Datuk Seri Shahidan Kassim
WANG KELIAN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan
Kassim menggesa penduduk khususnya di Wang Kelian yang mempunyai
sebarang maklumat berhubung penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan
manusia di sini agar tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, penduduk yang mungkin pernah menerima upah menjadi
tekong dan pemandu jalan kepada sindiket itu tanpa sedar tentang jenayah
itu perlu tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
"Saya menyeru kepada orang Wang Kelian, orang Perlis yang mungkin
pernah terlibat untuk menjadi tekong, pemandu jalan, yang mengetahui
atau menerima upah untuk buat sesuatu supaya tampil.
"Kita tak akan ambil tindakan kerana mereka ini adalah saksi utama
kerana saya percaya semasa mereka buat, mereka tak tahu ada kubur di
atas. Kalau mereka tahu ada kubur, mereka tak akan buat," katanya kepada
pemberita selepas melawat Markas Op Wawasan Khas di Markas Taktikal
(Martek), di sini hari ini.
Isnin lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan
penemuan 139 kubur dan kem transit yang ditinggalkan sindiket
pemerdagangan manusia di Wang Kelian berhampiran sempadan
Malaysia-Thailand.
Semalam, sebanyak 22 rangka mayat berkafan ditemukan dan telah dihantar
ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses patologi. Jumlah
rangka mayat yang ditemukan setakat ini adalah sebanyak 35 sejak operasi
menggali bermula 25 Mei lepas.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, beliau pernah ternampak pondok kosong
di dalam kawasan hutan itu ketika melalui laluan itu bersama renjer
hutan dan menurutnya pada masa itu beliau terfikir di dalam hati kenapa
ada pondok sedangkan durian tidak sesuai ditanam di kawasan tersebut.
Berhubung laporan berita khususnya oleh media asing kononnya tahanan
mati akibat diseksa yang telah membangkitkan kemarahan masyarakat
tempatan, Shahidan berharap mereka bersikap lebih adil dan berhati-hati
ketika membuat laporan supaya tidak menimbulkan sensitif tempatan.
Beliau berkata tuduhan tahanan diseksa harus diperiksa terlebih dahulu
berikutan penemuan kebun sayur dan surau berhampiran kawasan kubur serta
rangka mayat semuanya berkafan dan dikuburkan dalam keadaan menghadap
kiblat.
"Tuduhan mereka diseksa kena diperiksa balik dan tunggu forensik apa
punca kematian mereka sama ada dicucuk perut, mati tahan lapar atau
penyakit.
"Ini kerana dengan kehadiran surau, mayat yang berkafan menghadap
kiblat, jadi apakah yang terjadi dalam hutan yang dituduh
memperdagangkan manusia tiba-tiba mayat dikebumi dengan cara tertib
mengikut cara Islam," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.