Kerajaan baharu mungkin berdepan cabaran laksana tanggungjawab
BANGI, – Lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri adalah sah,
justeru tidak timbul isu mana-mana pihak memperolehi majoriti, kata
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan
Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu berpandangan, kerajaan yang
bakal dibentuk mungkin sukar menjalankan tanggungjawab mereka.
“Saya jangkakan sidang Parlimen 9 Mac
akan ditangguh kerana jemaah menteri masih belum dapat dibentuk dan
berfungsi sepenuhnya. Ini bagi memberi masa untuk kerajaan bersiap
sedia, perkenan penangguhan perlu diperolehi dari Yang di-Pertuan Agong.
“Seperkara lagi di Parlimen, Tan Sri
Muhyiddin Mohd Yassin mungkin akan menghadapi undi tidak percaya. Dalam
keadaan Speaker dan seorang Timbalan Speaker dari kalangan orang Pakatan
Harapan (PH), perdana menteri mungkin sukar mengawal perjalanan urusan
sidang Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainul Rijal menegaskan bahawa rakyat mahu kemelut politik ini diselesaikan berikutan pembangunan negara sudah lama diabaikan.
“Orang Cina kata tahun 2020 ini adalah tahun tikus, saya kata 2020 adalah tahun politikus,” kata beliau.
Malaysia hari ini menyaksikan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan.
Istiadat pengurniaan surat cara
pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang
di-Pertuan Agong diadakan di Istana Negara pada 10.30 pagi.
Pelantikan Muhyiddin, 72, yang juga
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat selaras Perkara
40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Namun, tidak sampai dua jam sebelum
majlis angkat sumpah perdana menteri yang baharu, Tun Dr Mahathir
Mohamad mendakwa, bahawa Muhyiddin bukanlah perdana menteri yang sebenar
kerana tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.
Dr Mahathir memberitahu beliau mendapat
sokongan majoriti dari 114 Ahli Parlimen, hasil daripada gabungan PH,
Warisan dan beberapa Anggota Parlimen bebas, sesetengahnya daripada
parti beliau sendiri, Bersatu.
“Tan Sri Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.