Jumaat, 31 Julai 2020

Siasat `pelompat parti’ pengkhianat rakyat!

LOMPAT ke parti si polan, keluar dari parti si polan. Menagih duit berjuta sehingga jiwa wakil rakyat jadi tak keruan.

Tindak tanduk sedemikian rupalah yang Belang cuak, “betulkah satu persatu wajah-wajah yang berada bersama seorang pemimpin Sabah semalam melakukannya?”.

Kata pemimpin berkenaan, dia sudah dapat majoriti membentuk kerajaan negeri. Tapi akhirnya tidak kesampaian, kali kedua terjadi kepada dirinya.

Belang kasihan melihat dirinya. Sama ada benar dakwaan dia `main duit’ untuk pancing orang-orang dari sebelah ketua menteri melompat, Belang serahkan kepada pemerhati politik untuk nilaikan.

Tetapi Belang harap sangat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat insiden pergolakan politik Sabah ini sama ada pakai duit atau tidak, sehingga ketua menteri menghadap Yang di-Pertua Negeri

Apa pun, yang cukup Belang pasti, dan orang Semenanjung kena akui juga, senario politik di Sabah agak unik.

Suatu ketika, Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membuktikan tiada yang mustahil dalam jatuh bangun politik.

Datuk Harris Salleh yang menubuhkan Parti Berjaya baru dua bulan pada 1973, berhasil menewaskan USNO pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Kemudian, Datuk Joseph Pairin Kitingan yang keluar beramai-ramai bersama pemimpin Kadazan lain dari Berjaya membentuk PBS. Hanya tiga bulan beroperasi, PBS menumbangkan Parti Berjaya dalam pilihan raya negeri 20-21 April 1985.

Dan tindakan 13 wakil rakyat dan 21 ketua UMNO bahagian dari Sabah keluar parti selepas PRU-14 menjadi ahli politik bebas tempoh hari pada pengamatan ramai, pastinya lebih terarah untuk survival politik masing-masing.

Bukanlah sangat soal rakyat, tapi demi kepentingan diri lebih diutamakan. Pola politik semasa tanah air sudah berbeza. Jika masih terus berada dalam parti asal, karier politik mereka barangkali `habis’. Apa lagi dengan UMNO waktu itu berada di pihak pembangkang kelihatan `tidak boleh melakukan sesuatu’.

Mungkin inilah yang hinggap dalam kotak fikiran bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor bersama orang-orangnya termasuklah penyokong tegar Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Merapatkan diri dengan parti Warisan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa di peringkat negeri dan Pusat suatu `langkah pragmatik’ untuk memastikan gerombolan ini terus dilihat relevan dalam konteks politik semasa. Ya, bukan sahaja untuk manfaat diri sendiri tapi juga kepada rakyat dan pengundi di kawasan DUN dan Parlimen masing-masing.

Sudah tentu apabila bersama Warisan yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan kerajaan PH sebelum Februari lalu, ia akan memposisikan kumpulan yang keluar UMNO ini dalam kedudukan lebih mantap.

Keputusan keluar UMNO kepada kebanyakan ADUN dan ahli Parlimen ini agaknya lebih berbaloi kerana masih ada pengaruh akar umbi tersendiri.

Cuma persoalannya, ke mana perginya aura dan semangat berjuang mereka untuk UMNO kerana selama ini UMNO lah yang telah menyediakan platform kepada mereka sehingga berjawatan tinggi di negeri dan Pusat – timbalan menteri dan menteri? Inilah yang harus dijawab secara jujur – sama ada mengakibatkan UMNO Sabah lumpuh ini demi rakyat?

Gerombolan `lompat parti’ harus jujur pada kebenaran – kebenaran pada diri sendiri, kepada pihak lain dan kebenaran pada hakikatnya.

Jujurlah pada kebenaran politik berpaksikan etos (kewibawaan) yang dipandang tinggi oleh masyarakat.
-SM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.