Sabtu, 3 Mac 2012

Himpunan Hijau 3.0 jika sisa tidak dibawa keluar


MALAYSIA KINI

Desakan menuntut supaya bahan sisa radioaktif dari kilang memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan semakin lantang apabila pelbagai pihak, termasuk NGO dan parti politik mahu ia di bawa keluar dari negara ini.

"Jika tuntutan ini tidak diharaukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefli Mohd Omar yang dipetik Harakahdaily.

NONESemalam, selepas desakan orang ramai, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa sisa buangan kilang itu akan dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari penempatan penduduk.

Katanya, tindakan itu bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat. Namun lokasi itu tidak dinyatakan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah di kawasan parlimennya iaitu Pekan.

Hujah Najib, kononnya sisa ini tidak bahaya tetapi keputusan kerajaan itu diambil setelah mengambil kira soal kelegaan masyarakat tempatan daripada segi psikologi dan emosi juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

NONEPresiden CAP, SM Mohamed Idris dalam kenyataan medianya berkata berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang penapisan Asia Rare Earth di Bukit Merah, yang beroperasi sekitar tahun 1980-an, perlu dijadikan iktibar.

Katanya, kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di Bukit Merah dan disimpan dalam tong dan seterusnya dimasukkan ke dalam sebuah bukit di Perak.

"Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu.

“Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun.

"Namun, kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan generasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," kata SM Mohamad.

Selain itu, katanya timbul kebimbangan sampai berapa lama bahan radioaktif dalam takungan berkenaan akan selamat dan tidak bocor atau tercemar akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu.

NONE“Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.”

Australia sebelum ini dilaporkan telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa yang diproses dari kilangnya di Gebeng untuk dibawa pulang ke negara itu semula.

Tiada ulasan: