Khamis, 29 Mac 2012

Anwar: Seminar di Johor gerakan politik yang menjijikkan




KUALA LUMPUR — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mendesak Putrajaya memberikan penjelasan berhubung seminar “ancaman Kristianisasi” pada Sabtu ini yang mana Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara itu sebagai “gerakan politik yang menjijikkan.”

Anwar (gambar) ketika ditanya ketika sidang media di Parlimen petang ini bersetuju bahawa program sedemikian adalah berbahaya dan akan memberikan tekanan kepada hubungan antara agama di negara ini.

“Apa yang saya boleh katakan ini adalah satu gerakan yang menjijikkan apabila menggunakan agama untuk menakutkan orang lain,” katanya.

Ketua Pembangkang itu turut mengaitkan program tersebut dengan Umno, berkata pemimpin kerajaan kerap kali menggunakan sentimen agama untuk mendapatkan sokongan Melayu.

Namun begitu, Anwar menambah sekiranya ancaman Kristianisasi itu wujud, pihak yang berkenaan perlu mengemukakan bukti dan bukannya menimbulkan ketakutan dan kemarahan masyarakat Muslim.

“Adakah benar berlakunya gejala Kristianisasi dalam kalangan Muslim,” soalnya.

Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Mufti Johor bertajuk “Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan Pluralism Serta Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam. Apa Peranan Guru?” yang mana setiap sekolah perlu menghantar dua guru agama daripada keseluruhan 55 sekolah kebangsaan di negeri tersebut.

Tiada ulasan: