MALAYSIAKINI
Pencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang kesal apabila budaya
fitnah-memfitnah kini dilakukan pihak tertentu dalam parti itu khususnya
menjelang pemilihan parti yang semakin hampir ke kemuncaknya.
Bekas naib presiden PAS itu mendakwa terdapat pihak yang melakukan
"pembunuhan watak" dengan melakukan serangan peribadi kerana tidak
mempunyai "modal" untuk mengecamnya berikutan keputusannya bertanding
jawatan tertinggi parti.
"Mereka
dah tak tahu nak kata apa lagi, sebab saya istiqamah dalam gerakan
Islam, saya juga dah ceritakan kenapa lima tahun dulu saya tidak aktif,
saya juga ulama.
"Jadi sekarang ini apa yang dilakukan ialah pembunuhan watak.
"Dulu orang Umno yang fitnah, tapi sekarang ini orang PAS pula," katanya
dalam forum Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015 di Dewan Himpunan
Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.
Kira-kira lima hari lagi sebelum muktamar, Ahmad kini diserang oleh kumpulan pendukung status quo dalam PAS sebagai mengetuai "kumpulan yang lunak dengan DAP" .
Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya.
Turut hadir sebagai ahli panel pada forum itu ialah bekas menteri besar
Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas menteri besar
Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.
Sementara itu bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib
berkata perpecahan yang berlaku dalam PAS kini turut melibatkan pihak
luar daripada parti.
Profesional lari
Beliau juga mendakwa Umno tidak akan membiarkan PAS terus kuat bersama
Pakatan dan menjadi punca berlaku perpecahan sehingga wujudnya dua kem
dalam parti Islam itu.
"Politik adalah seni kepada kemungkinan. (Umno) kena buat sesuatu, kalau
tidak imej Umno akan merudum. Jadi cara yang mesti dilakukan ialah
pecahbelahkan Pakatan, PAS dan DAP perlu dilagakan.
"Dan
cara nak pecahkan PAS pula ialah dengan memisahkan mereka dengan pihak
ulama dan profesional. Saya tengok PAS jadi mangsa, sesetengah pemimpin
PAS jadi mangsa.
"Selepas itu mereka kata golongan profesional nak menentang hudud. Mana
ada pihak yang nak tentang hudud, yang saya tau (nak tentang hudud)
Umnolah," katanya.
Justeru itu, bekas naib presiden Umno itu berkata lagi, menjelang
muktamar PAS ke-61, beliau berharap agar parti itu tidak akan
menyingkirkan golongan profesional.
Ini kerana, sekiranya PAS mengambil pendirian untuk menolak golongan
profesional, dikhuatiri ia akan menjadikan parti itu lemah dan golongan
tersebut tawar hati untuk menyertai PAS selepas ini.
"Kalau ulama buang profesisonal, lepas ini golongan ini tak nak masuk lagi ke dalam PAS. Yang tinggal hanya ulama.
"Lebih baik (PAS) jadi badan dakwah sahaja. Kita nak PAS dengan kekuatan
yang boleh jadi alternatif kepada pimpinan negara," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.