Rabu, 27 Mei 2020

‘Projek RTC RM100 juta di Jerantut belum diluluskan’

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) Ahmad Nazlan Idris hari ini memaklumkan bahawa projek Pusat Teknologi Getah (RTC) bernilai RM100 juta yang dicadangkan di Jerantut, Pahang masih dalam peringkat perancangan dan belum diluluskan.

"Saya mengambil perhatian kepada beberapa laporan di media tempatan pada 25 Mei lalu yang memetik kenyataan mantan menteri yang mengatakan tentang kelulusan untuk mengunakan dana awam sebanyak RM100 juta bagi membina projek raksasa iaitu Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur di kawasan parlimen saya.

"Saya ingin menjelaskan bahawa status projek yang dinyatakan oleh laporan media sebelum ini adalah hasil cetusan idea Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang masih dalam peringkat perancangan dan belum dipertimbangkan atau diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nazlan mengulas bidasan bekas menteri industri utama Teresa Kok berhubung projek tersebut yang didakwa dibuat secara terburu-buru.

"Projek ini akan diangkat untuk kelulusan setelah kajian fisibiliti secara menyeluruh berkenaan projek ini dilakukan serta impak terhadap fasiliti-fasiliti penyelidikan lain di bawah LGM sebelum dibentangkan ke pihak Lembaga Pengarah LGM.

"Hanya selepas mendapat kelulusan Lembaga baru projek ini akan dibawa untuk kelulusan Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) dan kerajaan," katanya.

Kok yang juga ahli parlimen Seputeh sebelum ini menyoal keperluan membina RTC bernilai RM100 juta di Jerantut, atas dakwaan bahawa Malaysia sudah mempunyai beberapa pusat teknologi dan penyelidikan getah yang beroperasi sepenuhnya di Sungai Buloh serta Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di England dan di Kota Tinggi.

Bagaimanapun, Ahmad Nazlan juga Ahli Parlimen Jerantut berkata bahawa objektif utama pembangunan pusat penyelidikan teknologi di kawasan-kawasan berlainan di serata Malaysia termasuk di pantai timur adalah bertujuan untuk memastikan masa hadapan industri getah negara lebih maju, dengan pendapatan di peringkat huluan dan hiliran sama-sama ditingkatkan bagi kemampanan industri getah Malaysia.

"Keperluan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan dan komprehensif di pusat penyelidikan LGM bagi teknologi-teknologi utama seperti pembangunan klon-klon terkini sangat penting bagi menjamin produktiviti di peringkat huluan supaya pembekalan bahan mentah yang diperolehi di peringkat pertengahan dan hiliran dalam kualiti yang terbaik.

"Ia juga secara tidak langsung dapat menambahkan pengeluaran getah negara melalui pengurusan model komersil oleh perbadanan LGM disamping membantu usaha penyelidikan klon dan teknologi untuk industri getah negara," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.