Khamis, 3 Disember 2020

9 anggota polis dicekup edar dadah dalam lokap .

 Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

JOHOR BAHRU : Seramai sembilan anggota polis lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dicekup selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di lokap polis terbabit, Ahad lalu.

Bukan sahaja menyeludup masuk bahan terlarang itu ke dalam lokap IPD tersebut, malah, sebuah sel di premis itu dijadikan sebagai ‘port’ menghisap dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua tangkapan melibatkan lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 36 tahun berpangkat koperal hingga konstabel yang bertugas sebagai pengawal lokap IPD tersebut. 

Katanya, turut ditangkap ialah seorang perempuan berusia 23 tahun yang merupakan anak kepada salah seorang tahanan di dalam lokap itu yang dikenali sebagai ‘Datuk Ajim’.

“Anggota yang ditahan itu dipercayai bersekongkol dengan wanita tersebut untuk membawa masuk bekalan dadah. Anak tahanan lokap itu akan menyerahkan dadah itu kepada pengawal lokap sebelum diserahkan kepada bapanya. 

“Anggota polis itu dipercayai dibayar oleh oleh Datuk Ajim itu. Suspek pertama yang Kita tangkap, dia dibayar sebanyak RM1,500 dan seorang rakannya dibayar RM500 manakala anggota wanita terbabit menerima bayaran RM50 bagi setiap kali penghantaran mengikut pakej.

“Ada sebuah sel di dalam lokap IPD Kota Tinggi ini yang dijadikan port menghisap dadah. Ini adalah tangkapan pertama kes penyeludupan dadah ke dalam lokap, kejadian itu mungkin banyak tapi tak dapat dikesan atau ada pihak cuba melindungi,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. 

Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A dan Seksyen 6  Akta Dadah Berbahaya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Ayob Khan berkata, kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak awal bulan lalu terbongkar selepas lima daripada 16 tahanan dari penjara Ulu Choh yang ditahan di lokap balai tersebut positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian saringan air kencing pada 22 November lalu. 

Beliau berkata, susulan pemeriksaan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dibantu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Johor telah mẹmbuat pemeriksaan di lokap IPD Kota Tinggi pada 29 November lalu. 

Jelasnya, hasil pemeriksaan polis berjaya merampas 38.65 gram syabu, 42.25 gram heroin termasuk sejumlah tembakau yang dianggarkan bernilai hampir RM6,000. 

“Hasil penemuan dadah dirampas, polis telah mẹmbuat ujian saringan awal terhadap 129 banduan di lokap IPD Kota Tinggi dan 22 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, morphine dan dadah jenis THC.

“Kesemua 22 individu termasuk seorang warga asing ini berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka ini tidak mematuhi arahan daripada Pengarah Narkotik Bukit Aman iaitu setiap tahanan perlu menjalani ujian saringan air kencing selepas tujuh hari, namun ini tidak dibuat. Selepas kita dapat laporan, barulah mereka nak buat ujian tersebut,” katanya. 

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua sembilan anggota terbabit dan seorang orang awam itu mendapati dua anggota polis lelaki dan anak perempuan Datuk Ajim itu positif dadah jenis methamphetamine. 

Jelasnya, salah seorang anggota polis yang positif dadah itu mempunyai satu rekod kesalahan lampau pada 2017 yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.