RAUB – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal membidas dan kesal dengan tindakan biadab ADUN Tras dari Dap, Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang bagi mewajibkan penggunaan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di Pahang.
Tambah keterlaluan tegasnya apabila Chow Yu Hui menuduh Kerajaan Negeri Pahang memaksa pemilik perniagaan, NGO atau mana-mana pihak untuk melaksanakan dasar tersebut.
“Malah, beliau (Yu Hui) secara lantang menyatakan pelaksanaan tulisan jawi harus dilakukan menerusi galakan dan secara sukarela, bukannya secara paksaan.
“Tindakan Chow Yu Hui ini jelas mencabar titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah agar penggunaan tulisan jawi diperluaskan di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh Pahang, demi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir”, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tindakan Chow Yu Hui ini juga tambah Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub menunjukkan betapa Dap sudah ketandusan isu untuk diketengahkan.
“Ini kerana, majoriti pemilik premis perniagaan di seluruh Pahang termasuk bukan Melayu sudahpun melaksanakan dasar ini dan mempamerkan tulisan jawi di papan tanda premis mereka sejak awal Januari lalu.
“Saya cabar Ahli Parlimen Dap Raub, YB Tengku Zulpuri dan ADUN Dap Ketari, YB Young Syefura Othman menyatakan pendirian berhubung isu ini. Adakah mereka setuju dengan tindakan Chow Yu Hui? “, soalnya.
Hakikatnya jelas beliau lagi Dap semakin dilupakan di Pahang. Wakil rakyat mereka sudah sekian lama hilang dari radar terutama sejak tumbangnya Kerajaan PH pada Februari lalu.
“Kini Dap mahu kembali dilihat relevan, di saat ramai menjangkakan PRU-15 akan berlangsung pada bila-bila masa.
“Tetapi isu yang dibangkitkan membuktikan Dap benar-benar terdesak untuk meraih perhatian dan sokongan rakyat”, ujarnya. –UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.