Isnin, 27 Mac 2017

Umno tidak pernah menggantung ke atas PAS .

Berita Daily Staff

Jika DAP bermain dengan politik rasis, harap PAS jangan pula memperalatkan isu agama hanya kerana ingin mendapat sokongan pengundi Melayu

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS yang dilihat bermain tarik tali sememangnya sudah diduga dan Umno tidak pernah menggantung harapan terlalu tinggi kepada parti pimpin Abdul Hadi Awang itu, kata Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee.

Malah kata beliau, Umno tidak terkilan jika PAS mengambil keputusan muktamad untuk tidak bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang

“Umno sebelum ini pernah menghulurkan salam perpaduan dengan PAS atas dasar kepentingan orang Melayu dan umat Islam tetapi ditolak mentah-mentah oleh parti itu.”

“Dulu sewaktu era allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS dengan angkuh menegaskan tidak akan berlaku sebarang kerjasama politik dengan Umno,” kata beliau dalam tulisan terbaru di blognya UMNOBAHAGIANCHERAS.

Oleh sebab itu katanya, pengumuman Hadi bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun Umno pada PRU akan datang bukan sesuatu yang perlu dikesali.

“Secara peribadi, saya berpendapat Umno tidak terkilan atau kecewa dengan keputusan PAS, itu tindakan mereka untuk bersendirian berdepan PRU akan datang,” tambahnya.

Baru-baru ini, Hadi dilaporkan sebagai berkata bahawa parti itu mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Umno mahupun Pakatan Harapan pada PRU akan datang.

Hadi dipetik sebagai berkata pengumuman tersebut bagi menamatkan pelbagai spekulasi sebelum ini yang mendakwa PAS akan berkerjasama dengan Umno.

Umno ujar Syed Ali lagi, berniat ikhlas jika berlaku kerjasama politik dengan PAS kerana mengambilkira kedudukan dan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Persekitaran politik masa kini secara jelas menunjukkan kedudukan orang Melayu agak meruncing kerana berdepan dengan politik perkauman yang disemarakkan oleh pembangkang.

Bagaimanapun tegas Syed Ali, apabila PAS mengambil keputusan untuk bersendirian pada PRU akan datang bermakna parti itu sudah bersedia untuk menerima tentangan Umno.

“Umno sudah masak dengan sepak terajang politik yang dibawa oleh PAS dan sudah semestinya kita (Umno) akan menentang mereka habis-habisan termasuk mana-mana parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan,” tegasnya.

Menurut beliau, Umno sudah mempersiapkan jentera pilihan rayanya dan sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU akan datang.

“Sepertimana ditegaskan oleh Presiden Umno, Najib Razak, Umno akan menentang mana-mana musuh politik secara aggresif, kerana kita mahukan kemenangan lebih cemerlang.

Beliau yang juga Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan mengingatkan PAS supaya tidak ‘menjaja’ isu agama untuk mengemis simpati pengundi.

“Jika DAP bermain dengan politik rasis, saya harap PAS jangan pula memperalatkan isu agama hanya kerana ingin mendapat sokongan pengundi Melayu.

Dalam nada sinis beliau berkata, PAS sepatutnya sudah boleh menilai kemampuan sebenar mereka apabila mengambil keputusan menjauhkan diri daripada blok pembangkang.

“PAS sepatutnya sudah boleh ‘ukur baju di badan sendiri’ dan mereka kena faham senario politik sudah berubah,” ujarnya.

Mengenai kesepakatan Pakatan Harapan yang kini dicadangkan menggunakan nama Barisan Rakyat, Syed Ali berkata perkembangan itu bukan sesuatu yang boleh menyebabkan Umno panik.

Beliau berkata, pakatan parti-parti pembangkang di Malaysia tidak akan kemana selagi mereka bertuankan DAP yang berpegang kuat kepada amalan politik rasis.

Tambah beliau, pakatan pembangkang hanya nampak segar sewaktu hampirnya PRU dan selepas itu akan kembali layu dan tidak menarik minat orang ramai.

Mengulas kemungkinan wujud satu lagi parti baharu diketuai bekas senator, Ezam Mohd Noor, beliau menjelaskan semua pihak berhak menubuhkan parti politik jika niatnya untuk bertanding dalam PRU.

“Tetapi ramai orang bertanya,  apa sebenarnya dia (Ezam) mahu, sekejap masuk PKR, masuk Umno, masuk PPBM dan kini nak tubuh parti baharu, ini menunjukkan beliau tak ada prinsip,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, Umno boleh berbangga kerana tidak mempunyai individu seumpama ‘katak’ yang suka lompat-melompat kerana mengejar sesuatu.

Tiada ulasan: