KUALA LUMPUR - Isu sempadan dan perairan negara yang mudah dibolosi
pihak dan anasir luar boleh menjadi 'bom jangka' terhadap keselamatan
negara jika gagal ditangani segera, menurut penganalisis dan pakar aspek
keselamatan.
Menurut mereka, kerajaan perlu mengkaji, mengambil pendekatan baharu
dan membuat penambahbaikan terhadap kawalan keselamatan di sempadan
seperti membina sekatan, benteng, pagar dan menggunakan teknologi
terkini 'drone' untuk pengawasan.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Datuk
Kamaruddin Md Ali berkata, langkah keselamatan di kawasan sempadan dan
perairan negara dilihat tidak begitu berkesan selepas peristiwa
pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas.
"Sebelum peristiwa serangan di Lahad Datu, warga Filipina boleh datang
pada bila-bila masa tanpa sebarang sekatan manakala rondaan pasukan
keselamatan di sempadan utara tanah air juga tidak begitu berkesan
susulan masih ada lorong-lorong tikus yang membolehkan rakyat Malaysia
dan Thailand keluar masuk.
"Kerajaan harus meneruskan projek memagar kawasan sempadan (darat)
dengan menggunakan tambahan alat teknologi seperti pemasangan CCTV
(kamera litar tertutup) dan pemerhatian dengan peralatan drone dengan
kadar segera," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Kamaruddin berkata, kegagalan kawalan kawasan sempadan darat semakin
jelas dengan kes terbaru penemuan 28 kem sementara yang menempatkan
mangsa
pemerdagangan manusia dan 139 kubur mangsa terbabit di Bukit Wang Burma di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.
"Anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan hendaklah
daripada mereka yang benar-benar jujur, amanah serta bertanggungjawab
(bagi mengelakkan penyelewengan dan bekerjasama dengan sindiket),"
katanya.
Selain kemasukan pendatang tanpa izin dan pelarian melalui jalan darat,
Malaysia turut berdepan masalah sama melibatkan laluan laut.
Pada 10 Mei lepas sebanyak 1,158 pendatang dari Bangladesh dan
Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak, mendarat di
Langkawi.
Lebih 7,000 lagi pendatang dan pelarian dikatakan berada di laut dalam usaha untuk mendarat di Malaysia.
Di Sabah pula berhadapan dengan pencerobohan puak militan dari selatan Filipina.
Walaupun kerajaan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur
Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai usaha
keselamatan susulan pencerobohan di Lahad Datu, kes-kes penculikan di
kawasan itu yang dipercayai melibatkan penjenayah dari Filipina terus
berlaku.
Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, kawalan keselamatan di
sempadan kurang berkesan mungkin kerana terdapat banyak agensi
penguatkuasaan yang fungsinya bertindih di samping kurang penyelarasan
serta mempunyai dasar dan keutamaan berlainan.
Setiap agensi terbabit yang mempunyai komander masing-masing turut
berdepan kekangan kekurangan sumber, anggota, logistik dan sistem dan
mereka kurang berkongsi sumber serta maklumat dan beroperasi secara
sendirian, katanya.
"Kerajaan perlu meletakkan tanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri
kepada polis dan tentera terhadap serangan asing. Imigresen, kastam,
perhutanan dan lainnya akan beroperasi di bawah satu pengurusan
ketumbukan sempadan di bawah polis," katanya.
Ayub berkata, ketua polis di negeri-negeri di sempadan patut dijadikan
komander yang bertanggungjawab untuk mengetuai dan menyelaraskan semua
operasi dan aktiviti di sempadan masing-masing.
"Rondaan keselamatan sempadan patut dijalankan oleh polis dan bila
perlu, dibantu oleh tentera. Kem-kem dan pejabat-pejabat kekal patut
dibina bagi
memastikan pentadbiran efisien dan kebajikan staf dijaga.
"Gajet moden dan efektif perlu dipasang seperti pagar yang sesuai dan dilengkapi sistem keselamatan terkini yang boleh melakukan pengawasan dengan berkesan dan sistematik. Penguatkuasa perlu dilakukan tanpa kompromi dengan keselamatan negara menjadi nombor satu," kata Ayub.
Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, kerajaan perlu
melihat balik dan membuat penambahbaikan terhadap kelemahan yang wujud
di sempadan negara seperti dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis yang
merupakan kawasan hutan dan berpotensi menjadi sasaran laluan merentasi
sempadan tersembunyi oleh pendatang tanpa izin.
"Peranan pegawai gerak khas yang menjaga sempadan dan unit pencegah
penyeludupan perlu dikaji semula agar ditubuhkan satu unit baharu bagi
memantapkan pengawasan dan perkongsian input serta meningkatkan
kemahiran risikan agensi penguat kuasa," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.