MALAYSIAKINI
Prestasi kerajaan mungkin boleh diperbaiki lagi jika sistem pemilihan
perdana menteri diubah, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari
ini.
Berbanding pelantikan perdana menteri dibuat oleh parti yang memenangi
pilihan raya, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, ia
mungkin boleh ditentukan oleh rakyat secara langsung.
"Kita perlu meneroka sistem lain dalam kerajaan dan melihat jika ia lebih baik," katanya dalam ucapan di Petaling Jaya hari ini.
Majlis itu anjuran pertubuhan bukan kerajaan, Harmony Malaysia.
Ku Li berkata, rakyat mungkin boleh diberi kebenaran melantik sendiri
perdana menteri (melalui pilihan raya seperti yang dijalankan di
beberapa negara lain).
Menurut beliau, amalan Westminster yang sedang dipraktikkan di negara ini sudah tidak lagi sesuai.
Generasi baru, nilai baru
Ketika ini amalan demokrasi di negara ini membenarkan seseorang
dilantik sebagai perdana menteri melalui persetujuan majoriti parti yang
memenangi pilihan raya.
Indonesia adalah antara negara mengamalkan pilihan raya umum yang
membenarkan setiap pengundi berdaftar memilih sendiri presiden mereka.
"Kita mengambil sistem dari British yang berjaya (diamalkan) di negara lain, tetapi bukan di Malaysia," katanya.
Menurut Ku Li, generasi baru negara ini memiliki pemikiran dan nilai berbeza berbanding generasi terdahulu.
Justeru, katanya, kaedah baru diperlukan untuk menyesuaikan keadaan semasa.
Kata Ku Li, bidang pendidikan juga perlu diberi penekanan, selain isu
gaji lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara
keseluruhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.