Ahad, 31 Mei 2015

Harga minyak naik 10 sen

MALAYSIAKINI


 


Berkuat kuasa tengah malam ini, harga petrol akan naik 10 sen seliter.

Kedua-dua RON95 dan diesel akan berharga RM2.05 liter manakala RON97 akan berharga RM2.35 per liter.

Semua harga termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang mana berkenaan.

"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Jun ini," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, lapor Bernama.

Harga minyak sebelum ini tidak berubah selama tiga bulan berturut-turut dengan petrol RON95 berharga RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.25 seliter dan diesel pada RM1.95 seliter.

Sementara itu, dalam reaksi segeranya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau berharap harga barang tidak naik ekoran kenaikan bahan bakar itu.

"Bila harga minyak turun, harga barang tak turun. Bila harga minyak dunia naik, maka minyak Malaysia juga naik. Harga barang jangan pula dinaikkan!" kata beliau dalam Twitternya. 


Nak Tutup 1MDB Tapi Berhutang Lagi?

A Kadir Jasin

NAK tutup (wind down) 1MDB?

Kalau nawaitu betul, “business model” bagus, harta banyak, juruaudit luar kata semua teratur, Lodin kata diurus dengan baik, tak ada siapa menipu, Jho Low tak ada kena mengena, tak bayar komisen berbilion ringgit dan tak ada duit lesap, sebab apa nak “wind down” 1MDB?

Takkan kerana dipertikai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipersoalkan oleh beberapa kerat blogger yang kutip berita dari tepi jalan (guna pakai ungkapan Encik Rizal Mansor), Perdana Menteri naik gabra dan nak tutup 1MDB?

Betul ka? Ini kita kena tanya jurucakap Kabinet mengenai 1MDB, Ahmad Husni Hazadlah. Itu pun kalau Ahmad Husni bercakap dengan atau atas persetujuan Kabinet.

Tapi surat khabar milik MCA, The Star kata, 1MDB akan ditutup menjelang awal tahun depan.

Kalau nak tutup, apa hal pula buat rancangan supaya para pelabur Abu Dhabi suntik AS$4.5 bilion (kira-kira RM16.4 bilion) ke dalam 1MDB untuk bayar balik hutang 1MDB sebanyak RM42bil itu?

Dua peminjam Abu Dhabi itu ialah International Petroleum Investment Company (IPIC) dan unit pelaburannya, Aabar Investments. Inilah syarikat Arab yang jadi “rakan kongsi” Jho Low dalam urus niaga dengan 1MDB.

Khadem al Qubaisi "kawan" Jho Low di IPIC kena lucut jawatan
Jadi bukan tutuplah, tapi atur balik perniagaan supaya boleh terus berhutang untuk bayar hutang. Masih cerita gali lubang baru untuk timbus lubang lama.

IPIC dan Aabar akan beri hutang baru RM16.4 bilion untuk bayar balik sebahagian daripada hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion, termasuk dari IPIC dan Aabar. AS$1 bilion sudah pun dimasukkan ke dalam akaun 1MDB.

Ikut berita The Star, 1MDB akan dipecahkan tiga, iaitu Tanah/Projek Tun Razak Exchange (TRX), Tanah/Projek Bandar Malaysia dan penjanaan elektrik  di bawah Edra Global Energy Sdn Bhd.

Pankalan TUDM Sungai Besi jadi Bandar Malaysia
IPIC dan Aabar tentulah tak akan suntik RM16.4 bilion kalau tak dapat cagaran yang berharga atau saham yang berbaloi. Rasa-rasanya mereka mahu saham dan bukan cagaran.

IPIC/Aabar Akan Dapat Saham Edra?

Maklumat tepi jalan kata, IPIC/Aabar mungkin mendapat hingga 49 peratus saham Edra Energy apabila disenaraikan atau dijual melalui pengeluaran persendirian.

Kita tidaklah mahu berburuk sangka dengan berkata mungkin duit RM16.4 bilion itu sebenarnya sebahagian daripada hutang 1MDB yang Dr Mahathir kata tidak dapat dikesan.

Tutup atau susun semula 1MDB tidak mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak-pihak yang mereka cipta 1MDB, khususnya Mohd Najib Abdul Razak selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Penyiasatan ke atas 1MDB wajib diteruskan. Alhamdulillah saya mendapat maklum daripada sumber-sumber tepi jalan yang rapat dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) bahawa banyak maklumat sulit sudah didapati.

Malangnya maklumat itu mungkin lebih buruk daripada yang kita ketahui selama ini. Besar kemungkinan lebih banyak bank dan institusi kewangan tempatan yang terdedah kepada krisis hutang 1MDB, termasuk institusi yang berkaitan eksport dan import. Dikhabarkan juga bahawa ada cek bernilai beratus juta dolar bertukar tangan.

Agaknya kerana sebab itulah Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tergesa-gesa memberi taklimat kepada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Shahrir Abdul Samad yang pernah jadi Pengerusi PAC. Shahrir adalah antara penyokong kuat Mohd Najib.


Orang Putih penasihat media Mohd Najib
Arul Kanda tidak boleh jumpa PAC kerana kononnya berada di luar negara tetapi sampai saja di Kuala Lumpur beliau bergegas jumpa Shahrir yang khabarnya diiringi penasihat media Mohd Najib, Paul Stadlen.

Wallahuaklam.

Myanmar tahan dalang penyeludupan pelarian Rohingya

 
Suspek warga Thailand berusia 53 tahun beroperasi dengan mengggunakan nama Myanmar


suspek ,myanmar,rohingnya


PETALING JAYA: Seorang warga Thailand dilapor berjaya ditahan pihak berkuasa Myanmar kerana didakwa terbabit dengan penyeludupan manusia.

Suspek yang berusia 53 tahun dan berasal dari Ranong, Thailand, ditahan hasil pertukaran maklumat dengan pihak berkuasa negara itu.

Lelaki berkenaan juga dikatakan juga pemilik sebuah bot penuh sesak dengan 200 pelarian yang berjaya ditahan pihak berkuasa Myanmar sebelum ini.

“Dia dikatakan menghubungi kumpulan pemerdagangan manusia di Bangladesh dan menyeludup masuk mereka ke Thailand dan Malaysia,” kata laporan Global New Light of Myanmar yang dipetik agensi berita AFP.

Ia tidak mendedahkan bila dia ditahan dan apakah dakwaan yang bakal dikenakan terhadapnya.
Suspek dikatakan beroperasi dengan menyamar menggunakan beberapa nama Myanmar manakala di Thailand dia dikenali sebagai Naingnutpatunsantun

Orang tengah songlap duit sambut PM

 
Ia tersebar selepas timbul rasa tidak puas, di mana mereka yang hadir telah dibayar RM40, kurang RM10 daripada yang sepatutnya.


umno,rm50


PETALING JAYA: Ahli UMNO Perlis dikatakan dibayar RM50 seorang untuk menyambut ketibaan Presiden Parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke negeri itu.

Ia tersebar selepas timbul rasa tidak puas, di mana mereka yang hadir telah dibayar RM40, kurang RM10 daripada yang sepatutnya.

Berdasarkan mesej perbualan yang dihantar melalui Whatsapp, ia mendakwa duit yang sepatutnya diberikan kepada mereka telah disapu orang tengah.

“Hari ni PM Tok Jib mai Perlis. Ramai kata yang pi diberi RM40. Tak pasti sama ada sebenaqnya RM50 tapi RM10 dah kena sapu. Orang UMNO sendiri mengaku memang bagi duit suruh pi!”, antara status yang dibincangkan.

Ia kemudian mengundang reaksi mereka yang lain yang mengesahkan wujudnya pemberian wang kepada mereka yang hadir sambut Perdana Menteri.

“ Tak taboq fitnah aih…sungguh…hari ni pakat tingai kerja sari…kerajaan perihatin…bagi duit penat lelah..apa salahnya”, kata Azam Rashid

Bagaimanapun, dia menjelaskan ramai yang hadir tidak mengambil wang.

Padah kerana ludah

 
Perbuatan Nazmi dikutuk keras kerana mencemari permainan dengan Malaysia yang hanya menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste.


nazmi,ludah

 
PETALING JAYA: Gambar tindakan bodoh Nazmi Faiz Mansor yang meludah pemain Timor Leste dalam perlawanan skuad bawah 23 negara (B23 dimuat naik di laman sosial.

Perbuatan itu dikutuk keras kerana mencemari permainan dengan Malaysia yang hanya menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste.

Di media sosial, orang ramai memberi pandangan masing-masing terhadap insiden itu dan pandangan itu diluahkan di laman Facebook HarimauMalaya.

Kebanyakan mereka bersetuju dengan tindakan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Nazmi.
Gara-gara perbuatannya, dia kini digantung satu perlawanan.

Jurulatih Datuk Ong Kim Swee dikatakan pening kepala menjelang pertemuan penting menentang Vietnam dan Thailand, pada Selasa dan Khamis ini.

Maradona buka kedai emas di NU Sentral

MALAYSIAKINI


Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona dan rakan niaganya dari India, Boby Chemmanur, melancarkan kedai emas ke-37, 'Boby & Maradona Gold Diamond Jewellery', di ibu negara semalam.
  
Maradona, yang memakai jersi biru bersama-sama bintang filem India, Karisma Kapoor merasmikan cawangan pertama di rantau Asia Tenggara, di pusat beli-belah NU Sentral di Kuala Lumpur.
  
Sejumlah 1,000 orang berkumpul di pusat beli-belah itu untuk melihat legenda bola sepak dunia itu dan bintang Bollywood tersebut.
  
Sementara itu, Boby, yang juga Pengerusi dan Pengarah Urusan, Chemmanur International Jewellers, berkata keuntungan yang diperoleh daripada jualan barangan kemas di cawangan tersebut akan disumbangkan kepada rumah kebajikan di Malaysia.
  
"Secara langsung, kami tidak akan menerima sumbangan derma tetapi sebaliknya anda perlu membeli emas dan berlian untuk menderma," katanya kepada pemberita selepas perasmian kedai tersebut.

Beliau berkata penglibatan Maradona dengan kerja-kerja amal akan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk membuat sumbangan kepada badan-badan amal.
  
Beliau berkata syarikat itu, yang mempunyai cawangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan majoriti di India, telah memilih Malaysia untuk cawangan pertama di rantau ini kerana rakyat Malaysia dikenali sebagai "sangat baik dan pemurah dalam soal membuat amal".
  
Maradona, yang bermula sebagai duta jenama untuk Boby Chemmanur International Group, kemudian menjadi rakan perniagaan Boby.-Bernama


 

Isu kubur: Tampil segera beri maklumat sindiket

SINAR HARIAN



Shahidan Kassim Datuk Seri Shahidan Kassim
 
 
WANG KELIAN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa penduduk khususnya di Wang Kelian yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia di sini agar tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
 
Beliau berkata, penduduk yang mungkin pernah menerima upah menjadi tekong dan pemandu jalan kepada sindiket itu tanpa sedar tentang jenayah itu perlu tampil  memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
    
"Saya menyeru kepada orang Wang Kelian, orang Perlis yang mungkin pernah terlibat untuk menjadi tekong, pemandu jalan, yang mengetahui atau menerima upah untuk buat sesuatu supaya tampil.
    
"Kita tak akan ambil tindakan kerana mereka ini adalah saksi utama kerana saya percaya semasa mereka buat, mereka tak tahu ada kubur di atas. Kalau mereka tahu ada kubur, mereka tak akan buat," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Op Wawasan Khas di Markas Taktikal (Martek), di sini hari ini.
    
Isnin lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur dan kem transit yang ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. 
    
Semalam, sebanyak 22 rangka mayat berkafan ditemukan dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses patologi. Jumlah rangka mayat yang ditemukan setakat ini adalah sebanyak 35 sejak operasi menggali bermula 25 Mei lepas.
    
Dalam pada itu, Shahidan berkata, beliau pernah ternampak pondok kosong di dalam kawasan hutan itu ketika melalui laluan itu bersama renjer hutan dan menurutnya pada masa itu beliau terfikir di dalam hati kenapa ada pondok sedangkan durian tidak sesuai ditanam di kawasan tersebut.
    
Berhubung laporan berita khususnya oleh media asing kononnya tahanan mati akibat diseksa yang telah membangkitkan kemarahan masyarakat tempatan, Shahidan berharap mereka bersikap lebih adil dan berhati-hati ketika membuat laporan supaya tidak menimbulkan sensitif tempatan.
    
Beliau berkata tuduhan tahanan diseksa harus diperiksa terlebih dahulu berikutan penemuan kebun sayur dan surau berhampiran kawasan kubur serta rangka mayat semuanya berkafan dan dikuburkan dalam keadaan menghadap kiblat.
    
"Tuduhan mereka diseksa kena diperiksa balik dan tunggu forensik apa punca kematian mereka sama ada dicucuk perut, mati tahan lapar atau penyakit.
    
"Ini kerana dengan kehadiran surau, mayat yang berkafan menghadap kiblat, jadi apakah yang terjadi dalam hutan yang dituduh memperdagangkan manusia tiba-tiba mayat dikebumi dengan cara tertib mengikut cara Islam," katanya. - Bernama 
 
 

Sempadan: Sudah sampai masa Malaysia guna 'drone'

SINAR HARIAN


Sempadan
 
 
 
KUALA LUMPUR - Isu sempadan dan perairan negara yang mudah dibolosi pihak dan anasir luar boleh menjadi 'bom jangka' terhadap keselamatan negara jika gagal ditangani segera, menurut penganalisis dan pakar aspek keselamatan.
    
Menurut mereka, kerajaan perlu mengkaji, mengambil pendekatan baharu dan membuat penambahbaikan terhadap kawalan keselamatan di sempadan seperti membina sekatan, benteng, pagar dan menggunakan teknologi terkini 'drone' untuk pengawasan.
 
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Datuk Kamaruddin Md Ali berkata, langkah keselamatan di kawasan sempadan dan perairan negara dilihat tidak begitu berkesan selepas peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas.
    
"Sebelum peristiwa serangan di Lahad Datu, warga Filipina boleh datang pada bila-bila masa tanpa sebarang sekatan manakala rondaan pasukan keselamatan di sempadan utara tanah air juga tidak begitu berkesan susulan masih ada lorong-lorong tikus yang membolehkan rakyat Malaysia dan Thailand keluar masuk.
    
"Kerajaan harus meneruskan projek memagar kawasan sempadan (darat) dengan menggunakan tambahan alat teknologi seperti pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) dan pemerhatian dengan peralatan drone dengan kadar segera," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. 
    
Kamaruddin berkata, kegagalan kawalan kawasan sempadan darat semakin jelas dengan kes terbaru penemuan 28 kem sementara yang menempatkan mangsa
pemerdagangan manusia dan 139 kubur mangsa terbabit di Bukit Wang Burma di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.
   
"Anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan hendaklah daripada mereka yang benar-benar jujur, amanah serta bertanggungjawab (bagi mengelakkan penyelewengan dan bekerjasama dengan sindiket)," katanya.
    
Selain kemasukan pendatang tanpa izin dan pelarian melalui jalan darat, Malaysia turut berdepan masalah sama melibatkan laluan laut. 
 
Pada 10 Mei lepas   sebanyak 1,158 pendatang dari Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak, mendarat di Langkawi.
    
Lebih 7,000 lagi pendatang dan pelarian dikatakan berada di laut dalam usaha untuk mendarat di Malaysia.
    
Di Sabah pula berhadapan dengan pencerobohan puak militan dari selatan Filipina. 
    
Walaupun kerajaan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai usaha keselamatan susulan pencerobohan di Lahad Datu, kes-kes penculikan di kawasan itu yang dipercayai melibatkan penjenayah dari Filipina terus berlaku.
    
Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, kawalan keselamatan di sempadan kurang berkesan mungkin kerana terdapat banyak agensi penguatkuasaan yang fungsinya bertindih di samping kurang penyelarasan serta mempunyai dasar dan keutamaan berlainan.
    
Setiap agensi terbabit yang mempunyai komander masing-masing turut berdepan kekangan kekurangan sumber, anggota, logistik dan sistem dan mereka kurang berkongsi sumber serta maklumat dan beroperasi secara sendirian, katanya.
    
"Kerajaan perlu meletakkan tanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri kepada polis dan tentera terhadap serangan asing. Imigresen, kastam, perhutanan dan lainnya akan beroperasi di bawah satu pengurusan ketumbukan sempadan di bawah polis," katanya.
    
Ayub berkata, ketua polis di negeri-negeri di sempadan patut dijadikan komander yang bertanggungjawab untuk mengetuai dan menyelaraskan semua operasi dan aktiviti di sempadan masing-masing.
    
"Rondaan keselamatan sempadan patut dijalankan oleh polis dan bila perlu, dibantu oleh tentera. Kem-kem dan pejabat-pejabat kekal patut dibina bagi
memastikan pentadbiran efisien dan kebajikan staf dijaga.     

"Gajet moden dan efektif perlu dipasang seperti pagar yang sesuai dan dilengkapi sistem keselamatan terkini yang boleh melakukan pengawasan dengan berkesan dan sistematik. Penguatkuasa perlu dilakukan tanpa kompromi dengan keselamatan negara menjadi nombor satu," kata Ayub.
    
Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, kerajaan perlu melihat balik dan membuat penambahbaikan terhadap kelemahan yang wujud di sempadan negara seperti dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis yang merupakan kawasan hutan dan berpotensi menjadi sasaran laluan merentasi sempadan tersembunyi oleh pendatang tanpa izin.
    
"Peranan pegawai gerak khas yang menjaga sempadan dan unit pencegah penyeludupan perlu dikaji semula agar ditubuhkan satu unit baharu bagi memantapkan pengawasan dan perkongsian input serta meningkatkan kemahiran risikan agensi penguat kuasa," katanya. - Bernama 
 
 

Tangkapan kes berkaitan zina lebih banyak daripada arak

Oleh: NAEEM RAFFI


SHAH ALAM : Tangkapan kes persetubuhan haram dan persediaan melakukannya di Selangor mengatasi penahanan peminum arak dalam empat bulan pertama tahun ini.

Mengikut statistik Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), enam tangkapan dibuat berikutan melakukan persetubuhan haram (zina) pada Februari dan Mac, masing-masing tiga kes.

Dalam tempoh sama, tangkapan kes membabitkan persediaan persetubuhan haram yang dilakukan penguatkuasa JAIS pula ialah 27.

Sedangkan, tangkapan atas kesalahan minum minuman memabukkan (arak) pula sebanyak 10 kes.
Tangkapan bagi kesalahan berjudi pula mencatatkan 93 kes iaitu 53 kes pada Januari, Februari (14),  Mac (22) dan April (32).

Tangkapan membabitkan kes khalwat masih mencatat angka tertinggi iaitu 476 kes iaitu 131 pada Januari, Februari (154), Mac (72) dan April (119).– EZY FZL





70% asnaf, remaja tak solat

Oleh: NAZLI IBRAHIM


AMPANG: Lebih 70 peratus golongan asnaf di Selangor tidak mengerjakan solat hasil kajian yang dijalankan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perangkaan juga menunjukkan ramai remaja turut tidak menunaikan rukun Islam kedua itu.

“Kita dah lancarkan kempen Kaabah Kiblatku. Mesej utama mengingatkan masyarakat Islam di Selangor bahawa solat perkara wajib dilakukan kerana perangkaan mendapati jumlah peratusan tidak solat tinggi.
mark short yb ahmad yunus
“Di dalam membangun negeri, kita juga ingin membangun masyarakat. Mungkin secara umumnya, tak ada statistik tepat tetapi ini sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya solat dan kita bawa mesej secara simbolik dalam Kaabah Kiblatku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutup Kursus Pengurusan dan Kepimpinan Ketua-Ketua Kampung Selangor Siri 4/2015 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Program Kaabah Kiblatku dilancarkan Dr Ahmad Yunus di Masjid Jamiul Ehsani Kampung Sijangkang, Kuala Langat sempena Karnival Kampungku Kesayanganku daerah itu, pada 23 Mei lalu.

Ia bagi meningkatkan ketepatan arah kiblat khususnya di kawasan tumpuan awam termasuk bangunan milik persendirian.

Dr Ahmad Yunus berkata, pemilik bangunan, kediaman atau persatuan boleh mendapatkan panduan arah kiblat yang tepat dengan bayaran RM50 sahaja.-NFN-


'Mana janji BN di Teluk Intan lepas setahun'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Calon DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud mempersoal lima janji manifesto BN di kawasan itu setahun lalu yang kini dianggapnya "janji tinggal janji" dan BN masih "berdolak dalih" melaksanakannya.

Genap setahun calon BN Datuk Mah Siew Keong memenangi PRK itu hari ini, Dyana yang juga setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang berkata pelbagai tanda tanya timbul mengenai janji manifesto BN  itu kepada pengundi parlimen itu.

Dyana membangkitkan janji itu antaranya pembinaan institusi pengajian tinggi terkemuka, menara jam condong diisytihar sebagai tapak Warisan Dunia Unesco dan menjadikan parlimen itu sebagai hab pertanian moden. 

Selain itu, beliau juga bertanya mengenai perkembangan kemudahan zon wifi dan rancangan tebatan banjir di Teluk Intan dengan anggaran kos sebanyak RM360 juta.

"Penduduk dan pengundi Teluk Intan semestinya ingin mengetahui apakah status terbaru berkenaan pelbagai pelan pembangunan dan penambahbaikan yang dijanjikan.

"Saya berharap supaya manifesto itu bukan hanya janji tinggal janji dan menggesa agar ia dikotakan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong yang juga merupakan seorang menteri kanan kerajaan BN," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas mengenai pembinaan universiti, Dyana berkata penduduk masih menunggu untuk mendengar pelan terperinci pembangunannya serta manfaat yang diperolehi jika ia terlaksana.

"Sehingga kini, lot tanah yang telah dikenalpasti untuk pembinaan sebuah universiti masih belum digazetkan dan masih lagi di bawah nama sebuah syarikat tersenarai awam.

"Pelan terperinci pembangunan universiti juga masih belum diketahui.

"Sebelum ini, penekanan ke arah pendidikan melalui manifesto tersebut dikatakan bakal mengubah wajah bandar Teluk Intan," katanya.

Berkaitan menara condong, Dyana mempersoal tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengisytihar menara itu sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada Februari tahun lalu sedangnya tindakan yang sama dibuat oleh Tan Sri Rais Yatim selaku menteri kabinet ketika itu Mei 2012.

"Oleh itu, pengumuman oleh timbalan perdana menteri pada Februari lepas tidak menandakan usaha baru dalam mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

"Adakah pengisytiharan kali kedua oleh TPM itu hanya untuk memperdayakan pengundi?" kata Dyana.

Mengulas berkaitan hub pertanian pula, Dyana menjelaskan kerajaan Perak pada Disember 2014 menyatakan tiada cadangan menjadikan parlimen itu sebagai hub pertanian moden sekaligus menafikan janji BN yang dibuat Mah.

"Jadi, bagaimanakah Teluk Intan boleh dijadikan hab pertanian moden seperti yang telah dijanjikan?" soal Dyana.

Mah jawab

Bagaimanapun, dalam akhbar Cina Kwong Wah semalam melaporkan Mah berkata beliau telah memenuhi 70 peratus janji pilihan raya kecil Teluk Intan.

Ini termasuk tebusguna tanah untuk pembinaan sebuah universiti di parlimen itu, pembinaan benteng sungai dan penubuhan empat uusat Unifi menjelang 2016. 
 
 
 

Ahmad: Serang peribadi bukti habis modal

MALAYSIAKINI


 


Pencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang kesal apabila budaya fitnah-memfitnah kini dilakukan pihak tertentu dalam parti itu khususnya menjelang pemilihan parti yang semakin hampir ke kemuncaknya.

Bekas naib presiden PAS itu mendakwa terdapat pihak yang melakukan "pembunuhan watak" dengan melakukan serangan peribadi kerana tidak mempunyai "modal" untuk mengecamnya berikutan keputusannya bertanding jawatan tertinggi parti.

"Mereka dah tak tahu nak kata apa lagi, sebab saya istiqamah dalam gerakan Islam, saya juga dah ceritakan kenapa lima tahun dulu saya tidak aktif, saya juga ulama.

"Jadi sekarang ini apa yang dilakukan ialah pembunuhan watak.

"Dulu orang Umno yang fitnah, tapi sekarang ini orang PAS pula," katanya dalam forum Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015 di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Kira-kira lima hari lagi sebelum muktamar, Ahmad kini diserang oleh kumpulan pendukung status quo dalam PAS sebagai mengetuai "kumpulan yang lunak dengan DAP" .

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya.

Turut hadir sebagai ahli panel pada forum itu ialah bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Sementara itu bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata perpecahan yang berlaku dalam PAS kini turut melibatkan pihak luar daripada parti.

Profesional lari

Beliau juga mendakwa Umno tidak akan membiarkan PAS terus kuat bersama Pakatan dan menjadi punca berlaku perpecahan sehingga wujudnya dua kem dalam parti Islam itu.

"Politik adalah seni kepada kemungkinan. (Umno) kena buat sesuatu, kalau tidak imej Umno akan merudum. Jadi cara yang mesti dilakukan ialah pecahbelahkan Pakatan, PAS dan DAP perlu dilagakan.

"Dan cara nak pecahkan PAS pula ialah dengan memisahkan mereka dengan pihak ulama dan profesional. Saya tengok PAS jadi mangsa, sesetengah pemimpin PAS jadi mangsa.

"Selepas itu mereka kata golongan profesional nak menentang hudud. Mana ada pihak yang nak tentang hudud, yang saya tau (nak tentang hudud) Umnolah," katanya.

Justeru itu, bekas naib presiden Umno itu berkata lagi, menjelang muktamar PAS ke-61, beliau berharap agar parti itu tidak akan menyingkirkan golongan profesional.

Ini kerana, sekiranya PAS mengambil pendirian untuk menolak golongan profesional, dikhuatiri ia akan menjadikan parti itu lemah dan golongan tersebut tawar hati untuk menyertai PAS selepas ini.

"Kalau ulama buang profesisonal, lepas ini golongan ini tak nak masuk lagi ke dalam PAS. Yang tinggal hanya ulama.

"Lebih baik (PAS) jadi badan dakwah sahaja. Kita nak PAS dengan kekuatan yang boleh jadi alternatif kepada pimpinan negara," katanya lagi. 


Penduduk Baram lapor polis terhadap CM Adnan

MALAYSIAKINI


 


Sekumpulan penduduk kampung di Baram membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berhubung dakwaannya bahawa majoriti penduduk tempatan menyokong projek empangan Baram.

Bercakap kepada pemberita di luar Ibu pejabat polis Dang Wangi di ibu negara hari ini, jurucakap kumpulan itu Charles Gau berkata, mereka mengambil langkah membuat laporan polis kerana dia tidak tahu di mana lagi tempat untuk mengadu.

Beliau turut menggesa ketua menteri untuk mengadakan dialog terbuka dalam isu tersebut, bukannya sesi pintu tertutup yang diadakan kira-kira dua minggu yang lalu.

"Kami menggesa beliau mengadakan dialog terbuka, tidak secara rahsia. Tidak patut.

"Mereka melakukannya secara tertutup, kemudian beliau mendakwa mendapat sokongan pemimpin masyarakat.

"Itulah yang beliau dakwa, tetapi tidak semua pemimpin masyarakat menyokong ini.

"Mari kita andaikan pemimpin tidak menyokong (projek), mereka boleh membantah? Tidak," katanya sambil menambah bahawa pemimpin-pemimpin yang sebelum ini menentang projek itu telah menerima tekanan, seperti tidak dilantik sebagai ketua kampung.




Sistem pertukaran guru ikut sistem lampu isyarat

SINAR HARIAN
Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


Idris Jusoh

 
 
BESUT - Keputusan pertukaran guru antara negeri-negeri bagi pertengahan tahun ini pertama kalinya dibuat menggunakan sistem lampu isyarat, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh di sini.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, keputusan permohonan guru untuk bertukar ke negeri-negeri pilihan mereka dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu opsyen.

"Sistem lampu isyarat itu digambarkan seperti lampu hijau sekiranya  permohonan yang dibuat bertepatan dengan kekosongan yang ada atau hijau dengan hijau maka baharulah permohonan itu diluluskan," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Projek Usahawan Empower di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Katanya, permohonan hanya akan dilayan sekiranya ada kekosongan mengikut opsyen dan menurutnya antara sebab permohonan tidak dilayan adalah kerana tiada kekosongan di tempat yang dipohon.

Beliau berkata, kekosongan yang terdapat di negeri-negeri ada dipaparkan secara dalam talian menerusi laman web kementerian.

Idris berkata, permohonan untuk bertukar ke tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu merupakan paling banyak diterima.

Bagi sekolah rendah terdapat 2,000 permohonan untuk ke Kelantan diikuti Kedah sebanyak 1,000 permohonan dan 900 permohonan ke Terengganu manakala sekolah menengah pula 2,000 permohonan untuk ke Kelantan, Terengganu (1,000 permohonan) dan Kedah (700 permohonan), katanya.
  
Katanya di Sarawak membabitkan masing-masing 1,500 permohonan pertukaran daripada guru sekolah rendah dan sekolah menengah manakala di Sabah sebanyak 700 permohonan daripada sekolah rendah dan 900 daripada sekolah menengah. - Bernama


Harimau Muda jangan buat 'tindakan bodoh'

SINAR HARIAN


Khairy Jamaluddin Khairy Jamaluddin
 
 
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengingatkan pemain Harimau Muda tidak melakukan tindakan bodoh yang boleh menjejaskan prestasi mereka ketika beraksi dalam perlawanan.

Mengulas mengenai Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang dibuang padang kerana meludah pemain lawan ketika menentang Timor Leste pada aksi pertama Kumpulan B Sukan Sea 2015 di Singapura malam tadi, katanya insiden tersebut amat dikesali.

"Pemain-pemain kita mestilah tahu apabila mereka bertindak seperti semalam, bukan hanya dapat kad merah dan sebagai individu tidak dapat sambung permainantetapi yang lebih penting mereka akan mengecewakan pasukan sendiri dan negara.   

"Bermain tanpa seorang pemain itu satu kelemahan dalam pasukan  dan walaupun Harimau Muda itu pemain muda namun usia muda tidak bermaksud bahawa awak bodoh," tegasnya.

Khairy ditemui pemberita selepas menyertai lebih 10,000 peserta dalam acara larian TM Malaysia Fun Run anjuran Telekom Malaysia Bhd sebagai tanda sokongan buat atlet kebangsaan yang akan beraksi pada Sukan Sea ke-28 di Singapura dari 5 hingga 16 Jun.

Dalam perlawanan di Stadium Bishan malam tadi, susulan kehilangan seorang pemain kerana dibuang padang, pasukan Malaysia mempamerkan aksi tempang  dengan 10 pemain dan hanya menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste.

Khairy turut menggesa skuad Harimau Muda memperkemas mutu persembahan mereka untuk berdepan pasukan Vietnam dan Thailand pada perlawanan akan  datang yang dijangka memberi tekanan lebih hebat berbanding Timor Leste.

"Saya harap pemain-pemain kita dan jurulatih Datuk Ong Kim Swee dapat mengambil iktibar daripada perlawanan semalam dan mengurangkan kesilapan untuk tunjukkan aksi sebenar.

"Saya yakin semalam bukanlah aksi sebenar Harimau Muda dan yakin mereka dapat pamerkan aksi yang lebih baik daripada semalam," katanya.  - Bernama


Muhammad Khalil pilih Nik Abduh jadi ketua

Muhammad Khalil Abdul Hadi Muhammad Khalil Abdul Hadi
 
 
KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengakui lebih cenderung terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz untuk menerajui kepimpinan Pemuda Pas pada penggal akan datang.

Muhammad Khalil berkata, Nik Abduh yang bakal mencabar penyandang Ketua Pemuda sedia ada, Suhaizan Kaiat dalam pemilihan Pemuda Pas bulan depan, melihat Nik Abduh mampu membawa aspirasi perjuangan pemuda Islam dalam parti itu.

Menurutnya, dengan pelbagai isu berlaku kebelakangan ini yang seolah-olah menggugat perjuangan Islam, beliau melihat seorang pemimpin tegas diperlukan supaya tidak berkompromi perkara membabitkan hukum-hakam.

“Kita lihat isu yang berlaku pada hari ini, pihak akar umbi melihat kepimpinan peringkat atasan ada yang longgar dalam mempertahankan prinsip dasar perjuangan Pas itu sendiri.

“Oleh itu, Pemuda adalah sayap sangat penting dan memerlukan kepada seorang ketua yang boleh membawa misi yang sangat besar ini untuk menerajui Pas pada masa depan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di sini.

Muhammad Khalil yang mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas memberitahu, isu umur tidak timbul walaupun Nik Abduh melepasi umur belia memandangkan tiada had umur bagi jawatan Ketua Pemuda Pas.

Berdasarkan sejarah katanya, beberapa individu sebelum ini yang pernah memimpin sayap Pas seperti Allahyarham Datuk Abu Bakar Chik menjadi Ketua Pemuda Pas ketika umurnya hampir 50 tahun.


DAP banyak campur tangan urusan Pas

 
 
SHAH ALAM – Terlalu banyak campur tangan pimpinan DAP dalam pentadbiran Pas membuatkan seolah-olah wujud kumpulan dalam Pas yang suka mengikut nasihat DAP.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun DAP merupakan rakan komponen dalam PR, tetapi parti itu tidak sepatutnya mencampuri urusan dalam Pas.

“Seperti sekarang, pimpinan DAP seolah-olah cuba campur tangan dalam pemilihan Pas yang akan berlangsung Jun ini. Antaranya ialah DAP sering menyebut mengenai keperluan untuk Pas menukar kepimpinan.

“Apabila ada kenyataan daripada DAP, ia seolah-olah mencerminkan wujud situasi begitu (golongan yang menyokong DAP). Sepatutnya tiada orang luar yang menentukan hala tuju Pas,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin bahawa wujud dua golongan dalam Pas, iaitu yang menyokong DAP dan golongan yang setia mempertahankan dasar Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, segala kritikan dan campur tangan DAP tidak akan menjejaskan dasar parti Islam itu.

“DAP pernah menyatakan tidak menerima kepimpinan Abdul Hadi, tetapi masih kerjasama dengan Pas. Ini sesuatu yang pelik.

“DAP tidak perlu tunggu sehingga selepas muktamar ini untuk melihat dasar dan polisi Pas. Ini kerana, bagi kita, terutamanya golongan ulama dalam Pas, sama ada sebelum atau selepas muktamar, perjuangan kita tetap sama dan tidak berubah,” katanya.


22 rangka manusia dikeluarkan dari Bukit Burma

SINAR HARIAN



Mayat berkapan ditemui di hutan Wang Kelian Anggota forensik memeriksa mayat yang ditemui di kawasan berdekatan kem yang menempatkan pendatang asing di Bukit Wang Burma, Wan Kelian baru-baru ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Sebanyak 22 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dibawa turun dari hutan Bukit Burma di Wang Kelian, Perlis, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, menurut polis.

Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia, ‎Datin Asmawati Ahmad berkata, rangka berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses patologi pada 9.45 malam tadi.

Katanya jumlah keseluruhan rangka mayat yang ditemukan setakat ini kekal 35 orang.

"Operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat akan diteruskan di lain-lain lokasi kubur yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer. - Bernama


Dyana tagih lima janji manis BN di Teluk Intan


 
 
SHAH ALAM – Hari ini genap setahun PRK Parlimen Teluk Intan berlalu namun janji-janji yang dilafazkan BN kepada pengundi di kawasan itu hanya tinggal janji, dakwa Dyana Sofya Mohd Daud.

Calon DAP bagi PRK Parlimen Teluk Intan itu berkata, walaupun sudah setahun, namun manifesto yang dilaung-laungkan BN ketika berkempen nampaknya masih belum direalisasikan.

"Sudah pasti pengundi Teluk Intan juga masih ingat dengan semua janji-janji manis yang ditawarkan oleh calon BN ketika kempen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengimbau kembali manifesto BN, calonnya yang kini sudah pun bergelar Ahli Parlimen Teluk Intan, Mah Siew Keong pernah berjanji untuk melaksanakan penambahbaikan kemudahan jalur lebar dan juga mewujudkan zon wifi di Teluk Intan.

Siew Keong juga pernah berjanji untuk membina pusat pengajian atau universiti terkemuka untuk penduduk Teluk Intan.

“Walaupun Teluk Intan disenaraikan di dalam laman TMNet sebagai zon Unifi, tinjauan mendapati perkhidmatan tersebut masih belum wujud di dalam kawasan Teluk Intan. Adakah penyediaan infrastruktur tersebut telah dimulakan dan apakah usaha yang telah dilakukan untuk menepati janji ini?

“Berkenaan pembinaan universiti terkemuka,sehingga kini, lot tanah yang telah dikenalpasti untuk pembinaan sebuah universiti masih belum digazetkan dan masih lagi di bawah nama sebuah syarikat tersenarai awam. Pelan terperinci pembangunan universiti juga masih belum diketahui,” katanya lagi.

Selain itu menurut Dyana lagi, Siew Keong yang merupakan Presiden Gerakan itu turut berjanji untuk menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden, selain berjanji untuk memulakan projek tebatan banjir di bandar tersebut.

“Pada Disember tahun lalu, kerajaan negeri menyatakan tiada cadangan menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden dan sekali gus menidakkan janji yang dibuat oleh calon BN yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Anggaran kos yang diperlukan untuk Rancangan Tebatan Banjir Teluk Intan adalah sebanyak RM360 juta. Walaupun RM30 juta telah diluluskan untuk memulakan projek tebatan banjir tersebut, apakah garis masa bagi projek keseluruhannya dan bilakah baki peruntukan RM330 juta akan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran?,” soalnya.

Dyana  dalam pada itu turut mempersoal tindakan Timbalan Perdana Menteri yang mengisitiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan.

“Timbalan Perdana Menteri pada 28 Februari yang lepas telah mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan.

“Ini bukan perkara baharu kerana pada Mei 2012, Datuk Seri Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah pun mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan. Adakah pengisytiharan kali kedua oleh TPM itu hanya untuk memperdayakan pengundi?,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Dyana menggesa kerajaan untuk menunaikan janji yang dibuat demi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di Teluk Intan sepertimana yang dijanjikan ketika PRK lalu.


Dr Zuhdi Bidas Anak Nik Aziz : 'Kalau Mati, Suruh Kit Siang Jadi Imam'

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Ahmad Zuhdi Marzuki mengkritik anak bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan ayahnya lebih mengutamakan Pakatan Rakyat (PR) daripada anak-anaknya sendiri.

Mesej menerusi aplikasi WhatsApp memetik pendedahan The Malaysian Insider itu mendedahkan, Zuhdi dikatakan mengkritik  Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bercakap pada sebuah forum malam tadi.

"Bila TGNA meninggal dunia, yang solatkan dia dan menguruskan jenazahnya adalah anak-anak dia, tak nampak pula Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng lakukan semua itu," kata Zuhdi, di dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut yang hanya dikenali sebagai “Sayuti Shah Alam” yang memuat naik "Tok Guru Nik Aziz tatang Pakatan Rakyat lebih dari tatang anak sendiri, Nik Omar Nik Aziz," rentetan forum bertajuk “PAS dan Masa Depan Politik Islam Malaysia” yang dianjurkan di Shah Alam semalam.

"Eloklah kamu buat wasiat dari sekarang Sayuti, kalau kami mati nanti, minta Shaykh Kit Siang atau Sidi Guan Eng jadi imam, sebab kamu tatang mereka lebih dari anak sendiri," kata Zuhdi dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Kenyataan Zuhdi itu turut dilaporkan tersebar apabila ada anggota kumpulan WhatsApp itu menyebarkannya kepada pihak lain.
 
 

Kukuhkan Pakatan Rakyat: 3 Anak Bekas Pimpinan Tertinggi PAS Berkongsi Pentas

KELAB GREENBOC


Dari kiri, Faiz Fadzil (anak Almarhum Fadzil Noor), Mujahid Yusof (anak almarhum Yusuf Rawa) & Nik Omar Nik Aziz (anak almarhum TG Nik Aziz)

 

Ayah ambil berat Pakatan lebih daripada anak sendiri, kata anak Nik Aziz

Anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata ayahnya lebih mengambil berat hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) berbanding kepentingan anak sendiri.

Menurut Nik Omar Nik Abdul Aziz, menjelang muktamar PAS, perwakilan tidak seharusnya memikirkan sama ada memilih golongan ulama atau profesional diangkat sebagai pimpinan, sebaliknya mereka yang dapat memberi sumbangan kepada parti.

“Ulama ada takrifan tersendiri. Maknanya bagi dia (Nik Aziz), pimpinan PAS semua ulama cuma mengikut tahap masing-masing.

“Ulama ini orang yang takut, maknanya dengan ilmunya, dia takut pada Allah. Pengajiannya dalam bidang sains atau sejarah, yang dia belajar menyebabkan dia kembali kepada Allah. Dia termasuk dalam ulama,” katanya dalam sebuah forum “PAS dan Masa Depan Politik Islam di Malaysia” malam tadi, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Noor.

Ditanya ciri-ciri yang dimiliki bapanya sehingga dapat menarik sokongan pelbagai kaum di Kelantan, Nik Omar berkata terdapat tiga ciri utama yang dipegang bapanya.

Katanya, tiga ciri tersebut ialah warak, zuhud dan istiqamah yang ditonjolkan semasa mentadbir negeri Kelantan dan juga ketika bersama keluarga.

“Dia ada sifat atas sikit makamnya, iaitu zuhud. Zuhud biasa orang terjemah tak nak pada dunia. Saya perhati Tok Guru seolah-olah tak ada segelumit pun dia minat pada dunia tetapi dia duduk atas dunia.

“Dunia duduk di tangannya bukan pada hatinya. Dia urus dunia, bukan dunia yang urus kehidupannya.

“Apabila dia menang (menteri besar), antara benda yang dia buat untuk diri dia, dia potong gajinya 45% untuk khazanah negeri dan parti. Dia cakap pada saya, sampai akhir pun 'ayah tidak tahu gaji ayah berapa'. Dia nak guna duit, dia beritahu pegawai dia,”
katanya mengenang kenangan bersama allahyarham.

Sementara Faiz berkata, ulama atau profesional bukanlah menjadi kriteria utama pemilihan dalam muktamar kali ini, sebaliknya pimpinan beraliran pragmatik perlu diangkat mempelopori PAS untuk tempoh dua tahun akan datang.

Faiz yang juga merupakan peguam syarie berkata, ciri pemimpin berkenaan penting dalam memastikan PAS terus relevan dan bergerak maju ke depan.

“Untuk kita bergerak sebagai sebuah parti politik untuk perintah negara ini, kita perlu pilih pemimpin beraliran pragmatik, yang tajdid yang boleh berfikir ke depan bukan sekadar buka kitab dan baca apa yang ada dalam kitab.

“Kalau tuan-tuan sayang pada PAS, sayang pada agama Islam, wajib memilih pemimpin yang tajdid sama ada mereka yang berkelayakan agama atau profesional.

“Kalau pragmatik menang, kita akan tarbiah golongan ekstrim, reform model tarbiah, usrah dan bawa mereka kenal budaya Malaysia.

Kita bukan tinggal di Mongolia, Arab Saudi, nak jadi ekstrem, kita bukan duduk di Syria. Kita tinggal di Malaysia. Kita anti keganasan,” katanya.

Faiz berkata PAS perlu terus bersama PR dan menunjukkan kepada DAP bahawa Islam sebuah agama yang universal dan boleh dikongsi untuk bersama-sama membentuk kerajaan.

Katanya, mereka yang berpandangan jumud dan sempit sahaja akan menganggap kerjasama di antara PAS dan DAP akan menggadai maruah Islam.

“Perlulah kita berdakwah kepada orang bukan Islam tetapi sekarang seolah-olah kita nak benci orang Cina, bila kita nak berdakwah dengan mereka?

“Kalau dilihat Buku Jingga, ia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Kalau DAP tolak Islam, dia akan buang.

“Polisi bersama dalam PR memperjuangkan keadilan, membanteras penyelewengan, rasuah dan kita nak bentuk kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik. Ini (diajar) dalam Islam,” katanya.

Katanya, bagi memastikan parti Islam itu terus relevan maka keahlian perlu dibuka kepada bukan Islam dan bukan sekadar Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Sebab itu dalam PAS saya memikirkan visi pada masa depan, PAS perlu menjadi (parti) pelbagai kaum dan agama.

"Pemikiran ini bukan baharu. Saya akan meneruskan perjuangan itu. Saya kata bukan sekadar Dewan Himpunan, saya mahu bukan Islam jadi ahli PAS.

“Saya akan lawan siapa-siapa saja yang hijack PAS untuk kepentingan sempit. Saya akan lawan.

“Jangan bimbang dengan suara-suara ekstrem, Isis, Taliban, sebab suara ini akan berlalu. Yang akan memimpin PAS, insya Allah, suara yang melihat masa depan negara dan melihat satu sumbangan untuk meletakkan rahmat sekalian alam sebagai dasar utama yang diperjuangkan parti,”
katanya. -TMI 


Ops Warta: 12,880 Pesalah Trafik Serah Diri Di Seluruh Negara

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,880 pesalah trafik telah menyerah diri kepada polis di seluruh negara sepanjang tempoh 'Ops Warta' yang masuk hari ke-12, Sabtu.

Menurut laporan polis trafik Bukit Aman, Johor terus mencatat jumlah tertinggi iaitu 3,031 orang, diikuti Selangor (2,517), Pulau Pinang (1,146) dan Perak (1,067).

Sehingga hari ini, sebanyak 2,596 pesalah yang gagal menyelesaikan waran tangkap ditahan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 840 akan didakwa dan selebihnya dibenarkan ikat jamin.

'Ops Warta' dilancarkan pada 19 Mei lepas untuk mengesan pesalah trafik yang dikenakan waran tangkap.-- Bernama

Persana Daftar Masuk Hospital Bahagia

MSTAR ONLINE
 
 
Persana ketika hadir di mahkamah pada Jumaat.
 
 
PETALING JAYA: Ketika kaum Kadazandusun menyambut kedatangan Pesta Kaamatan di Sabah, Persana Avril Sollunda terpaksa membiasakan diri dengan suasana baharu di wad psikiatrik, Hospital Bahagia di Perak.

Adik lelakinya, Peter Alvin berkata, Persana tiba pada waktu ditetapkan di hospital berkenaan di Ipoh.
"Dia tiba beberapa minit sebelum tengah malam," kata Peter kepada The Star Online tanpa mahu mengulas lanjut.

Pada Jumaat, Majistret Nur A'minahul Mardiah Md Nor memerintahkan Persana, 32 dimasukkan ke wad hospital berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang juga model sambilan dan pekerja spa diberi masa sehingga tengah malam Jumaat untuk mendaftar masuk ke wad di hospital berkenaan jika tidak jaminannya akan ditarik balik dan waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.

Persana didakwa pada 28 April kerana tindakannya berbogel di tempat awam kerana gagal melangsaikan bil sebanyak RM18 selepas menikmati hidangan di kedai nasi ayam di Petaling Street.

Perbuatan tidak senonohnya dirakam dan video berkenaan menjadi viral di media sosial.

Ku Li: Beri peluang rakyat pilih sendiri PM

MALAYSIAKINI


 


Prestasi kerajaan mungkin boleh diperbaiki lagi jika sistem pemilihan perdana menteri diubah, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Berbanding pelantikan perdana menteri dibuat oleh parti yang memenangi pilihan raya, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, ia mungkin boleh ditentukan oleh rakyat secara langsung.

"Kita perlu meneroka sistem lain dalam kerajaan dan melihat jika ia lebih baik," katanya dalam ucapan di Petaling Jaya hari ini.

Majlis itu anjuran pertubuhan bukan kerajaan, Harmony Malaysia.

Ku Li berkata, rakyat mungkin boleh diberi kebenaran melantik sendiri perdana menteri (melalui pilihan raya seperti yang dijalankan di beberapa negara lain).

Menurut beliau, amalan Westminster yang sedang dipraktikkan di negara ini sudah tidak lagi sesuai.

Generasi baru, nilai baru

Ketika ini amalan demokrasi di negara ini membenarkan seseorang  dilantik sebagai perdana menteri melalui persetujuan majoriti parti yang memenangi pilihan raya.

Indonesia adalah antara negara mengamalkan pilihan raya umum yang membenarkan setiap pengundi berdaftar memilih sendiri presiden mereka.

"Kita mengambil sistem dari British yang berjaya (diamalkan) di negara lain, tetapi bukan di Malaysia," katanya.

Menurut Ku Li, generasi baru negara ini memiliki pemikiran dan nilai berbeza berbanding generasi terdahulu.

Justeru, katanya, kaedah baru diperlukan untuk menyesuaikan keadaan semasa.

Kata Ku Li, bidang pendidikan juga perlu diberi penekanan, selain isu gaji lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan. 


Pengunduran Najib bukan penyelesai masalah

MALAYSIAKINI


 


Memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan tidak akan menyelesaikan sebarang masalah Umno, kata Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini giat mendesak supaya Najib disingkirkan, tidak menyelesaikan sebarang masalah sejak dia berundur daripada jawatan perdana menteri dulu.

“Adakah (memaksa Najib melepaskan jawatan) akan menyelasikan masalah? Peletakan jawatan dia (Dr Mahathir) pun tidak menyesaikan masalah,” katanya kepada media di Petaling Jaya.

Veteran Umno itu menambah, campur tangan Dr Mahathir sebenarnya memburukkan lagi keadaan.

“Beliau (Dr Mahathir) kata Dollah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) membawa masalah. Dollah berundur dan sekarang kita ada lebih banyak masalah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha berterusan Dr Mahathir mengetepikan Najib ketika ini.

Beliau yang turut dikenali sebagai Ku Li memang sering mempunyai pandangan berbeza daripada Dr Mahathir.

Kedua-dua mereka pernah bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada 1987, namun Ku Li akhirnya kalah tipis kepada Dr Mahathir.

Peristiwa itu juga membawa kepada pengharaman Umno. Ku Li dan penyokongnya kemudian membentuk Parti Melayu Semangat 46, namun ia kemudian dibubarkan.

Ku Li sendiri menyertai Umno yang didaftarkan semula. 


Tukar sistem atau Umno bakal 'hanyut'

MALAYSIAKINI


 


Politik berasaskan kaum perlu ditukar atau Umno akan tenggelam dalam percaturan itu, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Bekas Menteri Kewangan iu berkata, corak politik sedemikian tidak membawa kepada pertambahan sokongan untuk parti yang berkenaan.

"Untuk Umno ia membawa kesan buruk kerana, katakanlah anda mempunyai tiga juta ahli tetapi di luar sana ada lebih 60 juta pengundi.

"Umno tidak boleh berkembang dengan hanya membenarkan orang Melayu menjadi anggota," katanya.

Ahli politik yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata, Umno juga perlu menjadi juara untuk kepentingan kumpulan tertentu saja, sebaliknya berjuang demi kebaikan semua pihak.

"Ada laporan menyebut, sesetengah pemimpin hanya menjaga penyokong sendiri saja.

"Sebab itu pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman berjuang untuk semua (bangsa)," katanya.

Ku Li menyatakan, golongan belia ketika ini semakin menjauhi Umno kerana beranggapan parti itu tidak membawa sebarang faedah kepada mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Ku Li berkata, semangat peristiwa berdarah 13 Mei masih wujud sehingga saat ini.

Katanya, ia mungkin bukan dalam bentuk keganasan fizikal, tetapi secara psikologi.

"Justeru, apa yang kita perlukan kini ialah pembina jambatan antara kaum, bukan wira perkauman," katanya.


'PAS kecewa menaruh harapan pada Umno'

MALAYSIAKINI


 


Andainya PAS masih menaruh harapan untuk Umno membantu usaha parti itu membolehkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud dibentang di parlimen, parti itu akan kecewa.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, di sebalik janji yang ditabur Umno untuk PAS, rang undang-undang itu masih belum dapat dibentangan.

Kata Lim, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sebenarnya berdepan dengan dilema antara mahu memuaskan hati ahli parlimen PAS dan mengelakkan kemarahan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menentang rang undang-undang berkenaan.

"Pilihan Najib adalah jelas. Dalam keadaan ini, bukan mengejutkan apabila usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak muncul dalam kertas aturan parlimen untuk sidang yang berlangsung kini," katanya.

Abdul Hadi mengemukakan usul berkenaan untuk kali pertama dalam sidang lalu (April) tetapi dimaklumkan kemudian bahawa ia akan dibawa ke sidang bulan ini.

Lim berkata, Najib perlukan sokongan daripada 48 ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk terus berkuasa ketika pentadbirannya dikecam teruk oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, pada masa sama, kata Lim pakar strategi Najib berjaya menyebabkan kerosakan kepada Pakatan Rakyat apabila PAS menjauhkan diri daripada gabungan pembangkang itu kerana isu hudud berkenaan.


KWSP, Tabung Haji dan KWAP tidak patut selamatkan 1MDB



Oleh Robin Stanley Augustin


Pengkritik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa penat melancarkan serangan demi serangan dan situasi ini pastinya akan lebih menjadi hangat untuk beberapa hari dan minggu mendatang.

Desakan untuk tindakan diambil kepada pengurusan tertinggi 1MDB semakin kuat daripada  pihak kerajaan dan pembangkang yang selama ini berpecah. Malah Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini menyertai desakan pemecatan lembaga pengarah 1MDB dan siasatan segera dijalankan.

Sudah beberapa bulan sejak, DAP (Tony Pua), PKR (Rafizi Ramli) dan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, menyuarakan penentangan kepada syarikat pelaburan dimiliki kerajaan itu.

Akhirnya, kata-kata akan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih proaktif apabila pengumuman terkini Rafizi (kiri) bahawa dia dan dua orang lagi wakil rakyat PKR akan memohon injuksi mahkamah kepada agensi berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bagi menghalang mereka daripada melabur dalam 1MDB dan anak-anak syarikatnya. 

“Injuksi kepada KWSP, Tabung Haji dan KWAP dijangka akan difailkan pada 29 Mei berasaskan sebab kerana pengurusan dana itu cuai, tergesa-gesa dan tidak bertanggungjawab dalam pelaburan mereka di dalam 1MDB yang boleh menyebabkan kerugian kepada penyimpan dan pelabur mereka,” kata Rafizi dalam laporan yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insider, selain menambah yang hanya tindakan proaktif boleh melindungi kepentingan penyimpan. 

Selain itu Rafizi juga berkata yang rancangan sudah digerakkan untuk melantik sebuah institut penyelidikan berkecuali untuk mengetahui samada penyimpan dalam ketiga-tiga dana itu mahu menarik kembali pelaburan dalam 1MDB, dan jika mereka mahu 1MDB ditutup. 

Rafizi juga berkata adalah lebih baik jika tiga agensi berkaitan kerajaan untuk menarik kembali pelaburan mereka dalam 1MDB kerana ia mempunyai risiko yang sangat tinggi. 

KWAP mempunyai pelaburan sebanyak RM1.4 bilion dalam 1MDB dan anak syarikatnya, KWSP melaburkan RM1.52 bilion dalam anak syarikat 1MDB dan Tabung Haji mempunyai bon bernilai RM920 juta dalam pembangunan hartanah Bandar Malaysia yang dimiliki oleh 1MDB. 

Bulan lepas, dana haji itu membeli 0.63 hektar tanah di kawasan perbankan Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB yang menimbulkan kemarahan awam sebelum ia dijual semula.


Tindakan Rafizi untuk memfailkan injuksi perlu disokong. Kerana hanya tindakan proaktif yang boleh memastikan kepentingan penyimpan terjaga. 

Siapa yang boleh salahkan penyimpan yang berasa tidak selesa?

Jika anda mendapati duit anda dilaburkan dalam sesuatu yang mempunyai hutang sebanyak RM 42bilion, tidakkah anda berasa bimbang?

Berikutan kontorversi perjanjian pembelian tanah antara Tabung Haji-TRX, penyimpan mula mengeluarkan duit mereka kerana hilang keyakinan, dan ketua pegawai eksekutif lembaga itu mengakui yang dana yang disimpan telah berkurangan daripada RM 71 juta kepada RM 40 juta, pada bulan Mei sahaja, berbanding empat bulan pertama tahun ini. 

Sudah sekian lama, rakyat Malaysia telah mengamanahkan duit mereka kepada dana-dana ini, dan sebelum ini dana ini tidak mengecewakan. KWSP misalnya mempunyai rekod baik peningkatan keuntungan dan dividen yang tinggi. 

Bagaimanapun, tidak seperti penyimpan Tabung Haji, penyumbang KWSP tidak boleh sesuka hati mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa. 

Saga 1MDB telah merisaukan ramai rakyat Malaysia yang dana ini diekploitasi untuk menyelamatkan 1MDB dan menyedarkan orang ramai yang sudah sampai masanya untuk menggunakan hak mereka bagi menentukan bagaimana penjaga dana ini menggunakan duit penyimpan. 

Samada Rafizi akan berjaya atau tidak, hanya masa akan menentukan. 

Mungkin selepas ini, mereka yang berjuang menjaga kepentingan kita boleh membentuk mekanisma penghalang bagi memastikan duit rakyat ini tidak dilaburkan dalam pelaburan yang boleh dipersoalkan. 

Dana berkaitan kerajaan juga perlu menjauhkan diri mereka daripada 1MDB demi kepentingan penyimpan dan reputasi agensi. 

Diharapkan lebih ramai orang, terutama mereka daripada Barisan Nasional dan Umno, akan ke depan untuk menyokong tindakan ini atau memfailkan injuksi mereka sendiri.- bm.theantdaily.com 


Pendakwah perlu kreatif dalam berdakwah



Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA


MASYARAKAT Islam hari ini semakin cenderung dan berminat mempelajari perihal agama secara mendalam. Jika sebelum ini, rumah-rumah ALLAH SWT (masjid dan surau) kelihatan sepi, namun sejak kebelakangan ini ramai yang sudah mengimarahkannya.

Suasana hambar dahulu kembali  riuh dengan pelbagai aktiviti dan program bermanfaat dalam membentuk Muslim sejati

 Nama-nama seperti Dr Zakir Naik, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ustaz Asmak Husin, Prof Madya Mohd Nor Mamat, Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustazah Siti Fatahiyah Mahmood, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood (sekadar menyebut beberapa nama) antara pendakwah yang menjadi perhatian dan meniti di bibir masyarakat kita.

Setiap daripada mereka mempunyai gaya berbagai - ada yang santai, bersahaja, lucu, serius dan ada yang gemar mengalunkan lagu-lagu dalam menyebarkan amar makruf nahi mungkar di bumi ALLAH ini.

Fokus mereka hanya satu, mahu mengajak umat manusia menuju jalan yang diredai ALLAH. Itulah tugasan dakwah!  Ini tidak tertakluk kepada golongan agamawan semata-mata. Sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah asalkan dia berpaksikan kepada al-Quran dan sunnah.

Sasaran mudah faham

Segelintir masyarakat mempunyai pandangan negatif terhadap pendakwah. Sebagai contoh, jika melihat kumpulan atau individu perseorangan memakai jubah dan berserban, mereka akan melarikan diri dan berpaling. Apabila ditanya kenapa berbuat demikian, alasannya "golongan berjubah itu akan datang mem'basuh' kami. Mentang-mentanglah kami begini dan mereka begitu sedangkan dalam kalangan puak berjubah itu ada yang tidak betulnya".

Pembentang pertama, Atase Agama di Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdurrahman Al-Bilaihiy menjelaskan itu adalah cabaran besar dalam dunia dakwah. Bukan senang untuk menjadi pendakwah, kerana itu beliau menggariskan beberapa unsur yang mesti diwujudkan pada diri pendakwah dan memberi penekanan ke arah membentuk persediaan yang tersusun untuk menyampaikan sesuatu.

"Pertama kali turun ke medan dakwah, kita tidak digalakkan untuk terus mengupas sesuatu yang berat sebaliknya dekati golongan sasaran dengan senyuman seikhlas mungkin dan gunakanlah bahasa yang mudah difahami dan santai.

"Antara garis panduan yang perlu diikuti seseorang yang bergelar pendakwah supaya mudah diterima golongan sasaran adalah:

1) Pendakwah mesti mengikut aturan komponen perkara yang mahu hendak disampaikan.
 
2) Semestinya ada pengenalan terhadap topik yang ingin disampaikan, memberi fokus terhadap sesuatu tajuk atau perbahasan agar sasaran dapat mengikutinya dengan baik dan mesti disusuli dengan kesimpulan agar sasaran dapat memahaminya dengan lebih jelas.
 
3) Pendakwah semestinya mahir dalam sesuatu isu yang ingin disampaikan dan bukannya terpingga-pingga apabila menerima soalan daripada golongan sasaran.
 
4) Menjaga kualiti pendakwah adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan.  
 
5) Pendakwah mesti membina penambah baikan sebagai faktor Keberkesanan mengenai perkara yang hendak disampaikan.
 
6) Gerak badan dan anggota badan serta cara pertuturan pendakwah adalah sesuatu yang amat penting bagi membina keberkesanan terhadap sasaran. Ia adalah tarikan yang amat berkesan.
 
7) Pendakwah perlu mewujudkan aktiviti minda kerana ia mampu membantu meninggalkan kesan yang kuat daripada yang disampaikan," katanya yang berupaya untuk menyampaikan ceramah selama empat jam tanpa henti.

Menurutnya, hayatilah tindak tanduk junjungan besar Nabi Muhamamd SAW semasa berdakwah. Baginda SAW adalah sebaik-baiknya teladan bagi umat manusia. Dalam berdakwah, Rasulullah SAW senantiasa mengajak umatnya dengan cara yang lembut, sopan, bijaksana, kasih sayang, dan penuh keteladan. Walhal, dengan Yahudi sekalipun Baginda SAW tidak pernah berkasar.

Sejatinya dakwah adalah menyeru dan mengajak umat manusia untuk menjadi lebih baik. Bukannya menakutkan golongan sasaran dengan berbagai ancaman. Terkandung dalam al-Quran, ALLAH  menggariskan tiga tuntunan dalam berdakwah iaitu: 
 
- Bijaksana
- Bimbingan yang baik
- Berdebat dengan cara yang damai
 
Beliau turut berkongsi beberapa sifat yang perlu dimiliki pendakwah dalam berhadapan golongan sasaran semasa di medan dakwah. Antaranya pendakwah itu perlu mengeluarkan butir bicara yang berkualiti dengan cara penyampaian yang baik dan lancar, jika bercakap tergagap-gagap dan teragak-agak untuk mengeluarkan buah fikiran atau idea pasti memberi impak kepada golongan sasaran dan sudah tentu pandangan mereka kepada pendakwah akan berubah.

"Pendakwah juga memberikan gambaran dengan jelas terhadap apa yang diperkatakannya bagi menggelakkan sebarang kekeliruan. Usah menggunakan perkataan yang susah untuk difahami sehingga sukar menggambarkan apa yang diucapkan. Idea yang disampaikan mesti dengan cara tersusun.

"Semestinya pendakwah harus dan wajib memiliki ilmu pengetahuan yang luas kerana ia membentuk kemampuan dalam berinteraksi dengan golongan sasaran. Dengan lemah pengetahuan, pendakwah mudah jadi lemah dan tidak bersedia menyampaikan," katanya.

Muhammad saw ikutan kita

Pembentang kedua, Ketua Jabatan Bahasa Arab di Fakulti Bahasa Mediu; Penolong Prof Dr Elsayed Mohamed Salem memberi penumpuan sepenuhnya berkaitan kesempurnaan  akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan pendakwah dulu hingga kini. "Nabi SAW adalah individu yang bercakap benar dalam kehidupannya.

Hal ini diakui sendiri oleh Abu Jahal ketika Abu Jahal dikunjungi seorang berbangsa Quraisy yang bertanya: "Ya Abal Hakam! Di sini tidak ada sesiapa selain engkau dan aku serta tidak ada juga sesiapa yang dapat mendengar dialog kita selain engkau dan aku. Mengapa kulihat banyak orang mempercayai Muhammad? Katakanlah dengan benar pendapatmu mengenai Muhammad itu, apakah dia benar atau dusta?" Jawab Abu Jahal: "Demi Tuhan, sesungguhnya Muhammad itu orang yang benar dan tidak pernah berdusta sama sekali!"

"Dunia dakwah hari ini berdepan dengan bermacam pancaroba dan dugaan, kecanggihan teknologi moden sekali gus mencambahkan lagi ujian pendakwah. Namun, adakah ujian yang berlaku hari ini sama seperti ujian yang dihadapi Rasulullah SAW semasa menyebarkan dakwah di bumi Makkah? Hanya satu kata kuncinya, sabar!. Kesabaran dan ketabahan Baginda SAW menghadapi segala rintangan dan tentangan ketika menyampaikan dakwah seharusnya dijadikan iktibar," katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW adalah seorang yang penyayang terhadap keluarga. Abu Hurairah RA ada meriwayatkan: "Aqra' Bin Khabis pernah melihat Rasulullah SAW mencium cucunya, Hassan." Anas Bin Malik RA juga sahabat Rasulullah SAW berkata: "Tidak pernah kulihat orang yang lebih penyayang terhadap keluarganya melebihi Rasulullah SAW."

Baginda SAW juga tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi memaafkannya. Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa tentera musyrikin yang berdiri di kepala Baginda SAW dengan sebilah pedang seraya berkata: "Siapakah yang dapat mempertahankan engkau daripada pedangku ini?" Rasulullah SAW menjawab dengan tegas: "ALLAH." Dengan jawapan itu gementarlah tangan musyrikin dan pedang yang dipegangnya jatuh dari tangannya. Pedang itu diambil Rasulullah SAW tetapi Baginda SAW tidak membunuhnya malah membebaskan walaupun ketika itu Baginda SAW boleh membunuhnya," katanya yang mengakhiri pembentangan dengan menyeru peserta agar mengkaji dengan lebih terperinci sikap milik insan agung ini.

Kreatif dengan teknologi

Sementara itu, alumni Universiti Al-Azhar; Dr Ali Halawani memulakan pembentangannya bertajuk Kemahiran dan Kreativiti dengan Penggunaan  Teknologi  Moden dalam Sektor Dakwah. Beliau menjelaskan keperluan teknologi moden kepada pendakwah untuk membina keberkesanan dalam misi dakwah.

"Segala maklumat yang disampaikan  akan mampu masuk ke sanubari pendengar dan golongan sasaran dengan sempurna dan secara tidak langsung pendakwah telah berjaya mencapai matlamat untuk meletakkan seruan dan arahan ALLAH ke dalam lubuk hati sasaran dengan baik.

"Penggunaan teknologi moden juga mampu membawa contoh yang banyak dan bermanfaat serta sesuai dengan keadaan semasa bagi membantu pendakwah menyampaikan sesuatu topik dengan cepat dan mudah. Manakala golongan sasaran pula akan menerima input yang dijelaskan dengan segera tanpa menunggu. Segala persoalan akan mudah terjawab tambahan pula sekarang ini kita sudah ada Facebook, Twiter, WhatsApp, WeChat dan macam-macam lagi," katanya.

Beliau seterusnya menyentuh perihal berkaitan  kreativiti dan maksud kreativiti yang  sebenar dengan membawa contoh terkini  dan  perbezaan antara kreativiti dan inovasi. Pendek kata, berbekalkan segala kemudahan teknologi yang ada pendakwah perlu mengubah corak dengan menggunakan sesuatu yang cepat dalam menyampaikan dakwah kepada golongan sasar.
 
Pengaruh media massa

Pembentang terakhir, pensyarah Pengajian Islam Mediu; Dr Yusuf Hassan Al-Samarani menyatakan berkaitan peranan media massa dalam dakwah di peringkat dalaman dan antarabangsa. Media elektronik dan cetak mempunyai pengaruh yang cukup luas dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan dakwah Islam.

"Media massa juga mampu mengubah suasana budaya yang tidak baik kepada budaya dan keadaan masyarakat yang lebih bersopan berasaskan disiplin yang mampu membina keamanan sejagat. Pemahaman daripada al-Quran dan as-Sunah boleh  membawa perubahan yang cukup ketara ke arah membina peradaban manusia bertamadun.

"Sehubungan itu, pendakwah mesti menceburkan diri dalam bidang ini kerana penglibatan dalam media adalah warisan ulama dan salafussolih bagi menyalurkan inti pati al-Quran dan sunnah secara lebih berkesan terhadap masyarakat," jelasnya.

Menurutnya, dunia yang semakin mencabar telah melonjakkan paradigma pendakwah untuk penyampaian secara berteknologi dengan mewujudkan media elektronik berserta adunan gaya dan penyusunan yang mampu memberi tarikan dan kekuatan dalam dunia dakwah.

Khamis (21 Mei) baru-baru ini, Rehal berkesempatan mengikuti Bengkel: Pengayaan Dalam Kemahiran Para Daie anjuran Universiti Antarabangsa Madian (Mediu) dengan kerjasama Pejabat Atase Agama, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor.

Bengkel selama satu hari ini mengupas mengenai bagaimana seseorang pendakwah itu membawa dirinya ke medan dakwah, apakah ciri-ciri untuk menjadi pendakwah yang baik dan platform bagaimanakah yang mendekatkan pendakwah dengan masyarakat di luar sana.

Kira-kira 80 peserta  terdiri daripada golongan pendakwah, wakil dari jabatan dan agensi kerajaan, wakil dari institusi pendidikan tinggi dan wakil dari agensi dan pertubuhan dakwah dalam dan luar negara.

Bengkel ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mediu; Prof Dr Muhammad Khalifa Al-Tamimi berobjektif untuk membangunkan kemahiran dalam sektor dakwah dalam kalangan peserta selain mewujudkan keberkesanan yang lebih mantap terhadap sasaran dakwah mereka.
 
 

Jho Low Ada Di Malaysia, Siapakah Bakal Ditemuinya?

 shahbudindotcom

 





Mengikut laporan sebuah portal berita iaitu The Ant Daily atau Semut Harian, jutawan kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low ketika ini sedang berada di Malaysia.

Berdasarkan apa yang dilaporkan, Jho Low  dikatakan tiba dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific dari Hong Kong yang memulakan perjalanan dari Jepun dan tiba di KLIA lewat petang Khamis lalu.

Beliau yang dikesan memakai baju batik hitam putih menaiki pesawat itu bersama seorang lelaki berpakaian biasa dan kemudian bertemu dengan seorang lelaki India tinggi lampai di penghubung terminal KLIA pada kira-kira jam 7.43, sebelum tergesa-gesa berlalu pergi.

Ketika isu 1MDB sedang hangat dan menjadi bara dalam hati majoriti rakyat negara ini dan namanya dikaitkan secara langsung dengan kemelut yang berlaku dalam syarikat pelaburan anak emas Najib Razak itu, kepulangan Jho Low tentu saja menimbulkan banyak persoalan serta tanda tanya.

Apakah urusannya datang ke Malaysia dan siapakah yang bakal ditemuinya di sini? 

Dalam kemelut yang yang melanda 1MDB sehingga ia dianggap skandal kewangan terbesar di era Najib menjadi Perdana Menteri, nama Jho Low telah disebut oleh banyak pihak termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mempersoalkan apakah peranan dan bagaimanakah beliau begitu dipercayai untuk menguruskan pelaburan dana berbilion ringgit milik syarikat tersebut.

Tun Mahathir juga mengaitkan hubungan rapat Jho Low dengan anak tiri Najib, Riza Aziz yang didapati memiliki kekayaan luar biasa dengan kemampuan menerbitkan filem  dengan kos kira-kira RM300 juta di Hollywood serta membeli kondominium mewah di kota metropolitan  New York.

Dalam misteri ke mana perginya RM27 bilion daripada keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion, nama Jho Low paling banyak dikaitkan dan beliau dilihat kunci utama untuk merungkai banyak kekusutan yang bermain di fikiran rakyat.

Blog ini dalam postingnya pada 15 April  2015 bertajuk "Tangkap Jho Low, Buka Semula Kes Altantuya...Habis Cerita!!" juga menyarankan agar Jho Low disiasat bagi memperolehi lebih banyak maklumat penting mengenai 1MDB.

Di kalangan pemimpin UMNO, antara yang mahu jutawan playboy itu turut disiasat ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan, spekulasi awam mengenai penglibatannya dalam skandal 1MDB terlalu besar untuk diabaikan.

KJ juga mengukuhkan lagi hujahnya dengan berkata, "apa saja cara anda melihat isu ini, cap jari Jho Low berada pada seluruh tempat dalam 1MDB."

Pendirian KJ itu adalah berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed yang belum melihat keperluan untuk memanggil Jho Low dalam siasatannya bagi mencungkil rahsia pelbagai kekalutan yang timbul dalam 1MDB.

Sehingga hari ini pun, Nur Jazlan dilaporkan masih berpendirian sama  dan tidak menyenaraikan Jho Low untuk mengadap jawatankuasa itu.

Lantaran itu, adalah tidak mungkin kepulangan Jho Low ini untuk memberikan keterangan kepada PAC.

Jadi, apakah tujuan Jho Low kembali ke Malaysia di saat ini? Apakah beliau mempunyai jadual bertemu dengan Najib Razak atau Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk sesuatu urusan yang juga berkaitan syarikat itu?

Mungkinkah beliau akan bertemu dengan wanita yang sangat dihormatinya dan dipanggilnya "mummy" iaitu Rosmah Mansor?

Atau beliau pulang kerana urusan keluarga dan sekadar ingin melepaskan rindu kepada ibu bapanya di Pulau Pinang saja?

Daripada segi yang lain, munculnya Jho Low di Malaysia diketika isu 1MDB semakin hangat diperbualkan dan namanya sentiasa disebut, ia seolah-olah beliau ingin menunjukkan sikap "jantannya", sedia berdepan dan tidak takut sama sekali dengan sebarang kesalahan yang mungkin dikaitkan terhadap dirinya.

Mungkin terlalu awal untuk mengaitkannya dengan sebarang proses undang-undang, tetapi apakah peluang keemasan untuk menyoal siasat atau mendapatkan maklumat daripada Jho Low yang bagaikan sudah "menyerah diri" dan ada di depan mata ini akan dibiarkan berlalu begitu saja?