Sabtu, 1 Februari 2020

UEC: DAP terus bohongi rakyat - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man


KOTA BHARU - DAP dilihat terus membohongi rakyat apabila mengumumkan akan keluar Pakatan Harapan (PH) jika Putrajaya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman itu hanyalah berita palsu DAP sahaja dan bukannya realiti yang sebenar.

"Itu hanya permainan politik DAP, acah saja. Jika mereka betul-betul jujur, saya cabar mereka buat (keluar) PH," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, DAP tidak pernah serik membohongi rakyat tambahan lagi mereka kini berada di kerusi kerajaan.

Beliau berkata, DAP tidak perlu kecewa jika rakyat tidak menghargai pentadbiran kerajaan memandangkan terlalu banyak kegagalan yang dilakukan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Macam mana rakyat mahu hargai sebab terlalu banyak kegagalan, banyak janji yang tidak ditepati. Banyak yang tidak dibuat.

"Memang ada kejayaan yang dibuat, tetapi terlalu kecil jika nak dibandingkan dengan kegagalan yang dilihat lebih besar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.