shahbudindotcom
Secara
tiba-tiba pada 1 Mac lalu, tersebar berita mengenai pengarah pemasaran
sebuah syarikat membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin kanan
UMNO yang mendakwa melakukan penyelewengan dana sebanyak RM2.7 juta
melibatkan yayasan yang diterajuinya.
Dana
tersebut dikatakan adalah geran untuk membangunkan perisian komputer
bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM.
Laporan polis yang dibuat pada Isnin, 27 Februari itu kemudian dipanjangkan SPRM untuk tindakan seterusnya.
Ketika
itu, semua orang berteka-teki siapakah pemimpin kanan UMNO tersebut,
tambahan lagi apabila SPRM pada 2 Mac turut mengeluarkan kenyataan akan
menyiasat "Ahli MT UMNO" tersebut, meskipun dilaporkan laporan polis itu
sudah ditarik balik.
Dalam
kenyataannya kepada media, pengarah pemasaran itu mengatakan beliau
menarik balik laporan polisnya kerana menganggap kes yang
dibangkitkannya sudah selesai.
Walaupun
demikian, di media sosial khususnya, masih ramai yang tertanya-tanya
siapakah "Ahli MT UMNO" yang dikaitkan itu dan benarkan dakwaan yang
ditujukan terhadapnya?
Ada
juga yang mempersoalkan kenapa SPRM terlalu cepat memberi kenyataan dan
dengan berani pula menyebut pemimpin berkenaan sebagai "Ahli MT UMNO"?
Segala-galanya
hanya terdedah apabila Annuar Musa yang sedang berada di Mekah memberi
respon agak panjang mengenai perkara tersebut di laman Facebook
miliknya.
"Kita
terpinga-pinga dibuatnya berikutan adanya laporan polis dan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kemudian dengar pula laporan polis
ditarik balik kerana sudah selesai cara baik,” kata Annuar dalam
tulisannya di laman sosial itu.
Selain
menafikan segala tuduhan yang ditujukan terhadapnya, Annuar yang juga
Ketua Penerangan UMNO dan Pengerusi Mara turut menyifatkan, segala
dakwaan terhadapnya dan melibatkan yayasan yang diterajuinya, adalah
fitnah dan palsu.
“Apakah
aduan palsu dan memberi maklumat palsu tidak perlu disiasat atau
‘tangan ghaib ini’ cukup berkuasa dan boleh mengatur segalanya mengikut
selera mereka?
“Cukuplah
saya membiarkan pihak tertentu bebas dengan tindakan mereka. Apakah
undang-undang negara ini sewenang-wenangnya membenarkan tuduhan atau
aduan untuk diviral sehingga pihak tidak bersalah menjadi mangsa fitnah
demi fitnah.
“Apakah
ini senjata peras ugut apabila kehendak seseorang atau taiko di
belakangnya tidak ditunaikan atau bila lagi perniagaan seseorang tidak
menjadi?” soal beliau lagi.
Sehubungan
itu, Annuar kini menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap pihak yang didakwa telah memfitnahnya.
Meskipun
diketahui bahawa pihak yang membuat laporan polis itu adalah seorang
pengarah pemasaran, di media sosial dan warung kopi orang-orang UMNO
berhampiran PWTC, rancak diperbualkan bahawa seorang Ahli Majlis Mara
adalah antara yang dikatakan terlibat mendalangi laporan polis kepada
Annuar itu.
Individu
berjawatan pengarah pemasaran itu pula adalah seorang ahli UMNO dan
pernah bertanding jawatan Exco Pemuda dalam pemilihan 2013 yang lalu,
tetapi tewas.
Annuar
sendiri dalam tulisannya turut menyebut tentang kewujudan "tangan
ghaib" dan "taiko yang berada di belakang" dalam kemelut yang
dihadapinya.
Siapakah
"tangan ghaib" dan "taiko" tersebut dan adakah Annuar memang menyedari
ada musuh dalam persekitaran yang dekat dengannya?
Tidak
lama sebelum ini, ketika Annuar berada di New Zealand, satu mesyuarat
khas Ahli Majlis Mara telah diadakan secara mengejut dan hasilnya beliau
telah digantung jawatan sebagai Pengerusi Mara untuk membolehkan
siasatan dijalankan berhubung tajaan UniKL dan Pelaburan Mara Bhd kepada
pasukan bolasepak Kelantan.
Kali ini, ketika berada di Mekah, beliau sekali lagi menghadapi serangan berkaitan penyelewengan dana pula.
Adakah kedua-dua kejadian menimpa Annuar itu melibatkan Ahli Majlis Mara yang sama atau ada kaitan antara kedua-duanya?
Apakah permasalahan sebenar antara Annuar dengan Ahli Majlis Mara itu?
Siapakah yang bakal kena saman dengan Annuar kali ini?
Pengarah
pemasaran yang membuat laporan kepadanya saja atau Ahli Majlis Mara
yang menjadi sebutan ramai dan disebut sendiri oleh Annuar sebagai
"tangan ghaib" dan "taiko" itu akan turut disaman sama?
Jika
saman Annuar turut melibatkan Ahli Majlis Mara, barangkali pertama kali
berlaku dalam sejarah di mana Pengerusi Mara menyaman Ahli Majlis Mara
sendiri.
Satu
lagi episod menarik dalam UMNO bakal menjadi tatapan kita dan boleh
jadi satu lagi tanda UMNO ini semakin mereput dan wajib ditolak
seluruhnya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan