Dr Ahmad Sanusi Azmi
Utamakan maslahah rakyat dalam menunaikan amanah
DULU ada seorang ahli politik pernah berkata: “Mahathir bapak perompak negara!” Kemudian hari ini mereka berpelukan, bekerjasama dan menyanjungnya semula. Dulu ada ahli politik mengherdik: “UMNO penyamun!” Tidak mustahil, nanti mereka menyanjungnya semula.
2. Ketahuilah kegilaan manusia kepada
kuasa merosakkan hati mereka. Seorang tokoh sufi yang terkenal pernah
berpesan bahawa sifat gilakan kuasa ini akan merosakkan peribadi
seseorang. Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang akan menjadi hasad
dengki bahkan suka mencari keaiban manusia lain. Kata Fudail ibn Iyyad:
ما من أحد أحب الرئاسة إلا حسد وبغى ، وتتبع عيوب الناس ، وكره أن يُذكر أحد بخير
“Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”
3. Malah Abu Daud al-Sijistani melihat
sifat ini sebagai salah satu daripada penyakit atau menggelarkannya
sebagai syahwat yang tersembunyi. Beliau pernah ditanya tentang nafsu
atau syahwat yang tersembunyi ini:
قيل لأبي داود السجستاني: ما الشهوة الخفية؟ قال: حب الرئاسة.
“Abu Daud pernah ditanya berkenaan dengan apa yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyi ini? Lalu dia berkata: (mereka yang) cintakan kuasa.
4. Atas dasar itu al-Imam Abu Ayyub
al-Sakhtiyani berpesan bahawa mereka yang cintakan kemasyhuran dan
kepimpinan ini adalah mereka yang sukar dipercayai. Kata beliau:
ما صدق عبد قط فأحب الشهرة
“Tiada yang benar langsung buat si hamba yang mencintai kemasyhuran.”
5. Bahkan Rasulullah ﷺ pernah menegaskan
bahawa kuasa ini boleh menyebabkan seorang muslim menjadi hina di
hadapan Allah di hari akhirat:
إنها أمانة، وإنها يوم القيامة خزي وندامة، إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها
إنها أمانة، وإنها يوم القيامة خزي وندامة، إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها
“Sesungguhnya kuasa jawatan ini adalah amanah, dan ia di hari kiamat adalah kehinaan (buat mereka yang gagalnya menunaikan amanah). Melainkan buat mereka yang menunaikan amanah dengan baik dan menyempurnakan hak-haknya.” (HR Muslim)
6. Kecintaan manusia terhadap kuasa akan
mengaburi mereka dari kebaikan. Adalah dibimbangi kepentingan diri
sendiri lebih mereka utamakan dari kesusahan rakyat.
7. Pesanan saya buat ahli politik muslim,
utamakanlah maslahah rakyat dalam menunaikan amanah ini. Janganlah
pergelutan kalian menjadikan kalian hina di dunia dan akhirat. Dipandang
rendah di sisi manusia, menjadi hina pula di sisi Allah diakhirat
kelak.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr Ahmad Sanusi Azmi - Universiti Sains Islam Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.