Jumaat, 29 Januari 2021

Tak perlu calitan di dubur, tekak dan hidung sudah memadai

 Siti Hafidah

Apabila pesakit pulih, masih ada kemungkinan saki baki virus mengalami degridasi atau bermaksud tidak lagi berjangkit dalam badan

BANGI – Pakar berpendapat tidak perlu ujian pengesanan COVID-19 terhadap najis, dubur atau rektum yang cuma mengundang ketidakselesaan dan kesan negatif dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana ujian calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung sudah memadai untuk melakukan pengesanan COVID-19.

Ia berdasarkan data yang menunjukkan kadar atau peratusan pengecaman virus SARS-CoV-2 dengan menggunakan dua kaedah calitan itu lebih tinggi.

Mengikut data, kadar pengecaman virus SARS-CoV-2 menerusi calitan nasopharyngeal dan calitan tekak adalah 88 peratus. Calitan najis, dubur atau rektum adalah 70 peratus.

Calitan konjunktiva iaitu di selaput lutsinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata pula satu peratus. Pengecaman melalui air kencing dan calitan vagina masing-masing kosong peratus.

Berdasarkan kepada kadar (peratus) pengecaman, ujian calitan nasopharyngeal dan tekak sudah memadai untuk tujuan penyaringan COVID-19. Prosedur yang digunakan juga tidak terlalu membebankan.

Meskipun, ujian calitan najis, dubur, rektum boleh digunakan untuk tujuan saringan COVID-19, namun prosedur yang perlu digunakan itu akan mengundang ketidakselesaan.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, ini akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dalam usaha menggalakkan masyarakat menjalani ujian saringan.

“Saya berpendapat kita tidak perlu ujian saringan membabitkan calitan najis, dubur atau rektum,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ujian calitan dubur di China sebagai kaedah lain mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Sebelum ini, seorang doktor kanan di Hospital You’an Beijing, Li Tongzeng memberitahu teknik calitan di dubur boleh meningkatkan kadar pengesanan dalam kalangan mereka yang dijangkiti kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di bahagian itu berbanding saluran pernafasan.

Katanya, kaedah ini juga membantu mengurangkan hasil ujian positif palsu.

Mengulas lanjut, Dr Yahya menegaskan, pertama sekali orang ramai perlu membezakan antara ‘infectivity’ (jangkitan) dengan ‘positivity’ (positif).

Jelasnya, seseorang yang melalui pengalaman COVID-19 berkemungkinan masih boleh memberikan keputusan positif tetapi tidak berjangkit.

“Yang perlu diberi perhatian adalah keadaan ‘infectiousness period’ (tempoh berjangkit) yang merujuk kepada ‘viral load’ (beban virus) yang tinggi dan virus aktif bereplikasi atau dalam erti kata lain mengakibatkan kuantiti virus yang tinggi. Dalam keadaan ini, kebolehjangkitan adalah sangat tinggi.

“Apabila seseorang sudah pulih, masih terdapat kemungkinan saki baki virus yang telah mengalami degridasi atau bermaksud tidak lagi infectious (berjangkit) dalam badan.

“Ini akan masih memberikan keputusan positif apabila saringan dibuat tetapi kebolehjangkitan adalah hampir tiada,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.