Khamis, 22 Mac 2012

.PAS Wilayah lancar operasi jejak pengundi ragu

Harakahdaily,


LUMPUR:
PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) akan mengadakan operasi menjejak pengundi ragu di seluruh Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Ketua penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, ini berikutan pendedahan daripada Ahli Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan pilihan raya telah mendedahkan seramai 79,098 dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mempunyai alamat sama.

Justeru itu, jelasnya PAS WP akan menggerakkan seluruh jentera pilihanraya PAS WP untuk mengumpulkan maklumat jumlah pengundi ragu di Wilayah Persekutuan dan akan mendedahkannya selepas itu.

“Antara tindakan yang akan dilakukan ialah menjejak pengundi-pengundi ini sehingga ke rumah mereka bagi menyiasat dan mendapatkan gambaran sebenar,” katanya.

Tambahnya, tindakan itu bagi memastikan tidak ada pengundi luar atau yang tidak berkaitan dalam parlimen terbabit turun mengundi dalam PRU13 nanti.

“Ia seperti suatu pengkhianatan terhadap pengundi yang sah di parlimen tersebut.

“Ia juga menunjukkan bahawa ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat tidak lagi meletakkan kepercayaan kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih seperti yang diharapkan rakyat selama ini,” ujarnya.

Ternyata, kata beliau imej SPR tidak pulih dengan jumlah daftar pemilih yang masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Menurutnya, PAS WP percaya, rakyat di negara ini mahukan sebuah piliha nraya yang adil, bersih dan telus dijalankan dalam PRU13.

“Biarkan pilihan raya ditentukan sendiri oleh pengundi yang sah di negara ini dan membuat perubahan atas kehendak mereka sendiri, bukan ditentukan oleh pengundi-pengundi ragu yang bertebaran di merata tempat,” katanya.

Tiada ulasan: