Annuar Musa mengesahkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa MN bersetuju untuk menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri untuk PRU15. |
KUALA LUMPUR:
Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan parti UMNO dan PAS telah sebulat
suara bersetuju untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai
perdana menteri untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.
Seorang pemimpin tertinggi UMNO mengesahkan perkara itu dan berkata, ia telah dibincangkan dalam mesyuarat MN baru-baru ini.
Terdahulu,
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS telah
menzahirkan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk menjadi calon perdana
menteri bagi PRU15.
“PAS
menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan
politik Perikatan Nasional (PN) demi mensejahterakan negara dan rakyat,”
katanya di Facebook hari ini.
Ahli
Majlis Tertinggi UMNO dan setiausaha agung Barisan Nasional, Tan Sri
Annuar Musa berkata, secara prinsipnya kedua-dua parti bersetuju untuk
menamakan atau menyokong, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri
seterusnya.
“Ini akan dibawa dalam saluran parti masing-masing.
“Di
peringkat jawatankuasa bersama MN yang saya setiausaha agungnya memang
betul apa disebutkan oleh presiden PAS itu adalah ia telah dibincangkan
bersama.
“Pendirian
PAS dan UMNO dalam soal ini adalah pendirian sama. Saya sahkan,”
katanya pada sidang media penyerahan surat tawaran permit sementara
perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) kepada penjaja di Setapak
Indah di sini, hari ini.
Semalam,
pemimpin Barisan Nasional, PAS serta parti dari Sarawak dan Sabah
mengisytiharkan sokongan kepada gabungan PN yang diketuai Muhyiddin
“demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara”.
Sokongan
itu disuarakan dalam mesyuarat 2 jam di Putrajaya yang dihadiri
presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Abdul Hadi; presiden MCA, Wee Ka
Siong; presiden MIC, S Vigneswaran dan setiausaha agung PPBM, Hamzah
Zainudin.
Turut hadir presiden Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB), Abang Johari Openg; presiden Parti Rakyat
Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian; presiden Parti Demokratik
Progresif (PDP), Tiong King Sing; presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS),
James Jemut Masing; presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili;
presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Joseph Kurup dan presiden
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan.
Dalam
pada itu, Annuar berkata, dalam mesyuarat MN sebelum ini Umno dan PAS
bersetuju untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana
menteri.
PN merupakan gabungan politik yang
muncul berikutan tumbangnya kerajaan PH pimpinan bekas perdana menteri
Dr Mahathir Mohamad Mac lepas, sekali gus menyaksikan pelantikan
presiden PPBM itu sebagai ketua kerajaan yang baru.
Pada
17 Mei, PPBM, Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS
dan STAR menandatangani memorandum persefahaman bagi mengesahkan
sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.