Jumaat, 31 Mac 2017

Najib tak malu, canang Wasatiyah tapi bertentangan keperibadiannya

Oleh Syukri Razab

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) tertarik dengan berita yang dilaporkan oleh Malaysiakini bertarikh 27 Mac 2017, bertajuk ‘Najib Cadang Wasatiyah Diajar Di Sekolah, Universiti’. Menghuraikan mengenai Dasar Wastiyah Negara (DWN), Perdana Menteri mengutarakan cadangan untuk memasukkan konsep Wasatiyah dalam Kurikulum peringkat Sekolah dan Universiti bagi memastikan masyarakat malaysia dapat menekuni prinsip kesederhanaan dalam kehidupan sekaligus menolak elemen ekstrimisme.

Secara asasnya, AMK menyambut baik seruan untuk memupuk hidup mesyarakat berlunaskan prinsip kesederhanaan sebagai tunjang keharmonian dan kemakmuran negara. Sikap ekstrimisme perlu dijauhkan kerana bertentangan dengan nilai-nilai kesejahteraan yang terkandung dalam semua agama.

Najib Rosmah

Konsep wasatiyah ini merupakan salah satu intipati penting daripada ajaran Islam. Mungkin Perdana Menteri terlupa bahawa Islam juga menekankan agar umatnya mengamalkan ajaran agama Islam secara keseluruhan, dan tidak mengambil ajarannya mengikut kepentingan tertentu sahaja. Ini dijelaskan melalui firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 208 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya”.

Selain Wasatiyah, Islam juga menekankan konsep-konsep lain seperti Qudwah Hasanah, iaitu contoh teladan yang baik dan juga Amanah itu kejujuran dalam setiap tingkah laku. Persoalannya, sesuaikah Najib untuk bercakap atas kapasiti pemimpin berwasatiyah?

Tidakkah Najib malu untuk mempromosikan Wasatiyah kepada mahasiswa apabila bajet untuk pendidikan tinggi dalam Belanjawan 2016 telah dipotong sebanyak 2.4 bilion. Dalam masa yang sama mahasiswa sedang berhadapan kemelut untuk menampung kos hidup akibat polisi baru PTPTN yang tidak lagi memberi pembiayaan penuh kepada isi rumah yang berpendapatan 4,000 ke atas.

Tidakkah Najib malu untuk mempromosi Wasatiyah kepada para pelajar sekolah dalam masa yang sama ibu bapa pelajar terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang akibat perlaksanaan GST, serta penghapusan subsidi petrol dan bahan asas lain seperti minyak masak.

Tidakkah Najib sedar bahawa Kerajaan sedang bersikap ekstrim dengan membebankan rakyat dengan segala macam bebanan ekonomi?.

Dalam keadaan rakyat semakin tersudut akibat tekanan ekonomi, Kerajaan masih berbelanja besar untuk projek-projek mega yang menelan belanja hampir 322 bilion. Najib pula pada penghujung tahun 2017 bercuti di Australia bersama keluarga beliau dengan menggunakan pesawat rasmi Kerajaan dan percutian ini tanpa segan silu dikongsikan oleh anak beliau di laman sosial. Terbaru Kerajaan mengeluarkan peruntukan sebanyak 15 juta untuk menganjurkan Forum Transformasi Global 2017 yang hanya berlangsung selama 2 hari.

Najib patut lebih malu apabila kebanyakan rakyat sedang membicarakan tentang derma 2.6 bilion yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau yang sehingga hari ini sumber dan tujuan dana tersebut masih gagal dijelaskan secara pasti.

Sangat ironi apabila Perdana Menteri sendiri merupakan penasihat kepada Institiut Wasatiyah Malaysia yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri yang semestinya menerima peruntukkan dengan jumlah tertentu daripada Kerajaan.

AMK khuatir, konsep Wasatiyah ala-Najib ini hanya akan menjadi alat untuk memaksa rakyat menelan segala macam polisi-polisi berat sebelah Kerajaan disamping mengekalkan jangka hayat Barisan Nasional

* Syukri merupakan Setiausaha Pengelola AMK

Tiada ulasan: