Ahad, 26 Mac 2017

Potong cincin pada anu, tugas bomba semakin ‘multi purpose’

 
Tugas kami bukan sekadar memadamkan kebakaran atau membantu mangsa kemalangan, malah pelbagai, termasuklah memotong cincin di kemaluan, kata Ketua Pusat Gerakan Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani.


samsol


PETALING JAYA: Tugas anggota bomba dan penyelamat lazimnya berkait dengan kerja-kerja memadam kebakaran atau membantu mangsa kemalangan.

Bagaimanapun trend kebelakangan ini menunjukkan anggota bomba juga terpaksa menjalankan tugas yang pelbagai atau multi purpose. Ini termasuk menyelamatkan mereka yang berhadapan dengan masalah cincin tersangkut di bahagian kemaluan.

“Tugas kami bukan sekadar memadamkan kebakaran atau membantu mangsa kemalangan, malah pelbagai, termasuklah memotong cincin di kemaluan,” kata Ketua Pusat Gerakan Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani.

Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dipetik Sinar Harian Online, sebanyak 40 kes bantuan pemotongan cincin tersekat di kemaluan diterima sepanjang 4 tahun sejak 2014 sehingga suku pertama tahun ini.

Pada 2014, sebanyak 10 kes membabitkan khidmat potong cincin dilaporkan dan diikuti dengan 22 kes pada 2015. Pada 2016 pula 8 kes dan sehingga Mac 2017, 3 kes dicatatkan setakat ini.

Kes terbaharu yang dilaporkan media berlaku minggu lalu di Pulau Pinang. Hospital Pulau Pinang terpaksa mendapatkan bantuan bomba bagi menyelamatkan seorang lelaki berusia 20-an yang kesakitan apabila kemaluannya tersangkut alat ‘bearing’ seperti cincin yang dipakainya.

Samsol yang menggelar pemasangan cincin di kemaluan itu sebagai cincin di ‘jari ke-11’ berkata, sikap pelik segelintir manusia sebenarnya mengundang bahaya kepada diri sendiri.

“Rata-rata mereka yang terlibat berusia lingkungan 20-an ke 40-an dan kebanyakan kes berlaku di bandar besar,” kata beliau.

Menurut Samsol, kebanyakan mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di hospital setelah gagal mengeluarkan cincin dan menyebabkan alat sulit membengkak.

Bagaimanapun, pihak hospital kemudian terpaksa merujuk kepada pihak bomba untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi kes seperti ini, pihak hospital akan menghubungi kami untuk memberi bantuan kerana mereka tidak memiliki peralatan yang sesuai bagi mengeluarkan cincin daripada alat sulit,” kata beliau.

Menurut Samsol, peralatan khas yang digunakan adalah hasil ciptaan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Kuala Lumpur.

“Pihak kami menggunakan peralatan khas, antaranya ‘ring cutter’ pressure gauge dan tabung udara untuk memotong cincin.

“Kebiasaannya masa yang diambil antara 10 ke 20 minit bergantung kepada jenis cincin yang digunakan iaitu aluminium, besi atau sebagainya serta ketebalan cincin tersebut,” kata Samsol lagi.

Jelas beliau, berbanding memotong cincin di tangan, operasi memotong cincin di bahagian zakar agak sukar kerana melibatkan abdomen yang tidak bertulang.

“Lebih sukar jika cincin jenis besi, logam dan aluminium yang digunakan tebal dan keras,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan penggunaan cincin zakar terutamanya yang diperbuat daripada besi.

“Tabiat manusia yang hanya mencari keseronokan sementara, akhirnya terpaksa menanggung kesakitan berjam-jam,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan, orang ramai seharusnya menjadikan kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini sebagai pengajaran.

Tiada ulasan: