahkan salah satu objektif bagi pelancaran 1Care ialah bagi meringankan beban kerajaan dalam menanggung kos perubatan dan kebajikan yang kian melonjak<4>. Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang memberi sokongan terhadap pelaksanaan skim tersebut turut menyatakan bahawa kos perubatan dan farmaseutikal yang kian meningkat telah membebankan pihak kerajaan. Maka hujah seterusnya ialah, kerajaan mengambil langkah dengan melaksanakan sistem perkhidmatan kesihatan yang berfungsi melalui "sumbangan" Rakyat merupakansesuatu yang berpatutan<5>.

Ironisnya, dalam hal kesihatan, bukankah menjadi kewajiban kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan membekalkan servis yang memuaskan demi kebajikan dan kebaikan rakyat terbanyak? Jelasnya, skim 1Care lebih merupakan retorik golongan berkepentingan bagi mengelakkan kewajipan kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia, seterusnya memungkinkan kewujudan peluang baharu dalam konteks aktiviti rent-seeking hari ini. Retorik sedemikian tidak membekalkan jalan penyelesaian yang menjaga kepentingan rakyat terbanyak dalam proses mereformasikan dan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.

Cukai Tinggi, Keberkesanan Rendah

Aspek kedua yang harus diberi perhatian menyentuh "sumbangan mandatori" yang dicadangkan dalam kertas konsep 1Care. Cadangan ini adalah bercanggah dengan keupayaan kewangan dan tahap pendapatan rakyat terbanyak di negara ini. Bayaran mandatori yang bakal dikenakan pada golongan pekerja akan dijadikan dana biayaan untuk insurans kesihatan sosial (Social Health Insuranceor, SHI) dan insurans tersebut akan menawarkan pakej rawatan kesihatan dan perubatan yang asas dengan atau tanpa mengenakan bayaran. Penjawat awam, pesara, orang kurang upaya, golongan miskin dan individu yang menganggur akan dibiayai oleh pihak kerajaan manakala semua pekerja di sektor swasta terpaksa menanggung bayaran tersebut melalui pembiayaan insurans<6>.

Menurut Kertas Konsep 1Care untuk 1Malaysia, anggaran bagi pembiayaan skim perkhidmatan kesihatan tersebut adalah sebanyak 9.5% daripada jumlah purata pendapatan isi rumah. (Sila lihat Jadual 2)

Jadual 2:Anggaran Kos Tahunan Pembiayaan Sistem Kesihatan Malaysia

Anggaran kos tahunan bagi membiayai sistem kesihatan Malaysia (RM)
Perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan diri 27.87b
Peratusan daripada KDNK 3.9%
Perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan peribada per kapita 984.44
Perbelanjaan untuk semua penjagaan kesihatan per kapita 1,562.60
Premium SHI untuk penjagaan kesihatan diri 972.44
Premium SHI untuk purata isi rumah 4,181.50
Peratusan bagi Premium SHI untuk pendapatan isi rumah 9.5%

Sumber: Kertas Konsep 1Care untuk 1 Malaysia oleh Kementerian Kesihatan

Sebagai rujukan kepada model perkhidmatan kesihatan di luar negara seperti NHS, rakyat British tidak perlu membayar cukai tambahan untuk membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerana cukai yang sedia dibayar adalah dikendali secara berasingan di bawah dua sistem, iaitu cukai pendapatan dan Insurans Kebangsaan (National Insurance). Cukai tersebut kemudiannya disalurkan bagi pembiayaan perkhidmatan kesihatan yang dikendali NHS Trust. Pada dasarnya, rakyat British dapat dimanfaatkan dengan menerima perkhidmatan percuma dalam bidang amalan am, kecemasan, penjagaan jangka panjang, dan pergigian<7>. Dalam sistem tersebut, pesakit turut diberi hak pemilihan dari segi doktor, penjagaan, dan tempat rawatan. Namun, pakej lengkap tidak ditawarkan dalam 1Care yang dicadangkan Kementerian Kesihatan.

Jadual 3
dan Jadual 4 di bawah menunjukkan perbandingan kadar cukai di antara British dengan Malaysia.

Jadual 3: Kadar Cukai Pendapatan di British berdasarkanBand, 2010-2011

Pendapatan berdasarkan Band (£) Kadar cukai
£0 - £2,440 Kadar permulaan untuk simpanan: 10%
£0 - £37,400 Kadar asas: 20%
£37,401 - £150,000 Kadar tinggi: 40%
Over £150,000 Kadar tambahan: 50%

Sumber: HM Revenue &Customs<8>

Jadual 4: Kadar Cukai Pendapatan Individu di Malaysia

Pendapatan yang dikena cukai (RM) Kadar Cukai
2,500 yang pertama 0%
2,500 yang seterusnya
5,000 yang pertama
1%
5,000 yang seterusnya
10,000 yang pertama
3%
10,000 yang seterusnya
20,000 yang pertama
3%
15,000 yang seterusnya
35,000 yang pertama
7%
15, 000 yang seterusnya
50,000 yang pertama
12%
20,000 yang seterusnya
70,000 yang pertama
19%
30,000 yang seterusnya
100,000 yang pertama
24%
50, 000 yang seterusnya
150,000 yang pertama
26%
100,000 yang seterusnya
Pada 250,000
26%
250,000 ke atas 26%

Sumber: taxrates.cc<9>

Secara perbandingan, walaupun cukai pendapatan yang dikenakan di British adalah jauh lebih tinggi daripada sistem pencukaian di Malaysia demi menanggung perbelanjaan institusi NHS dan institusi kebajikan yang lain, namun ia bukan sahaja tidak menimbulkan ketidakpuasan di kalangan masyarakat, malahan NHS telah terpilih sebagai institusi yang paling popular di UK dan mencapai penilaian kepuasan yang tinggi<10>. Hal ini telah menunjukkan bahawa perancangan mana-mana skim hendaklah mengambil kira keadaan dan realiti masyarakat. Sejauh mana tahap tadbir urus, ketelusandan pengagihan dana negara diterjemahkan sebagai sesuatu yang dapat menyakinkan rakyat terbanyak selari dengan prinsip keadilan merupakan faktor penting yang diambil kira oleh golongan pembayar cukai.

Sedangkan populasi di British dapat menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan justeru berupaya untuk menanggung cukai yang tinggi, statistik sosio-ekonomi yang dikumpul oleh Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009 telah menunjukkan hakikat yang menyedihkan bahawa sebanyak 52.7% daripada isi rumah di Malaysia adalah berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan<11>. Ini bermaksud, sekiranya cukai tambahan sebanyak 10% dikenakan, golongan pekerja yang berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa memikul bebanan ini. Dalam konteks ini, tidak kira cukai tambahan yang dikenakan bersamaan atau jauh lebih kurang daripada 10%, pelaksanaan 1Care melalui skim insurans kesihatan sosial jelasnya adalah tidak berpatutan bagi rakyat terbanyak. Sebaliknya, peningkatan jumlah peruntukan kerajaan berhubung sistem perkhidmatan kesihatan adalah langkah penyelesaian lebih bijak lagi munasabah.

Wujudnya Golongan Miskin Baru

Seterusnya, skim 1Care tidak dapat menangani masalah yang kini dihadapi oleh sistem perkhidmatan kesihatan dalam Malaysia ekoran jurang kemiskinan yang semakin lebar dan wujudnya golongan "miskin baharu", malah ia akan mengakibatkan perubahan besar dari segi penyusunan struktur dan sistem perkhidmatan kesihatan. Menurut Dr.Subramaniam Pillay, perkhidmatan kesihatan di Malaysia buat masa ini terbahagi kepada dua peringkat (2-tier system) yang masing-masing terdiri daripada sistem perkhidmatan kesihatan awam yang dikendalikan oleh pihak kerajaan dengan peruntukan wang yang terhad dan sistem kesihatan swasta yang dibiayai dengan perbelanjaan masyarakat<12>. Sesungguhnya, penyusunan struktur dan sistem pembiayaan sebegini telah menyebabkan munculnya perbezaan yang ketara dari segi amalan klinikal, kelengkapan infrastruktur dan juga kos perbelanjaan di antara sektor perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Antara tahun 1997 hingga 2006, jumlah perbelanjaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan telah melonjak daripada RM8.2 bilion kepada RM24.8 bilion. Sebahagian besar daripada jumlah peningkatan tersebut adalah berasal daripada perbelanjaan dalam sektor swasta, terutamanya yang dibelanja oleh pesakit dengan menggunakan wang sendiri (out-of-pocket spending). Perbelanjaan swasta meningkat daripada RM4.1 bilion pada tahun 1997 sehingga RM13.7 bilion pada tahun 2007<13>.(Sila lihat Jadual 5)

Jadual 5: Perbandingan Perbelanjaan Kesihatan dalamSektor Awam dan Swasta

AWAM VS SWASTA
PERBELANJAAN KESIHATAN
(1984/85) (2002) (2006)
AWAM
SWASTA
76 %
24%
56%
44%
45.2%
54.8%

Sumber: National Health Financing Study & Malaysian National Health Account

Tambahan pula, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan seperti memperkenalkan dispensari swasta dan menyediakan "sayap swasta" (private wing) di sesetengah hospital kerajaan, mempromosikan pelancongan kesihatan di hospital swasta dan sebagainya telah menghakis daya tahan sektor awam secara beransur-ansur<14>. Sebagai akibatnya, peranan yang dimainkan oleh sektor awam dalam penjagaan kesihatan semakin hari semakin terhakis dan diganti oleh sektor swasta, malah beban masyarakat semakin memberatkan<15>.

Jurang perbelanjaan perkhidmatan kesihatan antara sektor awam dan swasta jelasnya bukan menunjukkan bahawa masyarakat adalah berupaya membiayai kos kesihatan tanpa bergantung kepada dana kerajaan dan perkhidmatan awam. Sebaliknya, seperti yang dinyatakan di atas, percanggahan dari segi kualiti servis dan kelengkapan infrastruktur dalam sektor awam dan swasta masing-masing telah menyebabkan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta supaya rawatan yang diterima terjamin kualiti dan kesannya. Apa yang harus ditegaskan di sini ialah perkembangan sektor swasta dalam bidang kesihatan patutlah dihargai dan dikekalkan manakala kelemahan dalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh sektor awam hendaklah ditangani dan dinaiktarafkan.

Namun, keazaman pihak kerajaan dalam menambahbaik sistem perkhidmatan kesihatan awam dan mengekalkan sumbangan sektor swasta tidak terserlah dalam kertas konsep "1Care untuk 1Malaysia". Sebaliknya, sistem pengendalian perkhidmatan kesihatan awam yang dinyatakan adalah melalui penggabungan hospital awam dan hospital swasta supaya perbezaan dari segi kelengkapan infrakstruktur dan amalan klinikal dapat mencapai tahap keseimbangan. Isu seperti penghijrahan kepakaran (brain drain) turut dipercayai dapat diatasi melalui integrasi sektor awam dan swasta.

Namun begitu, seperti yang didakwa oleh Dr.Ng Swee Choon<16>, integrasi ini seakan-akan menghapuskan daya persaingan bersama yang sebenarnya dapat mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan. Tambahan pula, integrasi yang disyorkan bukan sahaja akan menyekat perkembangan industri penjagaan kesihatan swasta, malah piawai penyeragaman kualiti juga tidak dapat dicapai<17>. Dari sisi pandangan ini, cadangan skim 1Care yang dikemukakan akan membazirkan usaha kegigihan pelbagai pihak tanpa mencapai objektif bagi mempertingkat perkhidmatan kesihatan.

Rumusan

Pada hakikatnya, kebanyakan projek yang dikendalikan oleh pihak kerajaan adalah berakhir dalam kekesalan disebabkan kelemahan dari segi kecekapan dan ketelusan dalam tadbir urus. Telahpun wujudnya begitu banyak usaha penstrukturan sebelum ini yang dilaksanakan bagi memperbaiki sistem kesihatan tetapi malangnya ketiadaan proses yang cekap dan telus telah menyebabkan timbulnya masalah yang lebih serius. Sebagai akibatnya, wang terbazir dengan sia-sianya manakala kebajikan dan kebaikan rakyat pula tidak terjamin. Sekiranya skim 1Care dilaksanakan, berkemungkinan besar sistem perkhidmatan kesihatan kini akan dilanda kerugian yang lebih besar.

Oleh demikian, KPRU menyaran pihak berkaitan mengkaji semula sistem pembiayaan dan peruntukan perkhidmatan kesihatan semasa di Malaysia dan mempertingkatkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor tersebut. Di samping itu, sebuah suruhanjaya kesihatan yang dikendali secara awam di bawah kawalan masyarakat boleh ditubuhkan bagi memastikan pengendalian yang telus dan efektif. Dengan memastikan tiada ketirisan, peningkatan peruntukan wang dipercayai dapat menyelesaikan masalah seperti kekurangan infrasktruktur yang lengkap atau kakitangan perubatan yang profesional bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat. Apa yang asas sekali adalah memastikan kecekapan dan ketelusan dalam segala sistem pelaksanaan dan pengendalian supaya hak rakyat yang terasas sentiasa terpelihara.

<1> http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS09_Full.pdf
<2> http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS09_Full.pdf
<3> http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12755
<4> http://www.slideshare.net/palmdoc/1-care-concept-caper
<5> http://www.malaysiakini.com/news/189214
<6> Forum Health Care Financing in Malaysia, by Subramaniam Pillay,organized by Coalition Against the Privatisation of Health Care Services,Malaysia. http://www.malaysiakini.com/letters/44619
<7> http://www.nhs.uk/NHSEngland/thenhs/about/Pages/overview.aspx
<8> http://www.hmrc.gov.uk/rates/it.htm
<9> http://www.taxrates.cc/html/malaysia-tax-rates.html
<10> http://www.socialmedicine.org/2011/11/08/uncategorized/the-fight-to-save-the-nhs-publicly-funded-and-universal-national-health-services-in-the-uk/
<11> http://www.epu.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=2d9c3105-c9a0-4155-baf9-f737321e27f3&groupId=34492
<12> Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay,Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia.
<13> Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay,Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia.
<14> Selangor/Kuala Lumpur Healthcare Public Forum, 1Care: Why Paymore and Get Less? Organized by Citizens’ Healthcare Coalition, 12 February 2012, Global Business& Convention Centre.
<15> Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay,organized by Coalition Against the Privatisation of Health Care Services,Malaysia. http://www.malaysiakini.com/letters/44619
<16> Selangor/Kuala Kumpur Healthcare Public Forum, 1Care: Why Paymore and Get Less? Organized by Citizens’ Healthcare Coalition
<17> http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12755


*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU - Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

Tiada ulasan: