Ahad, 31 Mei 2015

Pendakwah perlu kreatif dalam berdakwah



Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA


MASYARAKAT Islam hari ini semakin cenderung dan berminat mempelajari perihal agama secara mendalam. Jika sebelum ini, rumah-rumah ALLAH SWT (masjid dan surau) kelihatan sepi, namun sejak kebelakangan ini ramai yang sudah mengimarahkannya.

Suasana hambar dahulu kembali  riuh dengan pelbagai aktiviti dan program bermanfaat dalam membentuk Muslim sejati

 Nama-nama seperti Dr Zakir Naik, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ustaz Asmak Husin, Prof Madya Mohd Nor Mamat, Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustazah Siti Fatahiyah Mahmood, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood (sekadar menyebut beberapa nama) antara pendakwah yang menjadi perhatian dan meniti di bibir masyarakat kita.

Setiap daripada mereka mempunyai gaya berbagai - ada yang santai, bersahaja, lucu, serius dan ada yang gemar mengalunkan lagu-lagu dalam menyebarkan amar makruf nahi mungkar di bumi ALLAH ini.

Fokus mereka hanya satu, mahu mengajak umat manusia menuju jalan yang diredai ALLAH. Itulah tugasan dakwah!  Ini tidak tertakluk kepada golongan agamawan semata-mata. Sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah asalkan dia berpaksikan kepada al-Quran dan sunnah.

Sasaran mudah faham

Segelintir masyarakat mempunyai pandangan negatif terhadap pendakwah. Sebagai contoh, jika melihat kumpulan atau individu perseorangan memakai jubah dan berserban, mereka akan melarikan diri dan berpaling. Apabila ditanya kenapa berbuat demikian, alasannya "golongan berjubah itu akan datang mem'basuh' kami. Mentang-mentanglah kami begini dan mereka begitu sedangkan dalam kalangan puak berjubah itu ada yang tidak betulnya".

Pembentang pertama, Atase Agama di Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdurrahman Al-Bilaihiy menjelaskan itu adalah cabaran besar dalam dunia dakwah. Bukan senang untuk menjadi pendakwah, kerana itu beliau menggariskan beberapa unsur yang mesti diwujudkan pada diri pendakwah dan memberi penekanan ke arah membentuk persediaan yang tersusun untuk menyampaikan sesuatu.

"Pertama kali turun ke medan dakwah, kita tidak digalakkan untuk terus mengupas sesuatu yang berat sebaliknya dekati golongan sasaran dengan senyuman seikhlas mungkin dan gunakanlah bahasa yang mudah difahami dan santai.

"Antara garis panduan yang perlu diikuti seseorang yang bergelar pendakwah supaya mudah diterima golongan sasaran adalah:

1) Pendakwah mesti mengikut aturan komponen perkara yang mahu hendak disampaikan.
 
2) Semestinya ada pengenalan terhadap topik yang ingin disampaikan, memberi fokus terhadap sesuatu tajuk atau perbahasan agar sasaran dapat mengikutinya dengan baik dan mesti disusuli dengan kesimpulan agar sasaran dapat memahaminya dengan lebih jelas.
 
3) Pendakwah semestinya mahir dalam sesuatu isu yang ingin disampaikan dan bukannya terpingga-pingga apabila menerima soalan daripada golongan sasaran.
 
4) Menjaga kualiti pendakwah adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan.  
 
5) Pendakwah mesti membina penambah baikan sebagai faktor Keberkesanan mengenai perkara yang hendak disampaikan.
 
6) Gerak badan dan anggota badan serta cara pertuturan pendakwah adalah sesuatu yang amat penting bagi membina keberkesanan terhadap sasaran. Ia adalah tarikan yang amat berkesan.
 
7) Pendakwah perlu mewujudkan aktiviti minda kerana ia mampu membantu meninggalkan kesan yang kuat daripada yang disampaikan," katanya yang berupaya untuk menyampaikan ceramah selama empat jam tanpa henti.

Menurutnya, hayatilah tindak tanduk junjungan besar Nabi Muhamamd SAW semasa berdakwah. Baginda SAW adalah sebaik-baiknya teladan bagi umat manusia. Dalam berdakwah, Rasulullah SAW senantiasa mengajak umatnya dengan cara yang lembut, sopan, bijaksana, kasih sayang, dan penuh keteladan. Walhal, dengan Yahudi sekalipun Baginda SAW tidak pernah berkasar.

Sejatinya dakwah adalah menyeru dan mengajak umat manusia untuk menjadi lebih baik. Bukannya menakutkan golongan sasaran dengan berbagai ancaman. Terkandung dalam al-Quran, ALLAH  menggariskan tiga tuntunan dalam berdakwah iaitu: 
 
- Bijaksana
- Bimbingan yang baik
- Berdebat dengan cara yang damai
 
Beliau turut berkongsi beberapa sifat yang perlu dimiliki pendakwah dalam berhadapan golongan sasaran semasa di medan dakwah. Antaranya pendakwah itu perlu mengeluarkan butir bicara yang berkualiti dengan cara penyampaian yang baik dan lancar, jika bercakap tergagap-gagap dan teragak-agak untuk mengeluarkan buah fikiran atau idea pasti memberi impak kepada golongan sasaran dan sudah tentu pandangan mereka kepada pendakwah akan berubah.

"Pendakwah juga memberikan gambaran dengan jelas terhadap apa yang diperkatakannya bagi menggelakkan sebarang kekeliruan. Usah menggunakan perkataan yang susah untuk difahami sehingga sukar menggambarkan apa yang diucapkan. Idea yang disampaikan mesti dengan cara tersusun.

"Semestinya pendakwah harus dan wajib memiliki ilmu pengetahuan yang luas kerana ia membentuk kemampuan dalam berinteraksi dengan golongan sasaran. Dengan lemah pengetahuan, pendakwah mudah jadi lemah dan tidak bersedia menyampaikan," katanya.

Muhammad saw ikutan kita

Pembentang kedua, Ketua Jabatan Bahasa Arab di Fakulti Bahasa Mediu; Penolong Prof Dr Elsayed Mohamed Salem memberi penumpuan sepenuhnya berkaitan kesempurnaan  akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan pendakwah dulu hingga kini. "Nabi SAW adalah individu yang bercakap benar dalam kehidupannya.

Hal ini diakui sendiri oleh Abu Jahal ketika Abu Jahal dikunjungi seorang berbangsa Quraisy yang bertanya: "Ya Abal Hakam! Di sini tidak ada sesiapa selain engkau dan aku serta tidak ada juga sesiapa yang dapat mendengar dialog kita selain engkau dan aku. Mengapa kulihat banyak orang mempercayai Muhammad? Katakanlah dengan benar pendapatmu mengenai Muhammad itu, apakah dia benar atau dusta?" Jawab Abu Jahal: "Demi Tuhan, sesungguhnya Muhammad itu orang yang benar dan tidak pernah berdusta sama sekali!"

"Dunia dakwah hari ini berdepan dengan bermacam pancaroba dan dugaan, kecanggihan teknologi moden sekali gus mencambahkan lagi ujian pendakwah. Namun, adakah ujian yang berlaku hari ini sama seperti ujian yang dihadapi Rasulullah SAW semasa menyebarkan dakwah di bumi Makkah? Hanya satu kata kuncinya, sabar!. Kesabaran dan ketabahan Baginda SAW menghadapi segala rintangan dan tentangan ketika menyampaikan dakwah seharusnya dijadikan iktibar," katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW adalah seorang yang penyayang terhadap keluarga. Abu Hurairah RA ada meriwayatkan: "Aqra' Bin Khabis pernah melihat Rasulullah SAW mencium cucunya, Hassan." Anas Bin Malik RA juga sahabat Rasulullah SAW berkata: "Tidak pernah kulihat orang yang lebih penyayang terhadap keluarganya melebihi Rasulullah SAW."

Baginda SAW juga tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi memaafkannya. Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa tentera musyrikin yang berdiri di kepala Baginda SAW dengan sebilah pedang seraya berkata: "Siapakah yang dapat mempertahankan engkau daripada pedangku ini?" Rasulullah SAW menjawab dengan tegas: "ALLAH." Dengan jawapan itu gementarlah tangan musyrikin dan pedang yang dipegangnya jatuh dari tangannya. Pedang itu diambil Rasulullah SAW tetapi Baginda SAW tidak membunuhnya malah membebaskan walaupun ketika itu Baginda SAW boleh membunuhnya," katanya yang mengakhiri pembentangan dengan menyeru peserta agar mengkaji dengan lebih terperinci sikap milik insan agung ini.

Kreatif dengan teknologi

Sementara itu, alumni Universiti Al-Azhar; Dr Ali Halawani memulakan pembentangannya bertajuk Kemahiran dan Kreativiti dengan Penggunaan  Teknologi  Moden dalam Sektor Dakwah. Beliau menjelaskan keperluan teknologi moden kepada pendakwah untuk membina keberkesanan dalam misi dakwah.

"Segala maklumat yang disampaikan  akan mampu masuk ke sanubari pendengar dan golongan sasaran dengan sempurna dan secara tidak langsung pendakwah telah berjaya mencapai matlamat untuk meletakkan seruan dan arahan ALLAH ke dalam lubuk hati sasaran dengan baik.

"Penggunaan teknologi moden juga mampu membawa contoh yang banyak dan bermanfaat serta sesuai dengan keadaan semasa bagi membantu pendakwah menyampaikan sesuatu topik dengan cepat dan mudah. Manakala golongan sasaran pula akan menerima input yang dijelaskan dengan segera tanpa menunggu. Segala persoalan akan mudah terjawab tambahan pula sekarang ini kita sudah ada Facebook, Twiter, WhatsApp, WeChat dan macam-macam lagi," katanya.

Beliau seterusnya menyentuh perihal berkaitan  kreativiti dan maksud kreativiti yang  sebenar dengan membawa contoh terkini  dan  perbezaan antara kreativiti dan inovasi. Pendek kata, berbekalkan segala kemudahan teknologi yang ada pendakwah perlu mengubah corak dengan menggunakan sesuatu yang cepat dalam menyampaikan dakwah kepada golongan sasar.
 
Pengaruh media massa

Pembentang terakhir, pensyarah Pengajian Islam Mediu; Dr Yusuf Hassan Al-Samarani menyatakan berkaitan peranan media massa dalam dakwah di peringkat dalaman dan antarabangsa. Media elektronik dan cetak mempunyai pengaruh yang cukup luas dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan dakwah Islam.

"Media massa juga mampu mengubah suasana budaya yang tidak baik kepada budaya dan keadaan masyarakat yang lebih bersopan berasaskan disiplin yang mampu membina keamanan sejagat. Pemahaman daripada al-Quran dan as-Sunah boleh  membawa perubahan yang cukup ketara ke arah membina peradaban manusia bertamadun.

"Sehubungan itu, pendakwah mesti menceburkan diri dalam bidang ini kerana penglibatan dalam media adalah warisan ulama dan salafussolih bagi menyalurkan inti pati al-Quran dan sunnah secara lebih berkesan terhadap masyarakat," jelasnya.

Menurutnya, dunia yang semakin mencabar telah melonjakkan paradigma pendakwah untuk penyampaian secara berteknologi dengan mewujudkan media elektronik berserta adunan gaya dan penyusunan yang mampu memberi tarikan dan kekuatan dalam dunia dakwah.

Khamis (21 Mei) baru-baru ini, Rehal berkesempatan mengikuti Bengkel: Pengayaan Dalam Kemahiran Para Daie anjuran Universiti Antarabangsa Madian (Mediu) dengan kerjasama Pejabat Atase Agama, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor.

Bengkel selama satu hari ini mengupas mengenai bagaimana seseorang pendakwah itu membawa dirinya ke medan dakwah, apakah ciri-ciri untuk menjadi pendakwah yang baik dan platform bagaimanakah yang mendekatkan pendakwah dengan masyarakat di luar sana.

Kira-kira 80 peserta  terdiri daripada golongan pendakwah, wakil dari jabatan dan agensi kerajaan, wakil dari institusi pendidikan tinggi dan wakil dari agensi dan pertubuhan dakwah dalam dan luar negara.

Bengkel ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mediu; Prof Dr Muhammad Khalifa Al-Tamimi berobjektif untuk membangunkan kemahiran dalam sektor dakwah dalam kalangan peserta selain mewujudkan keberkesanan yang lebih mantap terhadap sasaran dakwah mereka.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.