Jumaat, 29 Januari 2021

Padah lakukan hubungan songsang, pasangan gay disebat 80 kali

Siti Hafidah

4 individu lain turut disebat atas kesalahan minum arak

BANDA ACEH – Pasangan gay dikenakan hukuman sebat kerana melakukan hubungan seks sejenis, yang menyalahi undang-undang Islam Aceh.

Dua lelaki itu disebat hampir 80 kali dan merayu hukuman dihentikan kerana berada dalam kesakitan tatkala pegawai syariah bertopeng melaksanakan hukuman menggunakan rotan.

Hukuman itu dihentikan seketika dan kedua-dua lelaki itu berusia 20-an itu diberikan air minuman sebelum sebatan disambung.

Ibu kepada seorang lelaki itu pengsan apabila melihat anaknya disebat.

Kedua-dua lelaki itu ditahan pada November lalu di rumah sewa di mana pemilik kediaman menjumpai mereka separuh bogel di dalam bilik.

Pegawai hukuman awam, Heru Triwijanarko berkata, hukuman syariah adalah muktamad, tanpa mengira siapa pesalahnya.

Pelawat juga perlu menghormati undang-undang tempatan, katanya.

Seks sejenis tidak menyalahi undang-undang di kawasan lain di Indonesia kecuali Aceh yang juga satu-satunya wilayah di negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia melaksanakan undang-undang Syariah.

Di Aceh juga, hukuman sebat di khalayak ramai turut membabitkan beberapa kesalahan lain termasuk berjudi, minum alkohol dan berzina.

Empat lagi individu berusia antara 17 dan 40 tahun, turut dikenakan hukuman sebat pada hari sama, atas dakwaan minum arak atau bertemu pasangan berlainan jantina.

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan hukuman sebat sebagai kejam dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pernah meminta ia dihentikan.

Namun, pelaksanaannya mendapat sokongan padu daripada penduduk Aceh. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.