Rabu, 27 Mei 2020

PM: Pemergian Ahmad Talib kehilangan besar dunia kewartawanan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian tokoh wartawan Datuk Ahmad A Talib yang juga rakan akrab beliau, sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dunia pemberitaan dan komunikasi.

Menzahirkan kesedihan atas pemergian Allahyarham, Muhyiddin berkata, Allahyarham yang mesra disapa Tok Mat, telah banyak menabur jasa dan bakti kepada dunia kewartawanan, dan telah menyumbang serta memainkan peranan besar dalam memperkasakan institusi media, di negara ini.

“Secara peribadi saya telah lama mengenali Allahyarham dan amat menghormati beliau. Saya pasti ramai lagi yang turut berkongsi rasa keakraban yang murni ini.

“Allahyarham akan sentiasa diingati sebagai seorang yang murah hati, merendah diri, dan amat penyayang orangnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Allahyarham yang berusia 69 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pada 5.42 petang tadi, selepas bertarung dengan kanser hati.

Dalam hantaran itu, Muhyiddin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, atas kehilangan insan tercinta.

“Moga Allah mengampuni dia, merahmati dia, memaafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggal dia, dan memberi kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Ahmad memulakan kerjaya sebagai wartawan dengan Bernama pada tahun 1972 sebelum menyandang pelbagai jawatan kanan di syarikat korporat termasuk di New Straits Times Press (NSTP) dan Media Prima Berhad (MPB).

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Raudhatul Sakinah Kem Perdana Sungai Besi, selepas Isyak.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.