Selasa, 14 Mac 2017

UMNO tidak cadang hadir debat Nazri-Tun M

Manzaidi Mohd Amin
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO tidak terlibat debat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang dijadualkan 25 Mac ini.

Sebaliknya, persetujuan debat itu dicapai kedua-dua pihak setelah cabar mencabar atas nama peribadi.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau juga tidak akan menghantar wakil ke Padang Rengas, Perak kerana debat itu tidak ada kena mengena dengan parti.

“Saya tidak menerima sebarang permohonan atau makluman daripada Nazri mengenai debat antara beliau dengan Dr. Mahathir.

“Saya pun tahu debat ini melalui media dan ini urusan peribadi antara mereka,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Nazri memberitahu, beliau telah mendapat makluman mengenai tarikh, tempat dan masa debat yang diuruskan Setiausaha Akhbarnya dengan pihak yang mewakili Dr. Mahathir.

Debat itu akan diadakan di dewan Padang Rengas mulai jam 3 petang dan kedua-duanya bersetuju untuk tidak meletakkan sebarang syarat.

Ditanya, adakah parti akan memanggil Nazri untuk berbincang mengenai debat itu, Annuar berkata, mereka berdua sudah menetapkan tarikh, tempat dan waktu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: