Rabu, 27 Mei 2020

MP DAP bantah Ali Rustam calon TYT Melaka



Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menyuarakan kebimbangan berkenaan spekulasi beberapa ahli politik yang sebelum ini dikaitkan dengan rasuah, mungkin menjadi calon untuk Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baru.

Khoo menyebut beberapa individu yang didakwa sebagai calon untuk kedudukan itu, iaitu bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Zahid Mat Arip.

Beliau berkata spekulasi itu menimbulkan keraguan di kalangan warga Melaka terhadap kesesuaian mereka.

"Untuk rekod, Ali Rustam dan tiga orang ejennya telah didapati bersalah oleh lembaga disiplin Umno pada 2009 kerana terlibat dalam politik wang.

"Zahid Mat Arip pula mempunyai kaitan dengan kes rasuah bekas pengerusi Felda Isa Samad yang sedang berlangsung di mahkamah," katanya dalam kenyataan.

Zahid, yang merupakan bekas pegawai khas Isa, menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta yang dihadapi  Isa berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suits (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Tempoh Yang di-Pertua Negeri Melaka pada masa ini, Dr Mohd Khalid Yaakob bakal tamat pada 4 Jun ini selepas memegang kedudukan itu sejak 4 Jun 2004. Khalil antara lain pernah menjadi menteri besar Pahang dan menteri penerangan.

Terdahulu, Malaysia Dateline melaporkan nama Zahid disebut-sebut bagi menggalas jawatan itu. Beliau bagaimanapun enggan mengulas perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Presiden Parti Putra Ibrahim Ali sebelum ini pernah mancadangkan tradisi melantik orang politik ke kedudukan itu dihapuskan, dan mencadangkan ia diganti dengan tokoh perundangan, keselamatan negara ataupun ilmuan.

Dalam pada itu, Khoo menegaskan kedudukan Yang di-Pertua Negeri mestilah diisi oleh tokoh yang berintegriti.

"Individu yang dilantik hendaklah seorang yang berintegriti, bebas, dan mendapat kepercayaan awam.

"Contohnya, Yang di-Pertua Negeri yang baru boleh dilantik di kalangan penjawat awam yang sudah bersara atau pemimpin NGO tempatan. Pencalonan boleh dilakukan berdasarkan kewibawaan dan pencapaian individu tersebut.

"Pada masa yang sama, individu-individu yang mempunyai rekod tercemar atau perkaitan politik yang kuat tidak wajar dicalonkan," kata anggota Parlimen DAP itu lagi.

Untuk menjamin perkara itu, Khoo berkata Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali boleh menimbang mengadakan undian awam untuk dijadikan sebagai petunjuk kepercayaan awam terhadap mana-mana individu, sebelum beliau membuat keputusan mencalonkannya.

"Yang di-Pertua Negeri sangat penting dalam pentadbiran negeri. Fungsi dan peranannya meliputi perkara seperti kuasa pengampunan, sumber kehormatan dan kedaulatan, pelantikan ketua menteri, dan pembubaran Dewan Undangan negeri.

"Saya menyeru agar ketua menteri dan pemimpin-pemimpin di Melaka lebih berhemah dalam isu ini. Pelantikan Yang di-Pertua Negeri yang baru akan mencerminkan dasar dan sikap kerajaan PN dalam pentadbiran," katanya lagi. – Mkini


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.