Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Gimik politik Datuk Seri Najib Razak yang memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas “kesalahan-kesalahan” lampau UMNO dan Barisan Nasional masih kabur kerana tidak pernah diakui secara khusus kesilapan-kesilapan kerajaan.
Justeru, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengambil langkah untuk membantu Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO serta Pengerusi BN dengan memperjelaskan kesalahan serta kesilapan Najib terhadap rakyat Malaysia.
“Sementara kita meminta penjelasan daripada Najib mengenai apakah kesilapan-kesilapan lampau BN…biarlah beliau meminta maaf terhadap kesilapan-kesilapan beliau sendiri dahulu, khasnya yang beliau lakukan dalam tempoh 35 bulan sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menyenaraikan beberapa kesalahan dan kesilapan Najib:
1. Merampas kuasa pemerintahan secara haram dari kerajaan negeri Perak Pakatan Rakyat pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang bertentangan dengan Perlembagaan yang Najib sendiri telah merancang dan melaksanakannya.
2. Kegagalan Najib mempertahankan dasar 1Malaysia timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian.
3. Politik hipokrisi di mana Najib berdakwah mengenai kemuliaan kesederhanaan di forum-forum antarabangsa tetapi mengizinkan kuasa-kuasa ekstrimis perkauman dan agama yang diterajui oleh pecacai UMNO, Utusan Malaysia, berleluasa di negara ini sehinggakan masalah polarisasi kaum dan agama menjadi semakin teruk dalam tempoh 35 bulan beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.
4. Ucapan Najib di Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang berjanji ‘walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa”, demi mempertahankan Putrajaya sebagai tampuk kuasa UMNO.
5. Bertambahnya kejadian-kejadian keganasan terhadap ahli-ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta para aktivis masyarakat madani yang dilakukan oleh Pemuda UMNO dan ahli-ahli Perkasa serta para penyokong mereka, termasuk tindakan menyerang peserta perhimpunan aman anti-Lynas di Sudut Pidato Pulau Pinang yang mengakibatkan dua orang wartawan cedera, sementara pihak polis berdiri di tepi tanpa menjalankan tugas mereka.
6. Gelaja rasuah yang semakin serius di Malaysia di mana kedudukan Malaysia di Indeks Persepsi Rasuah Transparency International tahun 2011 terjatuh ke tahap paling teruk iaitu No. 60 dan skor yang paling rendah iaitu 4.3, meletakkan Malaysia pada taraf paling korup sekali dalam tempoh 55 tahun sejarah negara di bawah pimpinan enam orang Perdana Menteri.
7. Kematian Teoh Beng Hock dan kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap orang yang terlibat dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, serta menahan dan mendakwa orang yang bertanggungjawab terhadap kematian Ahmad Sarbani Mohamad di bangunan SPRM, dan juga V Kugan di bawah jagaan polis dan lain-lain kes kamatian semasa dalam penahanan pihak berkuasa.
8. Munculnya kembali politik Mahathirisme walau pun generasi Malaysia masa kini masih terbelenggu oleh skandal-skandal kewangan yang tercetus dalam tempoh 22 tahun Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia, dan baru-baru ini usaha “menyelamatkan” bekas pengerusi MAS Tajudin Tamli buat kali ketiga yang bernilai RM840 juta menerusi penyelesaian luar mahkamah dengan Danaharta dan beberapa GLC.
9. Politk rasuah, kronisme dan naungan yang berterusan sepertimana yang berlaku dalam penganugerahan RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) kepada dua syarikat, Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang ada hubung kait degan peguam UMNO Datuk Hafarizam Harun dan isteri bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, dan Lebuhraya West Coast bernilai RM7.1 bilion menghubungkan Banting ke Taiping yang diberikan kepada Kumpulan Europlus Bhd dengan konsesi selama 60 tahun.
10. Keengganan kerajaan UMNO-BN menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah pendatang tanpa izin yang berlarutan di Sabah yang menjadikan rakyat Sabah bagai orang asing di tanah bumi sendiri.
11. Salah urus perhimpunan Bersih pada Julai tahun lalu yang bertujuan menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil, dengan kerajaan UMNO-BN memburuk-burukkan imej para penganjur dan penyokong Bersih, sementara kumpulan pelampau dan ekstrem dibiarkan menyebar dan mengugut mesej keganasan, mengapi-apikan suasana kebencian kaum dan agama.
12. Kegagalan Najib untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan, kebebasan dan profesionalisme institusi-institusi utama negara, termasuk kehakiman, polis, pejabat Peguam Negara, SPRM, SPPR, dan sebagainya.
Menurut Kit Siang, banyak lagi kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan oleh Najib sendiri dalam tempoh 35 bulan ini yang perlu beliau minta maaf.
“Dan kita belum lagi menceritakan kesalahan-kesalahan lampau yang dilakukan oleh BN yang mengakibatkan keputusan pilihan raya umum paling teruk baginya dalam tahun 2008.
“Adakah Najib bersedia untuk meminta maaf dan menarik balik ugutan ini dengan mengumumkan bahawa selaras dengan tujuan beliau menjadikan Malaysia sebuah ‘demokrasi paling baik di dunia’, beliau dan para pemimpin UMNO akan secara aman dan tanpa syarat menerima keputusan PRU yang akan datang sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di Putrajaya?” soal beliau.- Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan