Jumaat, 3 Julai 2020

Jangan kita alpa, kekal disiplin tangani Covid-19

Wartawan MalaysiaGazette
MGF160320_PC-TAN-SRI-MUHYIDDIN-YASSIN_06-681x454
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – “Jangan pula merasa terlalu selesa sehingga kita alpa dan lalai dalam usaha kita mengawal jangkitan Covid-19.”

Itu nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran rasa teruja rakyat terhadap perkembangan positif penularan pandemik itu di negara ini sekarang.

“Alhamdulillah, buat pertama kali semalam, negara kita mencatatkan kes harian Covid-19 terendah iaitu satu kes import dan tiada kes jangkitan tempatan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara.

“Syabas dan jutaan terima kasih kepada frontliners yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

“Pada masa yang sama, saya juga berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama yang sangat baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya malam ini.

Menurut Muhyiddin, trend penurunan jumlah kes harian tempatan sehingga merekodkan angka satu digit sejak akhir-akhir ini menunjukkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang wabak Covid-19 serta pematuhan kepada SOP semakin tinggi.

“Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengingatkan supaya rakyat terus berwaspada, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa walau di mana pun anda berada.

“Dalam tempoh PKPP ini, kita semua adalah ‘frontliners’.
Kita semua memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk melindungi keluarga, komuniti & Negara daripada wabak Covid-19.

“Insya-Allah saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Malaysia, kita akhirnya pasti akan berjaya memerangi Covid-19,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.