Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu menegaskan dia tidak anti tulisan Jawi.
Adun Tras itu menganggap kritikan dan kecaman yang ditujukan kepadanya berikutan keputusannya mencabar penggunaan tulisan Jawi itu hanyalah disebabkan salah faham.
Menurut beliau, rakan-rakan separtinya kemungkinan “overlooked” (terlepas pandang) kenyataan beliau dan maka timbulnya sedikit kesilapan tafsiran.
“Mungkin saudara-saudari parti saya overlooked, saya bukannya anti-Jawi, mungkin mereka tidak perasan pendirian ini. Walau bagaimanapun, saya hormat pandangan mereka dan kebebasan bersuara.
“Saya juga yakin bahawa rakan separti saya adalah pendukung prinsip sosialisme demokratik iaitu ideologi asal DAP,” kata Chow seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.
Chow melalui peguamnya M Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan telah menfaikan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan kelmarin.
Permohonan itu untuk mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Chow, Kerajaan Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai terutama pemilik perniagaa, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda mereka.
“Ini menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan. Setiap pihak ada khalayak sasaran sendiri. Misalnya, pelanggan di restoran Cina atau kedai barangan agama Buddha/Taoisme adalah orang bukan Melayu yang tidak boleh membaca jawi. Jadi apa perlunya menyertakan tulisannya (di papan tanda)?” soal beliau.
Majlis Daerah Raub dinamakan sebagai responden pertama dan kerajaan Pahang sebagai responden kedua.
Hakim Zainal Azman Ab Aziz menetapkan 28 Ogos untuk membut keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan tersebut atau tidak.
Kerajaan Pahang memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan Rumi tahun lalu.
Dasar itu dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020 dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang tidak berbuat demikian.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.