Dah lama tak dengar kempen Program Imersif Tinggi
BANGI
– Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan
kerajaan supaya tidak tergesa-gesa dalam memutuskan pelaksanaan
dasar-dasar berkaitan pendidikan, termasuk Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau
berkata, walaupun kajian demi kajian telah dibuat, pihak Kementerian
Pendidikan (KPM) perlu mendedahkan dapatan berkenaan supaya semua
pemegang taruh, termasuk ibu bapa dapat menilai serta memberi pandangan
yang rasional sebelum dilaksanakan.
Beliau
berkata, banyak faktor lain yang menjadi cabaran kepada pelaksanaan
pengajaran dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris, yang pernah
dilaksanakan pada 2008 namun dimansuh secara berperingkat pada 2012.
“Salah
satunya, kesiapsiagaan para pendidik dalam aspek penguasaan Bahasa
Inggeris dalam dua subjek itu antara perkara yang perlu diberi keutamaan
serius. Jika pendidik tidak bersedia, kesannya sudah pasti merugikan
generasi pelajar itu sendiri.
“Belum
lagi disentuh usaha-usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa rasmi yang semakin pudar ketika
ini.
“Demikian
juga, sudah lama tidak mendengar kempen atau usaha-usaha Program Imersif
Tinggi (HIP) berkaitan dasar MBMMBI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin,
Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa
bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran
Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa
antarabangsa itu.
“Kita mahu
menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris
dalam sistem pendidikan kita, ini sangat penting. Kita perlu beri masa
untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains
dan Matematik.
“Geografi
dan Sejarah boleh datang (dipelajari) dalam mana-mana bahasa, tetapi
bahasa digunakan dalam bidang Matematik dan Sains bukan bahasa ibunda
kita, ia datang dari luar negara dan kebanyakannya yang datang kepada
kita (Malaysia) dalam bahasa Inggeris.
“Jadi, kita akan guna bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik,” katanya.
Pada masa
sama, Mahdzir turut menyarankan kerajaan memperkasakan terlebih dahulu
Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada tahun 2016.
“Ini kerana pelaksanaan DLP adalah satu pilihan yang ditentukan oleh ibu bapa pelajar itu sendiri. Tiada paksaan,” katanya.
Program
DLP, yang dilaksanakan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah
kebangsaan sejak 2016, memberi pilihan kepada sekolah yang layak untuk
menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris
selain daripada bahasa Malaysia bagi mata pelajaran Matematik, Sains,
Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.