Rabu, 2 Januari 2019

Kelantan tunggu prosiding tarik kes saman royalti

 
   

Kerajaan negeri Kelantan sedang menanti tarikh untuk prosiding penarikan kes saman royalti minyak terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan bagi membolehkan pembayaran royalti diselesaikan segera.

Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga kini tarikh untuk kes itu masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

"Kita sudah arahkan peguam untuk ambil tindakan untuk tarik balik kes dan sekarang kita dimaklumkan sedang menunggu tarikh mahkamah kerana prosiding itu mesti dibuat dalam mahkamah.

"Setakat ini tarikh belum ada, kita tunggulah macam mana dan berharap mahkamah boleh bagi tarikh segera untuk selesaikan isu ini. Kita tak tahu bila, kita serahkan kepada mahkamah," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung isu royalti yang dijanjikan kerajaan pusat kepada Kelantan yang sepatutnya diselesaikan sebelum akhir tahun lalu.

Ditanya mengenai perancangan kegunaan hasil royalti itu, Mohd Amar berkata, pelbagai perkara dirancang oleh kerajaan negeri dengan wang royalti itu demi kebajikan rakyat.

"Masa Tok Guru (Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat) kita dah ada perancangan dan baru-baru ini kita bincang untuk tengok balik cadangan itu untuk diperkemaskan dengan keperluan semasa.

"Antara perkara yang akan dibuat adalah untuk sektor perumahan, infrastruktur, pendidikan dan sebagainya.

"Asasnya kegunaannya adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat," jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.