Khamis, 3 Disember 2020

Jangan cepat hukum golongan pendakwah

Oleh SAFINA RAMLI
PENDAKWAH bebas yang juga Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri, Kamarudin Abdullah. -UTUSAN/ SAFINA RAMLI

GEORGETOWN: Orang ramai dinasihatkan jangan memandang serong terhadap para pendakwah hanya kerana disebabkan terdapat individu yang dikaitkan dengan golongan itu melakukan kesalahan.

Pendakwah bebas yang juga Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri, Kamarudin Abdullah berkata, masyarakat ketika ini dilihat cepat menjatuhkan hukuman kepada para pendakwah sekiranya golongan berkenaan melakukan kesalahan.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga, manusia apabila ternampak orang agama melakukan kesalahan cepat mereka jatuh hukum.

“Kita kena kawal perkara sebegini daripada berlaku, jangan kerana kesilapan seorang pendakwah kita tumpukan hal ini lebih pada orang biasa,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas penahanan seorang pendakwah selebriti oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes rogol dan cabul. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sehingga kini tujuh laporan diterima membabitkan suspek di sekitar Lembah Klang.

Kamarudin yang juga Ketua Kluster Non Muslim dan Saudara Baharu Majlis Amal  Islami Malaysia (MAIM) berkata, iman dan takwa merupakan dua asas penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu terutama mereka yang dari aliran agama.

Ujar beliau, mereka yang mendalami ilmu agama perlu ada rasa lebih takut untuk membuat kesilapan-kesilapan melibatkan moral dan juga seksual.

Tambahnya, program-program realiti televisyen untuk melahirkan golongan pendakwah juga perlu terus dikembangkan agar pendakwah yang benar-benar berkualiti dapat dibentuk. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.