Rabu, 1 Mac 2017

Penulis blog direman kes Akta Hasutan, Kanun Keseksaan

ANTARAPOS.COM
Post Pic


JOHOR BAHRU: Penulis blog yang sebelum ini ditahan reman kerana disyaki mengeluarkan kenyataan jelik dan fitnah berkaitan kes kemalangan basikal, kini direman untuk kes kedua mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan hasutan terhadap kepemimpinan negara.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini, dikeluarkan Penolong Pendaftar, Faridatul Farrah Mohd Shukri, yang membenarkan permohonan polis bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Terdahulu, suspek berusia 64 tahun itu yang memakai baju lokap tiba di Mahkamah Majistret di sini, pada jam 3.50 petang dengan diiringi polis.

Penahanan suspek susulan laporan diterima polis pada jam 3.06 petang semalam berhubung kenyataan fitnah dan hasutan terhadap kepimpinan negara menerusi laman blog miliknya.

Suspek ditahan semula di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini, pada jam 3.30 petang, semalam.

Pada 26 Februari lalu, penulis blog itu ditahan reman selama tiga hari bersama seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk bagi membantu siasatan polis kerana mengeluarkan kenyataan jelik dan fitnah berkaitan kes kemalangan basikal.

Mereka ditahan kerana disyaki membuat kenyataan jelik dan fitnah, berkaitan kemalangan yang mengorbankan nyawa lapan remaja berbasikal, di bandar raya ini minggu lalu.

Mereka ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ahli perniagaan yang juga ahli Umno Bahagian Pagoh dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Tiada ulasan: