Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyambut baik
keputusan Pakatan Harapan (PH) yang sebulat suara menerima kemasukan
parti itu sebagai ahli baru gabungan berkenaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, penyertaan
PPBM diyakini akan menjadi nilai tambah kepada PH, khususnya dalam
menarik sokongan ahli Umno terhadap gabungan itu.
"Itu yang kita harap-harapkan, dan kita ucap terima kasih di atas kesediaan pucuk kepimpinan PH untuk menerima penyertaan PPBM.
"Jadi, selepas ini kita harap kita dapat bergerak sebagai satu pasukan,
walaupun sebelum ini kita bergerak bersama tapi PPBM dilihat sebagai
sebuah parti yang sekadar bekerjasama dengan PH tetapi tidak sebahagian
(gabungan).
"Yang diakui semua pihak termasuk rakan-rakan di PH ialah keupayaan
PPBM untuk menarik sokongan dari kalangan ahli dan penyokong. Itu nilai
tambah kami dalam gabungan ini," katanya kepada Antarapos ketika
dihubungi.
Tambah mantan Menteri Besar Kedah itu, beliau mengharapkan kerjasama
yang dipupuk antara keempat-empat parti komponen mampu meyakinkan rakyat
bahawa gabungan itu merupakan kerajaan alternatif yang menanti peluang
untuk diberi mandat pada pilihan raya akan datang.
Mengulas bersabit cadangan PPBM kepada PH yang meminta agar nama
gabungan disesuaikan serta pewujudan satu logo dan manifesto bagi
menghadapi PRU14, ujar Mukhriz lagi, ia masih diperingkat perbincangan.
Terdahulu, mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini mengumumkan sebulat suara menerima PPBM sebagai anggota terbaru gabungan itu.
PH juga bersetuju mengadakan logo baru dan mengemaskini manisfestonya
menuju PRU14 untuk disesuaikan dengan penyertaan PPBM ke dalam gagasan
itu.
"Sekretariat Pakatan Harapan akan mengutus surat kepada Bersatu (PPBM) untuk memaklumkan perkara tersebut.
"Mesyuarat bersetuju berbincang segera dengan keempat-empat parti untuk
merangka manifesto bersama dan mewujudkan logo baru," menurut kenyataan
bersama pemimpin tertinggi PKR, DAP dan Amanah.
Kenyataan itu ditandatangani bersama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah
Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad
Sabu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Politik PKR, Datuk Kamaruddin
Jaafar memberitahu Antarapos perubahan logo dan kemaskini manifesto PH
akan dibincang secara berterusan dalam gagasan itu selepas ini.
"(Agenda ubah logo dan manifesto) Akan jadi bahan perbincangan
berterusan dalam PH. Tidak ada keputusan muktamad tentang itu lagi. Saya
rasa tidak ada timeline (tempoh waktu)," ujarnya ketika ditemui di lobi
Parlimen, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan