Harap kerajaan negeri, wakil rakyat ikut tindakan Kabinet
BANGI –
Tindakan Kabinet melaksanakan pemotongan dua bulan gaji Perdana
Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan kepada Tabung
COVID-19 disifatkan sebagai langkah tepat, tatkala pendapatan rakyat
terjejas teruk akibat krisis wabak itu.
Memuji langkah bertanggungjawab kerajaan
baharu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji
Aminuddin Yahaya berharap tindakan ini menjadi contoh ikutan kepada
kerajaan negeri dan wakil rakyat termasuklah pembangkang.
“Insya-Allah, usaha murni sebegini akan
menjadi contoh ikutan pula kepada rakyat selain mengembalikan
kepercayaan mereka kepada pemimpin-pemimpin negara.
“Mungkin usaha ini dapat mengurangkan
‘politicking’ oleh para ahli politik terutamanya dalam menghadapi krisis
wabak COVID-19 ini.
“Saya harap usaha ini menjadikan para
ahli politik lebih tawaduk dan bekerja bersungguh-sungguh untuk rakyat
serta merasai perit jerih rakyat marhaen.
“Semoga krisis ini berakhir dengan cepat dan dengan natijah yang baik, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kabinet memutuskan agar dua
bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dipotong dan
disalurkan kepada Tabung COVID-19.
Pejabat Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.
Katanya, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19.
Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.