Khamis, 30 Mac 2017

Kerajaan tak bentang RUU355


Datuk Seri Najib Razak berkata Dewan Tertinggi BN malam ini memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen.

Menurut perdana menteri, keputusan itu diambil selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.



"Dewan Tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya)," kata Najib pada sidang media di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam ini.

Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini.

Katanya, perdana menteri komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.

Perkembangan itu, kata Ahmad Zahid, memperlihatkan kerjasama kerajaan BN dengan "rakan baru" yang pernah menjadi musuh politik mereka demi memelihara kesucian Islam dan kedaulatan Melayu.

Undi mungkin ada mungkin tidak

Bagaimanapun mengulas kenyataan berkenaan, Abdul Hadi berkata, PAS tidak menganggap pendirian kerajaan itu sebagai muktamad,

Malah, kata anggota parlimen Marang itu, PAS mahu melihat dulu draf yang disediakan kerajaan berhubung cadangan pindaan berkenaan bagi mengelakkan ia "bertindih" serta "tidak mahu berlawan".

Usul meminda Akta 355 itu dibawa Abdul Hadi untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah menjadi RM100,00 denda, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.

Selain memecahkan perpaduan pembangkang, usul berkenaan juga ditentang hebat parti komponen dalam BN.

Mengulas lanjut, Najib berkata, ketika ini terserah kepada Pandikar sama ada akan membenarkan rang undang-undang Abdul Hadi itu dibentangkan di Dewan Rakyat atau tidak.

"Kalau speaker memutuskan untuk membenarkan (ia dibentangkan), maka ia akan dibentangkan. Begitu juga dengan keputusan peraturan rang undang-undang tersebut," kata Najib.

Ditanya adakah ketetapan diambil itu bermaksud ahli parlimen BN tidak menyokong rang undang-undang itu apabila ia dibentangkan atau mereka boleh mengundinya, Najib sekali lagi berkata, ia bergantung kepada peraturan speaker.

"Mungkin ada atau tidak ada undian. Bergantung kepada peraturan speaker untuk memutuskannya," kata Najib.

Mengenai Umno dilihat cenderung kepada cadangan tersebut, Najib menafikannya.

"Tidak, kita semua percaya mengenai semangat dasar konsensus. Begitulah cara BN," tegas Najib.

Sementara itu mengulas perkembangan terkini kes pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam, Najib berkata pihaknya akan membuat kenyataan bila tiba masanya.

"Saya diberitahu dalam kes ini kita akan buat kenyataan apabila tiba masanya.

"Saya harap kita bersabar kerana perkara ini (masih) dalam rundingan antara kerajaan dan agak sensitif.

"Kita pentinglan hasilannya. Maknanya keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Pyongyang (diutamakan) di samping imej negara kita sebagai negara berdaulat," katanya.


Tiada ulasan: