Rabu, 15 Mac 2017

PAS teliti kembali rundingan jika PPBM sertai PH

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: PAS akan meneliti kembali rundingannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sekiranya parti baru itu sah menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana PAS sebelum ini 'difahamkan' bahawa PPBM hanya menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan masih bukan sebahagian daripada komponen PH.  
 
"Kita ada hubungan dengan satu parti, jadi parti itu ada hubungan dengan pihak lain, kita tak boleh halang. 
 
"Tapi dalam keadaan sekarang ini, PPBM bukan salah satu daripada komponen PH. Mereka, kita difahamkan hanya tanda tangan satu MoU untuk kerjasama politik dan bukan sebahagian daripada PH. 
 
"Kalau mereka buat keputusan nak sertai PH sebagai komponen, saya rasa itu kita kena teliti balik," kata beliau ketika ditemui pemberita di Persidangan Antarabangsa Rohingya di sini, malam tadi. 
 
Ahli Parlimen Kota Bahru itu juga 'mengimbas' pertemuan terakhir antara PAS dan PPBM, di mana menurutnya parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu pernah membayangkan kesukaran sekiranya mereka menyertai PH. 
 
"Tapi perjumpaan kita yang terakhir dengan beberapa pimpinan PPBM, mereka mengatakan bahawa mereka mungkin agak sukar nak bersama dengan PH. Itu yang diberitahu kpada kita. 
 
"Kalau mereka sertai PH, mereka jadi rakan paling junior, itu yang digambarkan kepada kita. Tapi kalau majlis tertingginya dah buat keputusan, kita kena teliti balik, belum lagi dalam pengetahuan," Takiyuddin mengulas lanjut.
  
PPBM dalam satu sidang media semalam mengumumkan akan menyertai PH, namun mahu nama gabungan itu disesuaikan.
 
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, secara dasarnya PPBM bersetuju selain nama pakatan baru, mereka juga ingin suatu logo bersama yang baru serta manifesto untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
 
Menurut Dr Mahahir, pemimpin PH sudah mengetahui niat PPBM mahu menyertai gabungan berkenaan.
 
Dalam waktu sama, PPBM kini sedang mengadakan rundingan bersama PAS bagi merintis kerjasama menghadapi PRU14, namun rundingan kedua-dua parti itu belum lagi mencapai kata putus.
 
Menurut Takiyuddin, ia masih di tahap perbincangan biasa, di mana kedua-dua parti sedang meneliti syarat masing-masing.
 
Antara pra-syarat PAS adalah PPBM boleh mengadakan hubungan dengan PH asalkan tidak bergabung menyerang PAS.    
 
"Kalau itu keadaannya, mungkin apa yang dihasratkan mereka (untuk berunding dengan PAS) mungkin tak dapat direalisasikan," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: