Rabu, 21 Mac 2012

AMK gesa KPT campur tangan isu penarikan pinjaman pelajar

Oleh: Mohd Martin Kahar

Affandi Malik (paling kiri) dan Rozan Azen (berkacamata dua dari kiri) bertemu Saifuddin Abdullah di Parlimen


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mahu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin campur tangan terhadap penarikan pinjaman sembilan pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang menyertai demonstrasi BERSIH 2.0 akhir tahun lalu.

Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Rozan Azen Md Rasip berkata, tindakan memberhentikan pinjaman itu sebagai tindakan berat sebelah kerana kerajaan negeri sepatutnya membela nasib rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Jika diberhentikan pinjaman, anak muda ini tidak dapat melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

“Ia merugikan kerajaan negeri kerana pelajar ini bakal menjadi ilmuan pada masa akan datang,” katanya selepas bertemu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di Parlimen petang tadi.

Turut serta pada sidang media itu, Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail dan Timbalan Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Mohd Affandi Abd Malik.

Pada 19 Mac lalu akhbar melaporkan Yayasan Terengganu menarik balik pinjaman yang diberikan kepada sembilan pelajar bidang perubatan dan pengajian Islam di Mesir setelah dikenal pasti terbabit dengan demonstrasi BERSIH di republik itu akhir tahun lalu.

Penarikan pinjaman itu dilakukan berkuat kuasa serta-merta mulai awal tahun ini.

Semua pelajar terbabit dikatakan menyertai perhimpunan di perkarangan Kompleks Asrama Negeri YT di Hayyu Hasyrr di Kaherah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata penamatan pinjaman pengajian itu dibuat berikutan Yayasan Terengganu tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan semua pelajar terbabit selepas diberi surat tunjuk sebab mengenai pembabitan mereka dalam demonstrasi itu.

Dua daripada pelajar terbabit adalah penuntut tahun tiga perubatan yang mendapat pinjaman pembiayaan pengajian berjumlah RM300,000 seorang, manakala tujuh pengajian Islam antara tahun satu hingga empat mendapat kira-kira RM24,000 seorang.

Pengerusi MPN Terengganu, Azan Ismail

Sementara itu, Mohd Affandi berkata, AMK melancarkan tabung bagi membantu sembilan pelajar terbabit.

“Kami difahamkan mereka terpaksa menanggung kos sara hidup menggunakan wang sendiri setelah pinjaman diberhentikan. Jadi kita melancarkan tabung bagi membantu mereka melanjutkan pengajian dan menampung kos sara hidup di sana,” katanya.

Mengulas perkara sama, Azan (gambar) yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata sebagai Menteri Besar, Ahmad Said perlu melihat skop lebih luas bukan mengorbankan masa depan anak muda terengganu semata-mata perbezaan politik.

“Menyertai perhimpunan BERSIH bukan menghadiri aktiviti menentang kerajaan. Tindakan serta merta ini membunuh masa depan anak muda Terengganu yang berpotensi dalam bidang profesional,” katanya.

Beliau juga berjanji akan membawa isu tersebut ke Parlimen untuk menuntut campur tangan pihak yang bertanggungjawab.

Tiada ulasan: