PETALING JAYA: Tiga penganalisis menyambut baik Yang di-Pertua Sabah bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri, langkah yang boleh membuka laluan kepada pilihan raya kilat di negeri itu.
Awang Azman Awang Pawi, Azmi Hassan, dan James Chin berkata ia cara terbaik untuk selesaikan kebuntuan politik antara Ketua Menteri Shafie Apdal dan Musa Aman.
Bagaimanapun, Lee Kuok Tiung di Universiti Malaysia Sabah tidak gemar krisis politik di Sabah diselesaikan melalui pilihan raya kilat kerana peningkatan kes Covid-19.
Lee beritahu soal siapa memimpin kerajaan negeri harus diselesaikan seperti di peringkat persekutuan, yang mana Agong menemubual setiap seorang wakil rakyat bagi menentukan siapa yang benar-benar menikmati sokongan majoriti.
“Sekiranya betul Shafie hilang sokongan majoriti, beliau perlu melepaskan jawatan ketua menteri. Sekarang bukan masanya untuk pilihan raya,” katanya.
“Satu perkara yang bagus adalah Dewan Undangan Negeri Sabah ketika ini ada 73 kerusi dan bukan lagi 60 seperti pada pilihan raya umum lepas. Ini bermakna akan ada pemenang yang nyata,” katanya.
Buat masa sekarang, Perikatan Nasional ada kelebihan berbanding Pakatan Harapan kerana Warisan dan PKR berselisih tentang pilihan perdana menteri pembangkang, katanya.
Bagaimanapun, Azmi dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju dengan pilihan raya baru.
“Sekarang ini, Shafie atau Musa tiada majoriti yang jelas. Siapa pun yang jadi ketua menteri, akan sentiasa ada kemungkinan penghijrahan boleh berlaku,” katanya.
“Ketidakstabilan di Sabah mungkin sekali berterusan dan sebab itu pilihan raya baru pilihan terbaik, terutama bagi Shafie sekiranya beliau hilang sokongan majoriti.”
Awang Azman berkata perkembangan di Sabah harus membuka mata Shafie untuk tumpu kepada negeri dan bukannya jawatan perdana menteri.
“Penghijrahan wakil rakyat bukan perkara baru dan saya percaya ia diperkatakan sejak Musa dibersihkan daripada pertuduhan rasuah,” katanya.
“Saya fikir Shafie sudah memperkecilkan Musa dan Perikatan Nasional di Sabah dan barangkali tak menjangkakan langkah itu.”
Beliau berkata pilihan raya cara terbaik untuk selesaikan kebuntuan itum tetapi ia membebankan dan berisiko kepada orang ramai kerana pandemik Covid-19, terutama ketika ekonomi masih sedang bergelut.
Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania pula berkata Yang di-Pertua Sabah membuat keputusan yang betul apabila bersetuju untuk membubarkan DUN kerana penting untuk menyerahkan pilihan kepada rakyat.
“Sebelum ini gabenor menerima angkat sumpah seseorang selepas berpuas hati dengan akuan berkanun, sedangkan ia sepatutnya menerusi pilihan raya,” katanya.
Beliau menambah masih terlalu awal untuk mengatakan siapa akan menang pilihan raya kerana ada kemungkinan wakil rakyat yang menyokong Musa semalam akan berpatah balik menyokong Shafie.
“Apa yang jelas adalah Musa akan jadi isu utama. Hakikat bahawa pertuduhan rasuah tiba-tiba digugurkan, saya fikir Shafie akan gunakan perkara itu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.