Selasa, 14 Mac 2017

Perdebatan dengan Tun M tingkat industri pelancongan di Padang Rengas, kata Nazri


ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, perbahasan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini akan meningkatkan industri pelancongan di Padang Rengas.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, beliau yakin ramai akan datang ke kawasan yang diwakilinya itu untuk menyaksikan perbahasan tersebut.

“Orang ramai akan datang, menghabiskan wang di sana dan sebahagian daripada mereka yang mahu bermalam. Ia akan meningkatkan industri pelancongan di Padang Rengas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Perdebatan antara kedua-dua pemimpin itu akan berlangsung di MRSM Sultan Azlan Shah, Perak.

Nazri berkata, beliau tidak akan mewakili kerajaan dalam perbahasan itu dan tidak memerlukan sokongan untuk meneruskan perdebatan tersebut.

“Sama ada terdapat sokongan dari UMNO atau tidak, walaupun saya seorang sahaja, saya akan teruskan. Saya tidak memerlukan sebarang sokongan daripada rakan-rakan.

“Saya akan melakukan apa yang saya mahu selagi ia tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Nazri sebelum ini menyahut pelawaan Dr Mahathir untuk berdebat secara terbuka mengenai sebarang isu yang menjadi perang mulut antara kedua-dua pemimpin itu.

Pelawaan itu dilakukan Dr Mahathir selepas menolak cabaran Nazri kepadanya untuk bertanding dalam pilihan raya di Padang Rengas.

Dr Mahathir menyifatkan cabaran berkenaan sebagai kosong, sebaliknya mengajak Ahli Parlimen Padang Rengas itu berbahas secara terbuka mengenai pelbagai isu termasuklah 1MDB, RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pinjaman RM55 bilion untuk keretapi pantai dan skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF).


Tiada ulasan: