MALAYAIAKINI
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beserta ibu dan bapanya terpaksa melarikan diri apabila diganggu sekumpulan individu yang mengepung meja makan mereka semasa perjumpaan bersama Armada Johor, malam tadi.
Menurut Syed Saddiq, yang juga ketua Armada, sekitar 200 orang berpakaian hitam didakwa datang tanpa diundang ke perjumpaan itu, kemudian mengepung dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Kejadian itu berlaku di sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor, dan dihadiri anggota Armada, Srikandi (Wanita Bersatu) dan bahagian parti itu.
Exco Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen dan Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang juga dilaporkan ada di situ.
“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini,” dakwanya di Instagram hari ini.
“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis.
"Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadap dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat,” katanya lagi, yang juga anggota parlimen Muar.
Beliau tidak mengulas lanjut siapa yang dimaksudkan sebagai TMJ, bagaimanapun umum mengetahui ia merupakan gelaran kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Syed Saddiq turut mendakwa dirinya, keluarga, dua adun tersebut dan orang lain terpaksa menggunakan "jalan tikus" dan "lompat pagar" untuk beredar dari restoran itu.
Seorang pembantunya memberitahu Malaysiakini bahawa laporan polis akan dibuat tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi dan waktunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.