Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Keputusan inkues kembalikan keyakinan rakyat terhadap mahkamah
SHAH ALAM– Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa meningkatkan lagi siasatan dengan
memanggil semula tertuduh yang terbabit dalam insiden kematian anggota
Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Muhammad Adib Mohd Kassim.
Desakan dilontarkan Dewan Pemuda PAS
Malaysia (DPPM) susulan tindakan Mahkamah Koroner hari ini memutuskan
kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau
lebih individu yang tidak dikenali.
Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari berkata,
polis perlu memanggil semula tertuduh yang pernah dilepaskan dengan
segera seterusnya memulakan proses pendakwaan mahkamah.
“Kami juga menuntut Peguam Negara dipecat
atau sekurang-kurangnya direhatkan untuk satu tempoh sehingga keadilan
untuk Muhammad Adib berjaya dicapai.
“Selain itu, Peguam Negara tidak perlu
membuat permohonan semakan semula atau rayuan terhadap keputusan
inkues,” katanya kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Shah Alam,
di sini.
Terdahulu, Mahkamah Koroner memutuskan
kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di
tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lepas adalah
akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu
yang tidak diketahui.
Mahkamah Koroner juga merumuskan
kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal
rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata,
keputusan inkues itu sekurang-kurangnya melegakan hati rakyat dan
mengembalikan keyakinan kepada fungsi mahkamah kerana dari awal lagi
kebanyakan rakyat menggangap inkues tidak lebih daripada mengaburi mata
dan menutup kelemahan untuk mencari pembunuh sebenar Muhammad Adib.
“DPPM melahirkan rasa syukur dan gembira
dengan keputusan inkues walaupun wujud pengganggu yang datang daripada
pihak-pihak tertentu sehingga beliau diputuskan telah menghina
mahkamah,” katanya.
Pada 27 November lepas, Muhammad Adib
yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai
Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan
di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.