Rabu, 15 Mac 2017

'BERSATU tak beri kata putus kerana dibayangi DAP'

Bernama


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih belum memberi kata putus sokongan terhadap usul Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) kerana dipercayai ingin menjaga hubungan dalam pakatan pembangkang.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata kegagalan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian parti itu mungkin kerana dibayangi oleh keputusan pembangkang yang dikuasai oleh DAP, yang secara terang-terangan menolak pindaan itu.

"Itu satu permuafakatan dalam saf pembangkang, walaupun secara individu ramai yang menyokong tapi mereka terpaksa mengikut apa yang ditentukan oleh pakatan mereka.

"Sebab itu kita dengar pemimpin PAS yang hampir separuh hayat mereka berjuang tentang perkara ini, bila bertukar parti, tidak lagi berada dalam PAS, kita tengok nada mereka pun sudah berubah walaupun menyentuh soal agama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Annuar turut menyifatkan tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang secara semberono menentang usul pindaan Akta 355 itu sebagai tidak menghormati Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Menurut Annuar perkara yang menyentuh mengenai agama Islam perlu dibincangkan secara tertib oleh mana-mana kaum sebagai menghormati kedudukan agama itu.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) ketika mengulas perkara itu berkata perbuatan "pusingan U politik" dalam kalangan pembangkang sudah menjadi satu kebiasaan.

Malah, katanya sehingga hari ini pandangan pembangkang berkaitan usul Akta 355 masih tidak sehaluan, berbanding Barisan Nasional yang mempunyai pendirian tetap.

"Satu hari kita dengar pandangan ini, esok pula berubah. Sukar untuk menilai pendirian mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin berkata, BERSATU belum dapat membuat keputusan berhubung RUU355 selagi ia tidak dibentangkan di Parlimen.

Muhyiddin dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini bahawa bekas timbalan perdana menteri itu menyokong cadangan pindaan Akta 355.- Bernama

Tiada ulasan: