Kemudahan transit tanpa visa untuk pemegang pasport China digantung
SINGAPURA
– Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengumumkan semua
pelawat baharu yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lalu, tidak
akan dibenarkan masuk atau transit di Singapura, berkuat kuasa esok.
MOH dalam
satu kenyataan berkata, langkah ini diputuskan oleh Pasukan Petugas
Pelbagai Kementerian Singapura mengenai 2019 novel coronavirus untuk
mengehadkan potensi risiko daripada pelawat baharu tiba dari China
kepada Singapura.
Kementerian
itu berkata, dalam penilaiannya adalah wajar mengambil langkah
pencegahan tambahan pada peringkat ini memandangkan terdapat kemungkinan
peningkatan jangkitan daripada pelawat baharu yang tiba dari kawasan
lain di China.
Pihak
Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) Singapura juga menggantung
pengeluaran semua bentuk visa baharu kepada pemegang pasport China,
berkuat kuasa serta merta.
Status Singapura sebagai kemudahan transit tanpa visa untuk pemegang pasport China juga digantung.
MOH berkata visa jangka pendek dan pelbagai lawatan untuk pemegang pasport China yang dikeluarkan sebelum ini turut digantung.
“Sepanjang masa tempoh penggantungan ini, mereka tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura,” katanya.
Sementara
itu, penduduk (rakyat Singapura/pemastautin tetap) yang pernah ke China
dalam tempoh 14 hari lepas akan diberikan surat makluman untuk mereka
diberikan cuti selama 14 hari dari hari mereka pulang dari China,
berkuat kuasa serta merta.
Ini juga
terpakai kepada pemegang pas jangka panjang (termasuk pas kerja dan
permit, pas pelajar, pas tanggungan dan pas lawatan jangka panjang) yang
pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas, kata MOH.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak novel koronavirus sebagai sebagai darurat kesihatan dunia.
“Pengisytiharan
ini menetapkan platform untuk satu usaha sejagat terselaras bagi
meningkatkan persediaan rantau lain di dunia,” kata MOH. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.