Jumaat, 23 Mac 2012

AUKU tidak terpakai di Mesir

KL TODAY



Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) menggesa kerajaan Terengganu menarik semula pembatalan pinjaman pelajaran kepada beberapa pelajar Malaysia di Mesir yang terlibat dengan demonstrasi Bersih 2.0 dinegara itu sebelum ini.Timbalan Presidennya, Mohd. Asri Md. Daud mendakwa, tindakan tersebut menyebabkan proses pendidikan dan pelajaran yang sedang dilalui mahasiswa di Mesir terbabit terbantut.

“ILMAM dimaklumkan pada Februari lalu seramai sembilan pelajar menerima surat dari Yayasan Terengganu menyatakan penamatan perjanjian pinjaman pelajaran berkuatkuasa serta merta melalui mesyuarat Lembaga Pemegang-pemegang Amanah yang bersidang pada 18 Disember 2011.

“ILMAM kesal di atas tindakan itu kerana usaha untuk melahirkan generasi ummah melalui golongan agama sepatutnya di pandang tinggi. Ksinambungan generasi ulama dan professional adalah aset utama negara.,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Asri seterusnya mendakwa, penafian hak pinjaman terhadap pelajar terbabit juga menunjukkan seolah-olah Akta Universiti dan Kolej Universiti wujud di luar negara sedangkan perkara itu tidak terpakai kepada mahasiswa luar negara.

Sehubungan itu, katanya, ILMAM berusaha mengumpulkan dana bagi membantu sembilan mahasiswa tersebut dan rombongan ILMAM akan bertolak ke Mesir hujung bulan ini bagi mengetahui situasi sebenar serta menyampaikan dana tersebut.

Justeru, katanya, ILMAM menggesa kerajaan negeri meneruskan pinjaman itu kepada mahasiswa terbabit bagi memastikan kesinambungan pengajian dapat berjalan dengan baik dan sempurna.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai berkata, tindakan menarik balik pinjaman itu dibuat selepas kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan penjelasan pelajar terbabit ketika menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan.

“Kita biayai mereka untuk pergi belajar, bukannya untuk terlibat dengan demonstrasi atau perkara yang tidak diingini,” tegas Ahmad.

Tiada ulasan: