Sabtu, 25 Mac 2017

Pas terus gesa kerajaan turunkan kadar GST

MALAYSIA DATELINE

Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim Tuan Man

Pas mengulangi gesaan agar kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diturunkan daripada 6% kepada 4.7% sejajar dengan kenaikan kadar inflasi yang mencecah 4.5%.

"Penurunan kadar GST sejajar kenaikan kadar inflasi boleh menstabilkan kuasa membeli rakyat dan seterusnya menurunkan tekanan pada golongan berpendapatan rendah dan sederhana," kata Timbalan Presiden Pas Datuka Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi tidak akan sesekali mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan, kerana harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar GST.

"Inflasi negara di bulan Februari telah mencecah 4.5%, jauh lebih tinggi daripada apa yang dijangka para penganalisis ekonomi.

"Perkara ini tidak mengejutkan ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga minyak ke RM2.30 pada 1 Februari 2017 tanpa mempedulikan kesan terhadap rakyat," katanya.

Menurut beliau juga, kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi berbanding realiti yang menyebabkan harga barangan akan terus meningkat dan rakyat yang sudah merana terpaksa lagi membayar lebih di bulan-bulan akan datang untuk segala jenis barangan konsumer.

"Mengumumkan harga minyak baharu secara mingguan bukan cara holistik untuk menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.

"Apabila kerajaan bereksperimen dengan harga siling minyak nanti, dikhuatiri kerajaan akan menggunakan persaingan harga minyak antara stesen minyak untuk mencuri peluang mengenakan GST pula pada pembelian petrol, kononnya untuk mengelakkan penyelewengan," katanya

Tiada ulasan: