Rabu, 1 Mac 2017

‘Amma’ bawa bahasa Inggeris ke sekolah kampung Melayu

 
Bermula dengan “anda boleh cakap Kristian?” kepada fasih bertutur bahasa Inggeris, dikir barat berbahasa Inggeris dan banyak lagi – kisah guru luar biasa di sekolah kampung di Kedah.




SUNGAI PETANI: Bahasa Inggeris ialah bahasa “alien” di sebuah kampung majoriti Melayu di pedalaman Kuala Kedah.

Dan apabila sekumpulan 18 pelajar mula bertutur bahasa Inggeris dalam perbualan seharian mereka di dalam dan luar sekolah, mereka dipandang pelik dan diperlekehkan – kerana bercakap bahasa Inggeris menjadi tabu.

Tetapi ia semua berubah di SMK Pinang Tunggal dalam tempoh hanya 3 tahun sejak 2013, apabila semua pelajarnya tiba-tiba “disengat serangga” bahasa Inggeris.

Agen itu datang dalam bentuk seorang wanita bertubuh kecil – Cheryl Ann Fernando, 31, seorang guru import dari Kuala Lumpur.

Beliau menandatangani kontrak 2 tahun bersama Teach for Malaysia, satu kumpulan pendidikan yang mencari guru dan menempatkan mereka di sekolah yang amat memerlukan.

Beliau dilatih terlebih dulu dan kemudiannya dihantar ke SMK Pinang Tunggal pada 2013.

Dalam hanya 2 tahun, beliau membawa sekolah pedalaman itu ke liga lebih besar, menempatkan pelajarnya dalam kalangan terbaik di daerah itu.

Beliau menggabungkan kira-kira 40 pelajar dari tingkatan satu hingga lima untuk pertandingan choral speaking pada 2014 dan memenangi tempat ke-5 daripada 25 sekolah di daerah itu.

Walaupun pelajarnya tidak menang tempat pertama, ia menjadi satu pencapaian besar, meletakkan mereka dalam liga sekolah elit di negeri itu.

Bagaimana beliau melakukannya?

Buat permulaan, Fernando berkata beliau hapuskan semua latihan tatabahasa dan karangan yang membosankan.

“Kebanyakan pelajar sudah memang terlalu lemah dalam bahasa Inggeris, jadi saya fikir, biarlah kita realistik dan beri mereka sesuatu yang boleh mereka kaitkan dengan kehidupan,” katanya.

Beliau menggunakan budaya popular untuk memulakan pengajaran dengan muzik, televisyen dan filem sebagai alat bantuan.

Beliau menggunakan muzik daripada kumpulan kegemarannya, The Script mengajar pelajarnya menyanyi lagu “Superheroes” dan “The Man Who Can’t Be Moved” — dengan menggunakan liriknya untuk menggalakkan sebutan yang tepat dan memperoleh beberapa perkataan baharu dalam bahasa Inggeris.

Dan menggunakan beberapa kemahiran yang diperoleh ketika seketika berada di sekolah antarabangsa, teknik itu berjaya.

“Kami juga buat persembahan dikir barat dalam bahasa Inggeris.

“Tajuknya ‘All about the waves’ diadaptasi daripada lagu hit ‘All about that bass’ nyanyian Meghan Trainor dan sedikit lagu Taylor Swift dijadikan parodi.

“Saya juga minta mereka tulis diari untuk memperbaiki penulisan mereka. Saya memeriksanya setiap minggu untuk memastikan mereka meningkat.

“Saya juga masih simpan diari mereka sebagai kenangan,” katanya kepada FMT dalam satu temu bual di kedai pizza di sini baru-baru ini.

Fernando juga memastikan semua pelajar bertutur bahasa Inggeris, dengan mengisytiharkan bilik darjahnya sebagai “Zon bahasa Inggeris saja”. Sesiapa yang cakap bahasa lain akan didenda.

“Pelajar lain mengusik kelas saya kerana bercakap bahasa Inggeris, dan bila mereka menang pertandingan peringkat negeri, semua senyap,” katanya.

Lagu Superheroes menarik perhatian dan kisahnya kini akan dipersembahkan dalam bentuk filem bertajuk “Adiwira Ku” di pawagam seluruh negara bermula 9 Mac ini.

Walaupun Fernando tidak berada dalam filem itu, seramai 20 pelajar dari kelasnya mengambil bahagian dalam filem itu.

Fernando disayangi dan dihormati pelajarnya hinggakan mereka memberinya nama panggilan, “Amma” (panggilan emak dalam bahasa Tamil).

“Anda cakap Kristian?”

Mengenang hari pertamanya di SMK Pinang Tunggal, Fernando berkata ramai yang kagum melihatnya kerana mereka tidak pernah bertemu dengan orang berketurunan India di depan mata.

“Mereka tanya saya bangsa apa dan saya kata saya orang India dan saya Kristian.

“Pelajar yang tidak tahu apa-apa itu kemudian tanya ‘boleh anda cakap Kristian?’,” katanya.

Fernando sebelum ini bertugas sebagai eksekutif perhubungan awam dan beliau meninggalkan kerjanya itu untuk mencuba “sesuatu yang lebih mencabar”.

“Kali pertama saya mengajar ialah di sebuah kampung di Puchong. Mengajar kanak-kanak India yang miskin secara separuh masa. Di situ saya sedar yang saya memang ditakdirkan untuk mengajar.

“Saya hendak melakukan sesuatu yang penting untuk negara, jadi saya berhenti kerja dan mengajar sepenuh masa.

“Saya pada mulanya berfikir untuk mengajar di sekolah antarabangsa setahun sebelum berpindah ke sekolah di pedalaman yang dihantar Teach For Malaysia,” katnaya.

Tidak pernah terjangkau di fikirannya, kehidupannya berubah dan akhirnya beliau berada di sebuah sekolah di pedalaman Kedah.

“Tiga hingga 4 bulan pertama sangat mencabar. Semua orang makan nasi waktu pagi, saya tidak biasa. Orang tempat lain makan roti! Tetapi sekarang saya sudah biasa.

“Dan hari ini saya boleh katakan makanan Melayu di Kedah yang terbaik,” katanya.

Pelajar Fernando masih berhubung dengannya menerusi aplikasi Whatsapp dan Facebook.

Dalam temu bual FMT bersamanya di restoran piza kegemarannya di Sungai Petani itu, ada pelajar yang bertemunya di situ datang memeluknya.

Fernando membeli pizza dan makanan ringan lain untuk pelajarnya sebagai motivasi – dan kadang-kadang ia menjadi lokasi pelajar berlatih choral speaking.

Fernando meninggalkan SMK Pinang Tunggal pada 2015 untuk melanjutkan pelajarannya di peringkat PhD dalam bidang Rekaan Kurikulum di Universiti Sains Malaysia.

Beliau kini ketua pendidikan dan pembelajaran EduNation, sebuah platform yang menyediakan tuisyen online percuma kepada pelajar.

Tiada ulasan: