Jumaat, 31 Julai 2020

‘Kuat juga dia melawan PH sampai PH tumbang’

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipercayai menyindir bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang meminta UMNO bergerak ke hadapan dan melakukan proses peremajaan parti susulan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu atas sokongan yang diberikan.

Menurut Najib, Khairy Jamaluddin berjuang habis-habisan melawan Pakatan Harapan sehingga kerajaan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 itu tumbang. Hasilnya Khairy Jamaluddin dilantik sebagai menteri.

“Terima kasih atas sokongan YB Menteri pada saya. Kuat juga dia melawan PH tiap-tiap hari sehingga PH tumbang dan dia berjaya menjadi menteri semula,” kata Najib.

Khairy Jamaluddin dalam Twitternya berkata, berkata, walaupun semua pihak berhak memberikan sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri itu, namun beliau berharap parti tidak diheret sekali dalam kes tersebut.

“Saya yakin ahli-ahli UMNO akan terus setia kepada parti melebihi kesetiaan kita kepada mana-mana individu di dalam parti.

“Tibalah masa untuk kita bina semula parti keramat UMNO ini dan untuk kita melihat kepada suatu peralihan generasi kepimpinan yang bakal membawa parti ke era yang baharu,” ciap Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, meskipun Najib masih ada ruang untuk merayu, namun keputusan mahkamah itu memberi kesan besar kepada UMNO.-SM

ADUN DAP cabar Jawi di mahkamah tegaskan tidak anti Jawi

Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu menegaskan dia tidak anti tulisan Jawi.

Adun Tras itu menganggap kritikan dan kecaman yang ditujukan kepadanya berikutan keputusannya mencabar penggunaan tulisan Jawi itu hanyalah disebabkan salah faham.

Menurut beliau, rakan-rakan separtinya kemungkinan “overlooked” (terlepas pandang) kenyataan beliau dan maka timbulnya sedikit kesilapan tafsiran.

“Mungkin saudara-saudari parti saya overlooked, saya bukannya anti-Jawi, mungkin mereka tidak perasan pendirian ini. Walau bagaimanapun, saya hormat pandangan mereka dan kebebasan bersuara.

“Saya juga yakin bahawa rakan separti saya adalah pendukung prinsip sosialisme demokratik iaitu ideologi asal DAP,” kata Chow seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Chow melalui peguamnya M Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan  telah menfaikan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan kelmarin.

Permohonan itu untuk mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Chow, Kerajaan Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai terutama pemilik perniagaa, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda mereka.

“Ini menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan. Setiap pihak ada khalayak sasaran sendiri. Misalnya, pelanggan di restoran Cina atau kedai barangan agama Buddha/Taoisme adalah orang bukan Melayu yang tidak boleh membaca jawi. Jadi apa perlunya menyertakan tulisannya (di papan tanda)?” soal beliau.

Majlis Daerah Raub dinamakan sebagai responden pertama dan kerajaan Pahang sebagai responden kedua.

Hakim Zainal Azman Ab Aziz menetapkan 28 Ogos untuk membut keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan tersebut atau tidak.

Kerajaan Pahang memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan Rumi tahun lalu.

Dasar itu dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020 dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang tidak berbuat demikian.-SM

Wanita warga asing dibunuh, 9 suspek ditahan

POLIS menahan sembilan suspek termasuk tiga lelaki warga asing untuk disiasat berkaitan kes bunuh seorang wanita di Jalan Pandan Indah, Ampang, Selangor pada semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan penemuan mayat wanita itu kira-kira pukul 8.30 malam semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita warga asing berusia 28 tahun.

“Mangsa ditemukan terbaring di tepi jalan dengan kesan kecederaan lebam di bahagian leher, tulang selangka sebelah kanan, dan beberapa kesan lebam di bahagian badan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa disyaki telah dibunuh di tempat lain dan sebelum dibuang di tempat dia ditemukan.

BACA> Aidiladha: Pengorbanan putuskan rantaian Covid-19

Jelasnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan akan dibedah siasat selepas ujian covid pada esok.

“Susulan penemuan itu, sembilan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

“tiga daripada suspek ialah warga asing dan empat suspek pernah ditangkap berkaitan dadah sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, tangkapan dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu di Sri Kembangan, Sea Park dan Sg Jarum Selangor.

BACA> Raja Perlis, Raja Muda Perlis berangkat tunaikan solat Aidiladha

Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan boleh dihukum gantung sampai mati. – SM

Siasat `pelompat parti’ pengkhianat rakyat!

LOMPAT ke parti si polan, keluar dari parti si polan. Menagih duit berjuta sehingga jiwa wakil rakyat jadi tak keruan.

Tindak tanduk sedemikian rupalah yang Belang cuak, “betulkah satu persatu wajah-wajah yang berada bersama seorang pemimpin Sabah semalam melakukannya?”.

Kata pemimpin berkenaan, dia sudah dapat majoriti membentuk kerajaan negeri. Tapi akhirnya tidak kesampaian, kali kedua terjadi kepada dirinya.

Belang kasihan melihat dirinya. Sama ada benar dakwaan dia `main duit’ untuk pancing orang-orang dari sebelah ketua menteri melompat, Belang serahkan kepada pemerhati politik untuk nilaikan.

Tetapi Belang harap sangat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat insiden pergolakan politik Sabah ini sama ada pakai duit atau tidak, sehingga ketua menteri menghadap Yang di-Pertua Negeri

Apa pun, yang cukup Belang pasti, dan orang Semenanjung kena akui juga, senario politik di Sabah agak unik.

Suatu ketika, Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membuktikan tiada yang mustahil dalam jatuh bangun politik.

Datuk Harris Salleh yang menubuhkan Parti Berjaya baru dua bulan pada 1973, berhasil menewaskan USNO pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Kemudian, Datuk Joseph Pairin Kitingan yang keluar beramai-ramai bersama pemimpin Kadazan lain dari Berjaya membentuk PBS. Hanya tiga bulan beroperasi, PBS menumbangkan Parti Berjaya dalam pilihan raya negeri 20-21 April 1985.

Dan tindakan 13 wakil rakyat dan 21 ketua UMNO bahagian dari Sabah keluar parti selepas PRU-14 menjadi ahli politik bebas tempoh hari pada pengamatan ramai, pastinya lebih terarah untuk survival politik masing-masing.

Bukanlah sangat soal rakyat, tapi demi kepentingan diri lebih diutamakan. Pola politik semasa tanah air sudah berbeza. Jika masih terus berada dalam parti asal, karier politik mereka barangkali `habis’. Apa lagi dengan UMNO waktu itu berada di pihak pembangkang kelihatan `tidak boleh melakukan sesuatu’.

Mungkin inilah yang hinggap dalam kotak fikiran bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor bersama orang-orangnya termasuklah penyokong tegar Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Merapatkan diri dengan parti Warisan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa di peringkat negeri dan Pusat suatu `langkah pragmatik’ untuk memastikan gerombolan ini terus dilihat relevan dalam konteks politik semasa. Ya, bukan sahaja untuk manfaat diri sendiri tapi juga kepada rakyat dan pengundi di kawasan DUN dan Parlimen masing-masing.

Sudah tentu apabila bersama Warisan yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan kerajaan PH sebelum Februari lalu, ia akan memposisikan kumpulan yang keluar UMNO ini dalam kedudukan lebih mantap.

Keputusan keluar UMNO kepada kebanyakan ADUN dan ahli Parlimen ini agaknya lebih berbaloi kerana masih ada pengaruh akar umbi tersendiri.

Cuma persoalannya, ke mana perginya aura dan semangat berjuang mereka untuk UMNO kerana selama ini UMNO lah yang telah menyediakan platform kepada mereka sehingga berjawatan tinggi di negeri dan Pusat – timbalan menteri dan menteri? Inilah yang harus dijawab secara jujur – sama ada mengakibatkan UMNO Sabah lumpuh ini demi rakyat?

Gerombolan `lompat parti’ harus jujur pada kebenaran – kebenaran pada diri sendiri, kepada pihak lain dan kebenaran pada hakikatnya.

Jujurlah pada kebenaran politik berpaksikan etos (kewibawaan) yang dipandang tinggi oleh masyarakat.
-SM

PEMBERITAHUAN:

BERITA-BERITA POLITIK DIPINDAHKAN KE DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH

Kenapa Musa Dilarang Memasuki Istana Negeri?


Ini andai kita anggap pembubaran DUN yang diumumkan oleh Shafie Apdal petang tadi sah di sisi undang-undang.

Pembubaran ini sama ceritanya dengan apa yang dihadapi oleh Tun Mahathir atau PH bilamana beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia walaupun cuba dihalang oleh yang di-pertuan Agong. Oleh kerana jawatan Perdana Menteri telah dikosongkan maka kekosongan itu terpaksa diisi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memiliki majoriti SD.

Sabah juga mengalami cerita yang sama bila mana DUN dibubarkan oleh Shafie selaku Ketua Menteri. Menyebabkan jawatan Ketua Menteri Sabah telah kosong dan individu yang paling layak mengisi kekosongan itu ialah Tan Sri Musa Aman yang memiliki majoriti iaitu 33 SD.

Nampak tak kenapa Warisan bermati-matian menghalang kumpulan Tan Sri Musa Aman memasuki Istana? Selain faktor SD, sebenarnya kerajaan negeri telah melakukan kesalahan sepatutnya pengumuman pembubaran dibuat di Dewan Undangan Negeri Sabah atau pihak Istana yang mengumumkannya. Supaya dengan demikian kerajaan negeri masih boleh berfungsi.

Sebagaimana dakwaan terbaru pemimpin UMNO Annuar Musa. Bahawa Ketua Menteri Sabah atau Shafie tidak ada hak atau kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)

Ertinya juga bermula hari ini arahan atau tandatangan Ketua Menteri sudah tidak ada nilainya. Sepatutnya bilik pejabat Ketua Menteri itu dikosongkan.

#Sumber : https://jalinluin.com  

Bantah Tulisan Jawi : Pemuda UMNO Pahang Sifatkan Dap Biadap, Keterlaluan

UMNO ONLINE

RAUB – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal membidas dan kesal dengan tindakan biadab ADUN Tras dari Dap, Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang bagi mewajibkan penggunaan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di Pahang.

Tambah keterlaluan tegasnya apabila Chow Yu Hui menuduh Kerajaan Negeri Pahang memaksa pemilik perniagaan, NGO atau mana-mana pihak untuk melaksanakan dasar tersebut.

“Malah, beliau (Yu Hui) secara lantang menyatakan pelaksanaan tulisan jawi harus dilakukan menerusi galakan dan secara sukarela, bukannya secara paksaan.

“Tindakan Chow Yu Hui ini jelas mencabar titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah agar penggunaan tulisan jawi diperluaskan di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh Pahang, demi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tindakan Chow Yu Hui ini juga tambah Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub menunjukkan betapa Dap sudah ketandusan isu untuk diketengahkan.

“Ini kerana, majoriti pemilik premis perniagaan di seluruh Pahang termasuk bukan Melayu sudahpun melaksanakan dasar ini dan mempamerkan tulisan jawi di papan tanda premis mereka sejak awal Januari lalu.

“Saya cabar Ahli Parlimen Dap Raub, YB Tengku Zulpuri dan ADUN Dap Ketari, YB Young Syefura Othman menyatakan pendirian berhubung isu ini. Adakah mereka setuju dengan tindakan Chow Yu Hui? “, soalnya.

Hakikatnya jelas beliau lagi Dap semakin dilupakan di Pahang. Wakil rakyat mereka sudah sekian lama hilang dari radar terutama sejak tumbangnya Kerajaan PH pada Februari lalu.

“Kini Dap mahu kembali dilihat relevan, di saat ramai menjangkakan PRU-15 akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Tetapi isu yang dibangkitkan membuktikan Dap benar-benar terdesak untuk meraih perhatian dan sokongan rakyat”, ujarnya. –UMNO ONLINE

Program RM750 juta kredit ePENJANA untuk rakyat Malaysia

Wartawan MalaysiaGazette
MGF16102019_Persidangan-Hari-Membasmi-Kemiskinan-Antarabangsa_09-681x454
Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengumumkan pelancaran program RM750 juta kredit ePENJANA iaitu salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) membantu merancakkan perbelanjaan pengguna di Malaysia.

Di bawah program ini, setiap pemohon yang layak akan mendapat RM50 kredit ePENJANA mulai 31 Julai lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Tiga penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih untuk melaksanakan inisiatif ini ialah Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama aplikasi pengesan kontak COVID-19 MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk memohon kredit, menurut Tengku Zafrul, setiap pemohon mesti memuat turun salah satu dari tiga eDompet tersebut, serta memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Inisiatif ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun.

Setiap pemohon yang layak boleh menebus RM50 kredit ePENJANA daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet terpilih (Boost, GrabPay atau Touch ‘n Go eWallet),” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pemohon yang layak juga akan menerima padanan insentif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk rebat tunai, baucar atau mata ganjaran sepanjang tempoh kempen.

Tempoh memohon RM50 kredit ePENJANA adalah dari 31 Julai hingga 24 September 2020, manakala tarikh akhir penggunaan ePENJANA adalah pada 30 September ini, katanya.

Pemohon disaran memuat turun dan mengemas kini data di dalam aplikasi MySejahtera, manakala peniaga dan peruncit perlu menghubungi penyedianperkhidmatan e-Dompet yang berkenaan, dan mendapatkan kod QR MySejahtera bagi memastikan urus niaga ePENJANA yang lancar di kedai-kedai mereka.

Rakyat juga diingatkan bahawa bagi tujuan pelaksanaan ePENJANA, Kementerian Kewangan hanya mengiktiraf aplikasi MySejahtera, Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet. Pastikan data peribadi hanya dikongsi ndengan aplikasi yang rasmi dan sahih.- MalaysiaGazette

SPR terima notis pembubaran DUN Sabah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam, berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15, kata Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

"Justeru itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian.- Bernama

Syor imarahkan lagi tulisan Jawi, penerbitan buku dwibahasa

Siti Hafidah


Kita boleh buat edisi Rumi, pada masa buat juga buku edisi Jawi

BANGI – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyarankan tulisan Jawi diimarahkan lagi di tempat awam supaya dapat membina sikap penerimaan rakyat terhadap salah satu tulisan bahasa kebangsaan itu.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan turut mengesyorkan penggunaan tulisan Jawi dimulakan di jabatan agama, institusi ataupun agensi kerajaan yang berkaitan agama seperti yang telah dilaksanakan di Johor.

Sambil mengucap tahniah dan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kerana mengumumkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi, beliau berkata, itu titik permulaan yang baik.

“…seperti yang kita harapkan ia menjadi suatu dasar seluruh kerajaan negeri menyambut Hari Jawi pada Hari Jumaat dan perlu ada pengisian,” katanya kepada TV Pertiwi.

Selain itu, Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencadangkan supaya tulisan Jawi diperkenalkan lagi dalam penerbitan buku termasuk permainan riadah seperti Sahibba.

“Tapi yang penting pada saya adalah penerbitan kalau ada edisi Jawi. Dulu pernah ada edisi Rumi edisi Jawi untuk novel dan buku-buku tertentu.

“Di China bagi saya menarik kerana mengikut pengalaman saya bekerja di sana, banyak buku terbitan bentuk dwibahasa iaitu dua tulisan satu bahasa Cina dan satu lagi bahasa Inggeris.

“Oleh itu, di Malaysia kita boleh buat edisi Rumi, buku yang sama ada edisi Jawi. Itu juga dapat mengimarahkan tulisan Jawi. Kos mungkin lebih kerana dua kali ganda namun boleh difikirkan kaedah untuk menampung kos itu,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat 8 Julai.

Tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Pemegang amanah Yayasan Akalbudi terima lebih RM66 juta, kata saksi

Bernama
MGF23062020_ZAHID-MAHKAMAH06-1-681x454
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa firma guaman Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima lebih RM66 juta melalui cek daripada individu dan pelbagai syarikat, antara 2016 hingga 2018.

Akauntan firma guaman itu, V. Sothilechmy, 67, berkata, pemilik Lewis & Co, B. Muralidharan mengarahkannya supaya memasukkan cek ke dalam akaun bank firma guaman itu sebelum memindahkan wang tersebut ke dalam dua akaun simpanan tetap.

“Beberapa pembayaran dilakukan melalui dua akaun simpanan tetap itu antaranya, untuk pembelian dua lot tanah dan bayaran kepada Yayasan Akalbudi,” katanya ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-30 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.

Tetuan Lewis & Co mempunyai dua rakan kongsi iaitu Muralidharan dan V. Premshangar.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fat semasa pemeriksaan utama, sama ada individu dan syarikat yang memberi cek lebih RM66 juta tersebut merupakan klien Lewis & Co, saksi itu menjawab “bukan”.

Lee: Adakah Datuk Seri Zahid klien Lewis & Co?

Sothilechmy: Ya, klien Lewis & Co.

Saksi pendakwaan ke-85 itu juga bersetuju dengan Lee bahawa Yayasan Al-Falah yang dimiliki ahli keluarga Zahid, merupakan klien firma guaman tersebut.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff memberitahu mahkamah bahawa Zahid menyumbang RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah, organisasi yang adiknya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, bagi pembelian dua buah banglo di Country Heights.

Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 10 Ogos ini. –BERNAMA

Ketua Menteri tiada kuasa bubar DUN Sabah – Annuar

Nizam Zain
MGF30072020_SUMBANGAN-WILAYAH-PRIHATIN11-681x454
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meluangkan masa melihat
kawasan yang dinaiki air sewaktu banjir kilat selepas menyampaikan sumbangan
Wilayah PRIHATIN Mangsa Banjir Kilat kepada sebahagian penduduk Kampung
Selayang Lama di Kampung Selayang Lama, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebaliknya berkata, Mohd Shafie hanya mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan institusi itu.

“Datuk Seri Mohd Shafie tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN (Sabah). Dia hanya boleh menasihatkan (TYT) jadi kalau nasihat dia diterima, maka Yang Dipertua Negeri perlu mengeluarkan penyataan secara rasmi,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di Kampung Selayang Lama hari ini.

Awal hari ini, Mohd Shafie dalam sidang media di Kota Kinabalu mendedahkan telah mendapat surat daripada YDP Sabah untuk membubarkan DUN Sabah.

Ia susulan tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman semalam yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bagi membentuk Kerajaan Negeri baharu.

Dalam pada itu, Annuar juga mengingatkan semua pihak agar tidak mudah percaya dan menerima berita mengenai pembubaran DUN Sabah tanpa melalui saluran yang betul.

“Saya fikir ini oleh kerana berita-berita yang kita terima sekarang kena sentiasa berhati-hati. Kita akan menunggu pengumuman-pengumuman yang rasmi, bukan berita-berita takut nantinya tak sahih.

“Keadaan-keadaan sekarang ini pula macam-macam,” katanya.

Kata Annuar lagi, pihaknya hanya menunggu kenyataan rasmi daripada YDP Sabah berhubung pembubaran yang didakwa Mohd Shafie.

“Setakat yang saya tahu, penyataan rasmi belum dikeluarkan. Jadi kita tunggu penyataan yang rasmi tapi daripada segi perundangan, seorang ketua menteri tidak ada kuasa untuk membubarkan DUN Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

Chow Kit tidak pernah mengecewakan

Nizam Zain
MGF30072020_TINJAUAN-MALAM-AIDILADHA06-681x454
Kelihatan seorang wanita tidak melepas peluang untuk membeli barangan dapur
menjelang Aidiladha pada esok hari ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette
di Jalan Raja Boat,Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,

KUALA LUMPUR – Sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam hari ini, pastinya orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyambutnya bersama ahli keluarga, lebih-lebih perayaan lalu terhalang akibat pandemik Covid-19.

Walaupun kerajaan masih membenarkan rakyat melakukan rentas sempadan dan balik kampung sempena hari raya korban, namun masih ramai warga kota tidak balik ke kampung halaman.

Tinjauan MalaysiaGazette di Jalan Chow Kit di sini malam tadi mendapati orang ramai masih mengunjungi kawasan pasar basah itu untuk mencari barang keperluan untuk juadah hari raya walaupun pada saat akhir.

Ayam, daging, serai, kerisik, daun limau purut, pucuk paku, daun palas dan daun kepala antara bahan utama yang menjadi tumpuan pengunjung sekitar ibu negara.

Menurut Abdul Majid Mohd Kassim, 75, dari Taman Melati, pembelian persiapan raya di saat akhir di Chow Kit tidak pernah mengecewakan malah gerai-gerai yang menjual barang keperluan setiap kali perayaan dibuka sehingga lewat pagi.

MGF30072020_TINJAUAN-MALAM-AIDILADHA10-1024x683
Abdul Majid Mohd Kassim

“Bila saya turun malam (pasar) ada baru ada barang-barang itu. Harga pun berpatutan malah lebih murah dari tempat lain.

“Chow Kit adalah syurga sayur-sayuran sebab di tempat lain tak jumpa, lebih-lebih sayur kampung segalanya ada di sini senang didapati,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, malam tadi.

Bagi Adek Rucmaini Uncu Pily, 28, Jalan Chow Kit bukan asing bagi dirinya, apatah lagi ketika musim perayaan menjadi lokasi beli-belah bagi persiapan juadah hari raya.

MGF30072020_TINJAUAN-MALAM-AIDILADHA11-1024x683
Rucmaini Uncu Pily

“Biasanya malam kita beli untuk buat masak esok, dalam pukul 5 pagi bolehlah masak, kalau masak malam ini takut rendang atau lontong itu basi.

“Persiapan juadah di saat akhir itu biasa bagi kita yang duduk di bandar, keesokan pagi baru kita masak. Kalau nak bagi jiran atau saudara, pagi kita masak baru boleh tahan lama sikit,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang warga emas, Shahrial Borhan, 63, dari Ampang, dia akan ke Jalan Chow Kit setiap kali hari raya bukan kerana mahu mencari bahan mentah sebaliknya ingin merasai suasa meriah di situ.

MGF30072020_TINJAUAN-MALAM-AIDILADHA12-1024x683
Shahrizal Borhan bercakap 

“Saya datang cari barang yang tak cukup seperti ayam, tapi saya bawa anak sekali datang ke sini saja berjalan di sini.

“Mana barang dapur yang kurang saya beli laa sikit. Malam ini saya cari ayam dan santan, sebab esok nak buat rendang, tapi pagi kita makan lontong dulu.

“Harga tak murah mana, beli mahal sikit tak apa, apa salah kita bagi unting kepada peniaga di sini,” katanya.

MGF30072020_TINJAUAN-MALAM-AIDILADHA19-1024x683
Abdul Malek Abdul Razak bercakap kepada media ketika
tinjauan lensa Malaysia Gazette menjelang Aidiladha pada
esok hari di Jalan Raja Boat,Kuala Lumpur. foto AFFAN
FAUZI

“Setiap kali berlakunya perayaan besar, perniagaan di sini paling terbaik sekali, urusan niaga bagus, jadi orang ramai senang nak membeli-belah.

“Tapi satu masalah yang saya nampak bertahun lamanya terutamanya kemudahan awam, DBKL dan pihak kerajaan sudah buat terbaik, tapi masih tidak selesa bila kita datang ke sini.

“Memang tidak selesa dari segi jalan kcil dan sempit menyebabkan orang ramai sukar untuk meletakkan kenderaan, selalu jalan ini sesak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Wahai peniaga dalam talian, tolonglah jangan menipu!

' Che Pah '

kurma-681x908

Marhaba… Sejak kebelakangan ini penjualan dalam talian atau online sangat popular sekali. Tak menang tangan pengusaha produk mahupun penggendali khidmat penghantaran barangan melaksanakan tugasan.

Che Pah termasuk antara pelanggan yang begitu setia membuat pembelian melalui online. Pelbagai barangan Che Pah beli.

Semasa arahan PKP dilaksanakan, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja barangan yang Che Pah beli.

Dari barangan makanan, kelengkapan diri sehinggakan baja pokok tahi ayam pun Che Pah beli melalui online. Mudah dan cepat.

Antara barangan yang paling kerap Che Pah beli melalui online termasuklah kurma. Bukan apa , Che Pah ini peminat kurma. Setiap hari Che Pah akan bersarapan dengan kurma dan susu.

Ini menu sarapan pagi yang wajib buat Che Pah selain semangkuk bijirin oat. Dah tua tua ini kena banyakkan pengambilan serat, katanya.

Alhamdulillah sepanjang Che Pah membuat pembelian melalui online, tiada masalah yang Che Pah hadapi.

Sehinggalah baru baru ini Che Pah menghadapi sedikit kerumitan dengan tingkah seorang penjual kurma melalui sebuah pasar raya online yang terkenal di dalam negara kita ini.

Segalanya bermula apabila Che Pah berhasrat untuk membeli kurma yang sudah kehabisan di dalam peti ais.

Che Pah pun mula menggeledah laman jualan online terkenal ini. Che Pah kemudiannya tertarik dengan sejenis kurma serta harga yang ditawarkan.

Che Pah ini penggemar kurma rotab. Kurma ini lembut dan basah serta sesuai untuk dibuat air nabeez. Air nabeez ini ialah air rendaman kurma semalaman.

Ia bagus untuk sistem pencernaan kita. Kadang kala Che Pah campurkan beberapa biji kurma rotab ini ke dalam segelas susu kambing.

Ini biasa Che Pah lakukan apabila terasa lapar. Dari kita mengambil makanan yang tidak tentu khasiat , lebih baik kita ambil makanan yang tinggi kandungan vitaminnya.

Jadi apabila melihatkan harga kurma rotab yang boleh dikatakan jauh lebih murah dari penjual lain, Che Pah terus membuat tempahan.

Kali ini Che Pah ambil keputusan untuk membeli satu dozen terus. Dalam hati berkata, tidak perlulah Che Pah hendak ulang membeli. Jimat duit pos.

Alhamdulillah tidak berapa lama selepas membuat tempahan, penjual kurma terus menjawap tempahan Che Pah serta mengucapkan terima kasih atas pembelian Che Pah..

Dia menjelaskan akan membuat penghantaran secepat mungkin.

Che Pah sebagai pembeli tentu rasa seronok dengan kepantasan menjawap serta kemesraan penjual seperti ini.

Selang dua hari, kurma yang Che Pah tempah itu pun sampai. Wah, ini sudah bagus, kata hati Che Pah. Pastinya penjual ini boleh dipercayai, getus hati Che Pah.

Tanpa menunggu lagi, Che Pah terus membuka kotak tersebut lantas mengeluarkan sekotak kurma untuk Che Pah lihat kualiti kurma.

Secara zahirnya, Che Pah lihat kurma masih dalam keadaan baik. Perkara kedua Che Pah buat ialah memeriksa tarikh luputnya.

Alangkah terperanjatnya Che Pah kala terpandang tarikh luput yang terpampang pada kotak kurma.. Tarikh luputnya ialah pada 1.8.2020. Che Pah menggosok mata beberapa kali.

Manakan tidak terperanjat. Che Pah terima kurma kurma tepat pada 17.7.2020.Ini bermakna Che Pah hanya ada masa kurang dua minggu untuk menghabiskan satu dozen kurma.

Mana mungkin Che Pah habiskan kurma sebanyak itu. Takkan nak masak asam pedas masuk kurma, kari kurma atau mee bandung kurma kot demi nak menghabiskan satu dozen kurma sebelum tarikh luputnya.

Che Pah lantas mengambil sebiji kurma. Kurma sudah kering dan kecut. Ia sepatutnya basah dan lembut. Maklum, ia mula diproses pada 1.8.2018.

Bagi Che Pah ini sebuah kes penganiayaan serta penipuan terhadap pelanggan. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan.

Lantas Che Pah terus menghantar mesej kepada penjual. Tidak berapa lama kemudian dia menjawab.

Malangnya tiada langsung permohonan maaf seperti yang Che Pah harap. Penjual hanya men jelaskan bahawa itu kesalahan pihak kilang dan bukan kealpaan dia.

Penjual kurma itu juga menjelaskan itulah sebab mengapa dia memberi harga yang murah kepada kurma yang dijualnya

Kemudian dia meminta Che Pah meletak kurma tersebut di dalam ruang sejuk beku agar ia lebih tahan lama.

Adakah ini jawapan yang diharapkan oleh seorang pembeli seperti Che Pah?

Che Pah sedikit hampa dengan jawapan penjual kurma ini. Namun untuk marah itu bukan gaya Che Pah. Che Pah lebih menjurus kepada sikap menasihati. Apatah lagi penjual itu seorang Melayu/Muslim.

Lantas Che Pah membalas mesej penjual tersebut. Che Pah jelaskan sesuatu yang nyata namun mungkin sedikit pedih sehingga menusuk ke jiwa.

Che Pah jelaskan kepada dia, sebagai usahawan Islam perkara pertama yang wajib ada ialah sikap jujur.

Jika mahu menawarkan harga murah bagi dagangan kita, kita harus menyebut mengapa kita berbuat demikian. Adakah kerana ia sudah sedikit rosak pembungkusannya atau menghampiri tarikh luput.

Sertakan sebab. Jadi pembeli tahu mengapa dan terpulang kepada pembeli untuk membuat pertimbangan.

Jika seorang penjual menyembunyikan fakta ini semata mata kerana takut rugi dan barang tidak laku dek tarikh luput yang semakin dekat, itu bukan satu perbuatan yang jujur.

Itu dikatakan sebagai menipu pelanggan. Anda bukan sahaja akan kehilangan sebuah kepercayaan dari pelanggan, malah hilang keberkatan dalam mencari rezeki.

Apabila diperlakukan sebegini, Pastinya Che Pah sudah hilang kepercayaan kepada dia. Dia sudah rugi kerana hilang seorang pelanggan.

Che Pah masih ingat pesan nenek yang Che Pah panggil Emak. Emak selalu menasihati Che Pah. Kata Emak, dalam hidup ini kejarlah berkat dan bukannya kaya.

Jika berkat, duit 10sen boleh jadi RM1 kata Emak. Dek kerana berkat nilainya boleh jadi berganda ganda.

Salah satu cara mencari rezeki yang berkat ialah dengan bersikap jujur dan amanah. Jauhkan dari menipu dalam berniaga. Kaya macam mana pun, jika tak berkat duit akan berada sekejap saja dalam kantung kita selepas itu ia akan berlalu pergi.

Akhirnya Che Pah ambil keputusan untuk memulangkan semula kurma tersebut.

Prosedurnya bukan mudah. Walau pihak penggendali jualan online ini telah menyediakan kemudahan pos secara percuma menggunakan khidmat Poslaju, ia masih merenyahkan kita sebagai pembeli.

Apatah lagi kita hanya diberi masa tiga hari sahaja untuk menyelesaikan proses penghantaran semula sebelum duit kita dipersetujui oleh penjual untuk dipulangkan semula.

Setelah wang Che Pah dikembalikan, penjual kurma cuba mengambil hati dengan menghantar voucher potongan harga untuk membeli produk jualan mereka.

Awak rasa Che Pah ada masa untuk membeli lagi dengan mereka? Setelah kepercayaan Che Pah disiat siat dan harapan tinggal harapan?

Ini nasihat ikhlas Che Pah buat usahawan terutama Islam/Melayu. Tolonglah bersikap jujur, amanah serta bertanggungjawab dalam berniaga.

Ikuti contoh Rasulullah SAW. Saidatina Khadijah terpikat dengan Rasulullah bukan kerana ketampanan Rasulullah semata mata.

Akan tetapi Sayidatina Khadijah sebenarnya terpesona dengan kejujuran yang terpancar dalam diri anak muda berusia 25 tahun ini Ini kerana kejujuran Baginda dalam menguruskan perniagaannya.

Teladan ada di depan kita. Masihkah kita mahu berbohong dalam berniaga? Rugi sekotak kurma tak terbanding rasanya dengan kehilangan kepercayaan seorang pelanggan.

Juga mampukah kita nanti menjawap persoalan Ilahi di padang timbang tara nanti? Mahu berbohong lagi waktu itu? Maaf.. Mulut waktu itu telah luput tarikhnya. Anggota lain pula yang akan berkuasa. Mengambil tempat dan berkata benar semata mata.

Wahai usahawan Islam/Melayu bangkitlah dengan sifat jujur dalam berniaga. Usah difikirkan laba semata mata. Laba itu sekadar untuk dunia.

Pinggirkan rasa tamak untuk kaya. Kaya dalam menipu tiada memberi makna. Bakal kusut hidup akhirat dan dunia.

Sebagai pembeli Che Pah sudah menjalankan tanggung jawab dengan menasihati. Andai waktu itu penjual masih berdegil, maka ke Tribunal Pengguna jawapnya bertemu.

Khamis, 30 Julai 2020

Rayhan Kabir mohon maaf pada seluruh rakyat Malaysia

http://wowberita.my

PUTRAJAYA – Lelaki Bangladesh yang ditahan pihak berkuasa selepas mendakwa kerajaan memberi layanan buruk kepada migran ketika sekatan pergerakan Covid-19 dalam dokumentari Al Jazeera, hari ini memohon maaf kepada kerajaan atas kenyataannya yang mendakwa diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bercakap kepada wartawan selepas menemui Md Rayhan Kabir, peguam Selvarajaa Chinniah dan Sumitha Shaanthini berkata komen itu hanyalah pandangan peribadi anak guam mereka.

Selvarajaa berkata, Rayhan sedih melihat rakannya “ditahan dan dirantai” dalam serbuan ke atas PATI Mei lalu.

“Dia tidak berniat mendakwa pihak penguatkuasa. Dia ingin pulang untuk bersama keluarganya,” katanya sambil menambah polis sudah mengambil keterangan Rayhan.

Selvarajaa berkata, Rayhan memaklumkan dia dilayan dengan baik oleh pihak berkuasa sepanjang penahanannya.

“Dia diberikan layan sempurna dengan makanan baik. Katanya dia tiada aduan mengenainya.

“Kami akan menulis surat secara rasmi kepada Jabatan Imigresen mengenai tindakan lanjut mereka dan bila mereka akan menghantarnya pulang,” katanya lagi.

Rayhan ketika ditemubual dalam sebuah dokumentari terbitan Al Jazeera menerusi program 101 East telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

“Mereka pasang perangkap untuk kami,” katanya dalam laporan bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

Pada 7 Julai lalu, Jabatan Imigresen menyiarkan butiran peribadi Rayhan, selepas gagal mengesannya untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Polis turut memulakan siasatan hasutan ke atas 6 penerbit, juruvideo dan wartawan dokumentari itu yang dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman awal bulan ini.

‘Saya tak buat apa-apa kesalahan pun’ – Md Rayhan

Terdahulu, Md Rayhan menafikan dia melakukan kesalahan jenayah sewaktu ditemubual Al Jazeera berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia baru-baru ini.

Menurut laporan akhbar The Daily Star di Bangladesh, lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun itu memberitahu dia hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap PATI menerusi program terbitan stesen televisyen antarabangsa itu.

“Saya hanya mahu maruah negara dan migran seperti saya terjamin. Saya yakin semua pendatang dan Bangladesh akan bersama saya dalam isu ini,” katanya dipetik sebagai berkata.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan Md Rayhan yang diburu pihaknya sebelum ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut mengesahkan bahawa Md Rayhan akan diusir keluar dan disenaraihitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Md Rayhan menjadi buruan selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes koronavirus (Covid-19) melibatkan warga asing.

Dakwaan itu diterbitkan menerusi sebuah dokumentari oleh Al Jazeera pada 3 Julai lalu dan susulan itu polis turut menyiasat mereka yang terlibat dalam penghasilan dan penyiaran dokumentari tersebut.
PEMBERITAHUAN:

BERITA-BERITA POLITIK DIPINDAHKAN KE DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH

Siapa tamak, siapa rugi

Di Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan dan pembangkang lain, kini wujudnya sekumpulan ahli politik yang tamak dan tergesa-gesa yang boleh merugikan gabungan masing-masing.

Di sebelah PN, segelintir ahli Umno mula bersikap keras terhadap PPBM dan mendesak pilihan raya umum diadakan segera. Mengikut sifir politik mereka, PPBM tidak berhak mendapat kerusi pilihan raya kerana semuanya kerusi tradisi Umno.

Jika begitu, apakah Umno yakin menang jika PN berpecah dan pertandingan 3 penjuru berlaku serentak di semua kerusi Umno? Apa faedahnya untuk Umno jika PN berpecah? Sesungguhnya, tanpa PPBM, Umno masih akan berada di kerusi pembangkang. Hakikatnya, PPBM ada jasanya kepada Umno, meskipun ia lahir daripada pemecatan ketika zaman Najib Razak.

Pengalaman perit menjadi pembangkang selama 22 bulan sepatutnya menginsafkan Umno. Formula kalah pilihan raya ini banyak – antaranya ialah sikap tamak, angkuh, enggan berkompromi, menganggap diri kuat serta mengharapkan rakyat lebih membenci lawan daripada menguatkan diri sendiri.

Keengganan bekerjasama dengan PPBM yang mempunyai perdana menteri yang amat disukai rakyat adalah jalan mencari nahas.

Bagaimana pula keadaannya di PH Plus dan rakan-rakannya? Perebutan jawatan perdana menteri yang menjadi punca utama kejatuhan kerajaan PH kembali menjadi punca retaknya kerjasama pembangkang.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kini tidak lagi boleh menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM. Sikap yang sama turut dipamerkan Mahathir terhadap Anwar, di mana sebaliknya Mahathir bersetuju untuk menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon PM berbanding Anwar.

Kenyataan bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng yang mengesahkan kenyataan Mahathir bahawa idea mencalonkan Shafie sebagai calon PM datangnya daripada Lim adalah tamparan hebat kepada Anwar sebagai ketua Pakatan Harapan.

Ini bererti 2 komponen parti PH tidak yakin Anwar mampu mendapat majoriti di Parlimen berbanding Shafie. Peliknya bagaimana pula Amanah dan DAP dapat yakin Shafie mampu mendapat majoriti di Parlimen tanpa sokongan Anwar dan PKR.

Sifirnya mudah bagi PKR dan Anwar. Sebagai parti yang memenangi paling banyak kerusi Parlimen, sepatutnya jawatan PM datangnya daripada individu daripada parti itu.

Tapi, masalahnya ialah ketaksuban terhadap jawatan calon PM menyebabkan ia seolah-olah milik hak peribadi seorang individu dan parti selepas jatuhnya Mahathir. Inilah menjadi titik kebuntuan untuk menyelesaikan masalah tamak dan ego berlebihan dalam kalangan pembangkang untuk mencapai satu kata sepakat.

Kedua-dua gabungan politik nampaknya tidak stabil kerana sikap kedua-dua parti terbesar dalam gabungan itu. Siapa yang tidak dapat mengawal tamak di hati akan menyebabkan gabungan politik itu terlerai lalu merugikan diri sendiri pada pilihan raya umum ke 15 nanti.

Apakah Umno ataupun PKR yang akan rugi besar pada akhirnya?

Menteri agama ingatkan umat Islam patuh SOP, elak kluster Aidiladha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri
berkata beliau tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi.

KUALA NERUS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak wujudnya kluster ibadah berkaitan Aidiladha.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu berlaku penularan Covid-19 disebabkan ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP sepanjang Aidiladha, yang berisiko mewujudkan sebarang kluster berkaitan ibadah seperti kluster solat atau kluster ibadah korban.

“Kita telah mengeluarkan SOP lengkap ibadah korban yang dimuktamadkan dan peraturan yang terperinci itu boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian.

“Isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya yang beragama Islam….oleh itu, jaga perkara ini (patuhi SOP). Kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Cuci Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah Kubang Lembik, hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan mengetatkan semula SOP di masjid berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam negara sejak akhir-akhir ini, beliau berkata perkara itu akan dibuat mengikut penilaian semasa.

Wee: Kos RTS RM10 bilion, Malaysia biaya 39%, Singapura 61%

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, pembinaan RTS akan dibuat dalam
2 fasa, iaitu fasa pertama dari awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi pembinaan
atau pembangunan struktur sivil.

JOHOR BAHRU: Kos keseluruhan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di sini dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah itu, 61% daripadanya dibiayai oleh kerajaan Singapura, manakala 39% lagi ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

“Berdasarkan kepada perjanjian Singapura-Malaysia, nisbah (kos) ialah 61:39, lebih kurang jumlahnya ialah RM10 bilion. Singapura akan membiayai 60 hingga 61%, manakala pihak kita pula ialah 39% dengan kos RM3.716 bilion.

“Maka kos RM10 bilion itu ialah untuk jarak sepanjang 4 kilometer. Jarak Malaysia ialah kira-kira 2.7 km dan 1.3 km untuk Singapura,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wee juga berkata, pembinaan RTS berkenaan akan dilakukan dalam 2 fasa iaitu bahagian pertama pada awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi fasa pembinaan atau pembangunan struktur sivil.

Sementara itu, fasa 2 akan bermula awal 2025 hingga akhir 2026, melibatkan pembinaan sistem seperti isyarat, “rolling stock”, telekomunikasi, dan pengujian sistem.

Ketika ditanya mengenai keperluan mempunyai depoh Wadi Hana di Johor Bahru, Wee berkata, depoh itu diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan RTS yang mengguna pakai sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kerana Singapura menggunakan sistem berlainan, iaitu Mass Rapid System (MRT).

“Perlunya ada depoh di Wadi Hana ialah kerana kita menggunakan sistem LRT. Lagipun, Prasarana mempunyai pengalaman mengendalikan sistem landasan LRT.

“Kita perlukan depoh penyelenggaraan, tempat untuk kita menyelenggara dan sebab itulah kita pilih Wadi Hana. Bagaimanapun saiz tanah untuk depoh berkenaan belum dimuktamadkan lagi kerana kita perlu berbincang dengan kerajaan negeri.

“Tetapi setakat ini, kita mengenal pasti 40 lot (tanah). Saiz sebenar akan dimaklumkan secepat mungkin,” katanya.

Kolej matrikulasi, IPG dibuka semula pada Ogos dan Sept

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi institut pendidikan
guru yang akan dibuka bermula September ini, ia membabitkan pendaftaran 5,000
pelajar baru dan kemasukan 8,000 pelajar sedia ada.

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju membuka semula kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) pada Ogos dan September ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi kolej matrikulasi, pendaftaran bermula pada 3 hingga 7 Ogos membabitkan 30,000 pelajar di 15 kampus.

Katanya, sesi pembelajaran pula hanya bermula seminggu selepas pendaftaran selesai.

“Tempoh yang diberikan itu adalah bagi mengelakkan kaunter pendaftaran diserbu serentak,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, bagi IPG yang akan dibuka bermula September ini, ia membabitkan pendaftaran 5,000 pelajar baru dan kemasukan 8,000 pelajar sedia ada.

“Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP telah meneliti dan bersetuju dengan pembentangan Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan pembukaan semula kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).

“Pembukaan semula kolej matrikulasi dan IPG tertakluk kepada SOP dan garis panduan yang dipersetujui. Antaranya, penjarakan sosial, keselamatan dan kebersihan diri serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Sementara itu, dalam keghairahan umat Islam menyambut Hari Raya Korban, Ismail mengingatkan bahawa setiap individu memainkan peranan penting sebagai petugas hadapan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

“Apabila di kampung halaman, terutamanya di tempat-tempat awam yang sesak, pastikan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka dijadikan amalan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan ibadat korban diadakan di masjid, surau dan kawasan yang dikenal pasti, namun tertakluk kepada SOP yang ditetapkan, termasuk jumlah kehadiran dihadkan kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

Jamuan makan di rumah sempena Hari Raya dihadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa.

KPM teliti keperluan tutup sekolah di Sabah, kata Ismail

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan sedang meneliti keperluan untuk menutup semula sesi persekolahan susulan kes baru Covid-19 membabitkan 2 murid di sebuah sekolah rendah di Sabah, Isnin lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan mereka sedang meneliti sama ada hendak benarkan sesi persekolahan untuk semua atau hanya dibuka kepada pelajar mengambil peperiksaan utama sahaja,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kerajaan akan menutup semula sesi persekolahan berikutan perkembangan baru di Sabah yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) semalam.

JKNS mengesahkan 2 murid berkenaan positif Covid-19 pada Isnin. Rakan sekelas dan keluarga pesakit juga diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail berkata, penguatkuasaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat sesak dan pengangkutan awam yang bermula 1 Ogos depan bergantung kepada budi bicara polis.

“Bila kata wajib, kalau langgar peraturan memang kena tindakan. Bagaimanapun dari segi pelaksanaan ia bergantung kepada budi bicara polis…lazimnya kalau dulu sekiranya di peringkat awal pesalah hanya diberi nasihat dan ditegur.

“Sekarang terpulang kepada polis dan kesalahan itu diwartakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) yang boleh dikompaun,” katanya.

Pilihan raya cara terbaik selesai kebuntuan di Sabah, kata penganalisis

PETALING JAYA: Tiga penganalisis menyambut baik Yang di-Pertua Sabah bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri, langkah yang boleh membuka laluan kepada pilihan raya kilat di negeri itu.

Awang Azman Awang Pawi, Azmi Hassan, dan James Chin berkata ia cara terbaik untuk selesaikan kebuntuan politik antara Ketua Menteri Shafie Apdal dan Musa Aman.

Bagaimanapun, Lee Kuok Tiung di Universiti Malaysia Sabah tidak gemar krisis politik di Sabah diselesaikan melalui pilihan raya kilat kerana peningkatan kes Covid-19.

Lee beritahu soal siapa memimpin kerajaan negeri harus diselesaikan seperti di peringkat persekutuan, yang mana Agong menemubual setiap seorang wakil rakyat bagi menentukan siapa yang benar-benar menikmati sokongan majoriti.

“Sekiranya betul Shafie hilang sokongan majoriti, beliau perlu melepaskan jawatan ketua menteri. Sekarang bukan masanya untuk pilihan raya,” katanya.

“Satu perkara yang bagus adalah Dewan Undangan Negeri Sabah ketika ini ada 73 kerusi dan bukan lagi 60 seperti pada pilihan raya umum lepas. Ini bermakna akan ada pemenang yang nyata,” katanya.

Buat masa sekarang, Perikatan Nasional ada kelebihan berbanding Pakatan Harapan kerana Warisan dan PKR berselisih tentang pilihan perdana menteri pembangkang, katanya.

Bagaimanapun, Azmi dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju dengan pilihan raya baru.

“Sekarang ini, Shafie atau Musa tiada majoriti yang jelas. Siapa pun yang jadi ketua menteri, akan sentiasa ada kemungkinan penghijrahan boleh berlaku,” katanya.

“Ketidakstabilan di Sabah mungkin sekali berterusan dan sebab itu pilihan raya baru pilihan terbaik, terutama bagi Shafie sekiranya beliau hilang sokongan majoriti.”

Awang Azman berkata perkembangan di Sabah harus membuka mata Shafie untuk tumpu kepada negeri dan bukannya jawatan perdana menteri.

“Penghijrahan wakil rakyat bukan perkara baru dan saya percaya ia diperkatakan sejak Musa dibersihkan daripada pertuduhan rasuah,” katanya.

“Saya fikir Shafie sudah memperkecilkan Musa dan Perikatan Nasional di Sabah dan barangkali tak menjangkakan langkah itu.”

Beliau berkata pilihan raya cara terbaik untuk selesaikan kebuntuan itum tetapi ia membebankan dan berisiko kepada orang ramai kerana pandemik Covid-19, terutama ketika ekonomi masih sedang bergelut.

Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania pula berkata Yang di-Pertua Sabah membuat keputusan yang betul apabila bersetuju untuk membubarkan DUN kerana penting untuk menyerahkan pilihan kepada rakyat.

“Sebelum ini gabenor menerima angkat sumpah seseorang selepas berpuas hati dengan akuan berkanun, sedangkan ia sepatutnya menerusi pilihan raya,” katanya.

Beliau menambah masih terlalu awal untuk mengatakan siapa akan menang pilihan raya kerana ada kemungkinan wakil rakyat yang menyokong Musa semalam akan berpatah balik menyokong Shafie.

“Apa yang jelas adalah Musa akan jadi isu utama. Hakikat bahawa pertuduhan rasuah tiba-tiba digugurkan, saya fikir Shafie akan gunakan perkara itu.”

Had pekerja asing kepada 3 sektor jejas operasi industri, kata persekutuan majikan

twitter sharing button
whatsapp sharing button
sharethis sharing button
Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, sektor yang tidak
mengambil pekerja asing akan menghadapi kekurangan tenaga kerja yang
kritikal yang akan menjejaskan operasi mereka.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, keputusan kerajaan untuk mengehadkan pekerja asing kepada 3 sektor, iaitu pembinaan, pertanian dan perladangan akan menjejaskan operasi industri di sektor lain yang berusaha keras untuk pulih daripada perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, sektor yang tidak mengambil pekerja asing akan menghadapi kekurangan tenaga kerja yang kritikal yang akan menjejaskan operasi mereka.

“Kerajaan tidak membincangkan perkara yang melibatkan perubahan dasar dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum mengumumkannya di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan memutuskan untuk membenarkan pekerja asing bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan perladangan, manakala pekerjaan di sektor lain harus diisi oleh pekerja tempatan.

Bagaimanapun MEF berkata, kurang daripada 42% (837,800) bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan perladangan daripada 2 juta pekerja asing yang berdaftar dengan selebihnya bekerja dalam sektor pembuatan (sekitar 700,000), perkhidmatan (sekitar 309,000) dan pekerja domestik (kira-kira130,000).

Shamsuddin berkata, persoalan utama yang harus dijawab oleh kerajaan adalah adakah rakyat tempatan yang menganggur bersedia mengambil pekerjaan tersebut setelah pekerja asing daripada sektor ekonomi lain dihantar pulang.

“Semua orang tahu bahawa pekerja asing hanya dibenarkan diambil bekerja setelah majikan membuktikan bahawa tidak ada pekerja tempatan yang tersedia untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, penghapusan pekerja asing mungkin boleh dilakukan secara berperingkat dan sekiranya rakyat tempatan bersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang diisi pekerja asing sebelum ini.

“Tetapi ia adalah sesuatu yang mustahil untuk mengharapkan rakyat tempatan mengisi jawatan kosong yang diisi pekerja asing sebelum ini pada kadar yang pantas,” katanya.

Siapa lagi bersalah selain Najib?

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad


Heret kemelut kehakiman negara ke kancah eksekutif perlu diubah

1. APABILA Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman bersalah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn. Bhd, pelbagai reaksi dapat diperhatikan dari banyak pihak.

2. Mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, Hakim menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta (lima kali ganda nilai suapan RM42juta) dan beliau perlu menjalani semua hukuman ini jika rayuan beliau di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak nanti.

3. Seluruh rakyat perlu menghormati keputusan mahkamah ini walau apa pun pendirian peribadi dan kecenderungan politik masing-masing. Betapa banyak sekalipun keputusan kontroversi yang telah dibuat mahkamah sebelum ini, institusi kehakiman yang bebas ini perlu terus dihormati dan diperkasakan

4. Rakyat bukan hakim negara. Malaysia adalah negara berdaulat yang dibina atas kerangka dan undang-undang yang amat baik berdasarkan sejarah dan identiti asal tanah bertuah ini

5. Kerangka negara yang menentukan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu direalisasikan dengan baik dan berhati-hati.

6. Pengalaman panjang politik negara menunjukkan kerangka ini terkadang tidak dihormati, termasuk oleh negarawan ulung yang pernah memimpin negara. Ini perlu diperbaiki oleh kepimpinan baru.

7. Selain itu, mengheret kemelut kehakiman negara ke kancah eksekutif (yang melibatkan Perdana Menteri dan jemaah menteri) juga adalah satu budaya tidak sihat yang perlu diubah. Apatah lagi jika ia turut merebak kepada pertelingkahan antara parti politk dan pakatan politik yang tertentu.

8. Setelah hampir 63 tahun merdeka, kita sepatutnya sudah matang dalam berpolitik dan tidak berpaut pada mana-mana individu pemimpin yang tertentu dalam menentukan perjuangan serta agenda negara, apatah lagi jika pemimpin tersebut telah terpalit dengan isu rasuah (sama ada dibicarakan mahkamah atau tidak).

9. Kita juga tidak sewajarnya menggadaikan masa depan negara kepada para pimpinan dan pengikut parti politik yang seakan seperti semut, berkerumun mengelilingi gula (ganjaran material dan kedudukan/status) secara membabi buta sehingga mengenepikan agenda pembangunan tamadun, kelestarian ekonomi dan kebajikan rakyat yang jauh lebih penting.

10. Semua kefahaman ini hanya dapat direalisasikan oleh golongan pejuang dan pemimpin negara berwajah baharu yang berintegriti tinggi dan berwawasan jauh. Paling penting, mereka ini amat berani untuk keluar dari bayang-bayang pemimpin negara yang telah lama, tua dan telah tamat tarikh luput.

Shafie Apdal mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah

fazleensafina


Sidang media bakal diadakan ada kaitan dengan Musa Aman

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin selama kira-kira setengah jam di Istana Negeri, di sini, pagi ini.

Kira-kira lima kenderaan dengan satu daripadanya mempunyai lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) mengiringi kenderaan Mohd Shafie, masuk ke Istana Negeri melalui pintu di Padang Merdeka, pada kira-kira pukul 8.20 pagi, dan mereka dilihat keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan dijadual mengadakan sidang media 10 pagi ini di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Sidang media berkenaan difahamkan antara lain mempunyai kaitan dengan dakwaan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman semalam, yang beliau telah mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Musa dalam sidang medianya itu mendakwa telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti di negeri itu, namun beliau tidak memberitahu jumlah majoriti mudah yang dimilikinya.

Sementara itu tinjauan media mendapati, semua laluan pintu masuk ke Istana Negeri dikawal ketat oleh pihak keselamatan, dengan kedua-dua laluan ke Istana Negeri iaitu di bulatan Karamunsing serta Padang Merdeka ditutup, dan pengamal media tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan. -Bernama

DUN Sabah bubar: Shafie Apdal

fazleensafina


Beri laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan pada sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Terdahulu, Mohd Shafie mengadap Tun Juhar di Istana Negeri di sini dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 8.25 pagi. -Bernama

Patuhi SOP, elak kluster ibadah Aidiladha: Menteri Agama

fazleensafina


SOP akan diketatkan semula di masjid ikut penilaian semasa

KUALA NERUS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak wujudnya kluster ibadah berkaitan Aidiladha.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu berlakunya penularan COVID-19 disebabkan ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP sepanjang Aidiladha, yang berisiko mewujudkan sebarang kluster berkaitan ibadah seperti kluster solat atau kluster ibadah korban.

“Kita telah mengeluarkan SOP lengkap ibadah korban yang telah dimuktamadkan dan peraturan yang terperinci itu boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian.

“Isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya yang beragama Islam….oleh kerana itu, jaga perkara ini (patuhi SOP). Kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Cuci Cuci dan Musa’adah Pasca COVID-19 Terengganu di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah Kubang Lembik, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan mengetatkan semula SOP di masjid berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam negara sejak akhir-akhir ini, beliau berkata, perkara itu akan dibuat mengikut penilaian semasa. -Bernama

Dong Zong takkan berdiam diri isu iktiraf UEC

Athirah Huda Zalhe


Mahu jumpa KPM untuk tambah peruntukan sekolah vernakular

BANGI – Enggan mengikut gesaan Hua Zong, pertubuhan radikal Cina, Dong Zong bertegas untuk tetap konsisten dengan pendirian mereka berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Sebelum ini, Pengerusi Terhormat Hua Zong, Tan Sri Lim Huah Leong meminta semua pemimpin pertubuhan Cina ‘berdiam diri’ dalam beberapa isu termasuklah berbincang secara terbuka mengenai UEC.

Huah Leong dilaporkan berkata, situasi politik semasa tidak stabil dan jika pemimpin pertubuhan Cina berterusan meminta pengiktirafan UEC, mereka akan terjerumus ke dalam perangkap.

Tidak senada dengan cara Hua Zong, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim menegaskan semua pertubuhan Cina konsisten dalam pendirian mereka untuk mendapatkan pengiktirafan UEC, namun melalui pendekatan yang lebih lembut.

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Orientaldaily, Tai Kim turut berharap supaya kerajaan menambah peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan merancang berhubung terus dengan Kementerian Pendidikan (KPM) mengeni perkara itu.

Katanya, Dong Zong akan menyerahkan memorandum supaya peruntukan untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan SJKC dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, dengan mengekalkan RM50 juta atau menambah jumlah itu.

“(Kita) sama sekali tidak akan membiarkan pelajar SMPC (Sekolah Menengah Persendirian Cina) berhenti sekolah disebabkan masalah ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing berkata, pihaknya sama sekali tidak akan membiarkan pelajar SMPC berhenti sekolah kerana masalah kewangan.

Yew Sing mendakwa bimbang kesan pandemik COVID-19 menyebabkan pelajar berhenti sekolah kerana tidak mampu membayar yuran dan dana SMPC juga tidak mencukupi.

Sebelum ini, Oriental Daily turut melaporkan melaporkan tujuh resolusi yang diluluskan dalam Mesyuarat Agong Dong Zong, di mana antaranya menuntut tulisan Jawi dilaksanakan seiring dengan pengenalan seni kaligrafi kaum lain.

Manakala, enam lagi resolusi lain yang diluluskan adalah mengenai semakan semula Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan serta penyaluran peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.

Pertubuhan pendesak itu turut menuntut kerajaan menyegerakan pengiktirafan UEC, mengembalikan status perundangan SMJK dan pengecualian cukai tambahan ke atas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pendidikan persendirian.

Rabu, 29 Julai 2020

PEMBERITAHUAN:

BERITA-BERITA POLITIK DIPINDAHKAN KE DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH

Guna pelitup muka hanya di tempat awam yang sesak – Noor Hisham

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF21072020_PC-HARIAN-COVID1910-681x454
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Penggunaan pelitup muka secara mandatori bermula 1 Ogos ini adalah untuk kawasan awam yang sesak serta tidak dapat dipratikkan penjarakan sosialnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peraturan berkenaan yang sudah dilaksanakan di dalam pengangkutan awam, kini akan dikuatkuasakan untuk mereka yang sering mengunjungi kawasan awam yang sesak.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tempat-tempat awam yang sesak itu di mana penggunaan topeng muka adalah wajib.

“Sekiranya anda berjalan sendiri, tidak perlulah memakai topeng muka.

“Tapi jika individu itu berada di tempat umum dan tempat itu sesak dan jarak sosial tidak dapat ditentukan, penggunaan topeng muka adalah wajib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Libat Urus Media Bersama Ketua Pengarah Kesihatan: Kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia Dalam Menangani Pandemik Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan pelitup muka secara wajib di kawasan tumpuan awam mulai 1 Ogos.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila memberitahu, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, pada mulanya kerajaan cuba untuk mengesyorkan penggunaan pelitup muka kepada semua orang sejurus sahaja mereka keluar dari rumah.

“Bagaimanapun, ini mungkin sukar untuk dilakukan oleh yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai bekalan pelitup muka yang mencukupi.

“Jadi, sekarang kita sedang meneliti bagaimana kita dapat membekalkan topeng jenis kain kepada mereka kerana pada masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengatakan bahawa pengguna topeng muka jenis kain adalah selamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Siasatan kes conteng mural selesai dalam masa terdekat – Mazlan

Khairuddin Mohd Amin
MGF29072020_PERASMIAN-IPD-SENTUL29-681x454
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bersama Ketua Polis Kuala
Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim meluangkan masa melawat tapak pameran
pada Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di IPD Sentul, Kuala Lumpur.
foto AFFAN FAUZI,

KUALA LUMPUR – Siasatan kes menconteng mural yang memaparkan wajah pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Shah Alam dijangka siap tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis memerlukan sedikit masa lagi untuk menyeleraskan beberapa perkara tambahan dalam melengkapkan kertas siasatan tersebut.

“Perkembangan terkini siasatan conteng mural kita telah mendapat beberapa petunjuk mendorong kepada bukti dalam siasatan kes namun saya tak akan dedahkan di sini, Jabatan Siasatan sedang mengendalikannya” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Turut dihadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Ditanya sama ada identiti suspek sudah dikenalpasti polis, Mazlan Mansor berkata, identiti suspek telah dikenalpasti walaupun belum disahkan 100 peratus, namun risikan dan hasil maklumat siasatan boleh ditentukan polis.

“Saya tak boleh dedahkan butirannya dan mereka yang terlibat belum boleh ditentukan sehingga siasatan polis selesai.

“Selain itu berapa banyak keterangan individu dirakam juga tidak boleh kongsi kepada umum kerana terlalu teknikal malah saban hari keterangan individu akan bertambah dalam siasatan ini.

“Lagipun apa yang tersirat dalam siasatan kes ini akan disiasat lanjut dan sekiranya ada pendakwaan kita akan dedahkan ketika pertuduhan dibuat di mahkamah nanti,” tegasnya.

Mazlan turut mengesahkan setakat ini satu kertas siasatan dibuka dalam kes conteng mural walaupun beberapa laporan polis diterima pihaknya.

“Saya rasa ada beberapa laporan polis dibuat tapi ia tak relevan kerana apa yang penting ialah kertas siasatan yang telah dibuka.

“Berapa banyak laporan polis yang diterima pun ia bersangkut dengan satu kertas siasatan sahaja dan ia memadai untuk kita laksanakan siasatan,” ujarnya.