Sabtu, 1 Februari 2020

EKSKLUSIF: LKIM tangguh pemberian subsidi

Skuad Khas Harian Metro
 
 

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menangguhkan pemberian subsidi diesel kepada wakil kuasa yang berkenaan dan akan melakukan semakan semula berhubung perkara itu.

Ketua Pengarahnya Jamaludin Othman berkata, penangguhan itu bagi membolehkan pihaknya meneliti semula dakwaan pemilik seperti di dalam laporan polis yang dibuat.

Katanya, semakan awal mendapati semua urusan pemprosesan dokumen dan pembelian diesel adalah menerusi sistem serta mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"SOP kita mengikut pekeliling pada 2012 memang membenarkan lantikan ejen untuk subsidi. Untuk yang enjin dalam, zon B, C, C2, C3 seperti ini, pemilik yang juga pemodal boleh melantik wakil.

"Kita sudah memanggil pemilik untuk mengetahui perkara sebenar dan sementara mendapat maklumat lanjut, kita tangguhkan dulu subsidi ini bagi membolehkan kita buat semakan lanjut," katanya.

Menurutnya, pihaknya memproses permohonan itu mengikut SOP sedia ada dan ia berdasarkan ruang lingkup kerja LKIM.

Jamaludin berkata, beliau sudah meminta pegawainya meneliti dakwaan berlaku penyelewengan dalam kes itu.

"Setakat ini kita lihat bot itu konsisten dalam pengambilan minyak dan aktif selain ada pendaratan ikan.

"Justeru, saya mengingatkan pemilik bot dan kumpulan sasar LKIM supaya mematuhi peraturan sedia ada supaya hasrat kerajaan untuk membantu nelayan akan tercapai.

"Industri ini adalah untuk bekalan ikan negara. Bagaimanapun banyak prosedur yang perlu dipatuhi agar tidak menimbulkan masalah pada masa depan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.